Selasa, 2 Februari 2016

Switzerland, Perancis .. buat tidur Najib kurang lena

Reaksi Kerajaan Malaysia terhadap kenyataan pihak berkuasa dua negara asing berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan urusniaga kapal selam Scorpene menimbulkan tanda-tanya tentang tahap intergriti dan ketelusan pentadbiran negara.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kerajaan Malaysia melalui Timbalan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan apabila mendakwa Peguam Negara Swiss tidak wajar mengumumkan permintaan secara terbuka untuk membantu Malaysia dalam kes siasatan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan Peguam Negara Swiss itu berkaitan dakwaan penyelewengan dana AS$4 bilion oleh 1MDB yang disyaki melanggar undang-undang Switzerland.

“Siapalah kita untuk mengatakan begitu kepada Switzerland? Dalam masa sama, patutkah Peguam Negara Malaysia berhak menyatakan secara umum bahawa berbilion-bilion ringgit yang dibayar ke dalam akaun perdana menteri telah dibuat Almarhum Raja Arab Saudi walaupun dia sudah tidak ada lagi untuk mengesahkan kenyataan tersebut.

“Tanda-tanda dari Arab Saudi menunjukkan mereka tidak begitu senang di atas kenyataan itu,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam satu kenyataan semalam.

Raja Bahrin menambah, kegusaran Najib semakin memuncak apabila Switzerland tidak lagi menjadi syurga akaun kewangan rahsia yang selamat daripada sekatan undang-undang kerahsiaan perbankan seperti yang diharapkan oleh Najib.

“Undang-undang rahsia perbankan simpanan wang rahsia Switzerland telah dihapuskan sekarang. Sejak laporan Peguam Negara Switzerland menyebut kemungkinan ada penglibatan beberapa pegawai kerajaan Malaysia, Putrajaya semakin tidak nyenyak untuk tidur. Apa rahsia hitam yang mungkin terungkap?” bidasnya.

Menyentuh kontroversi pembelian dua unit kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada 2002, Raja Bahrin membangkitkan persoalan kemungkinan kerajaan mengenakan tindakan sekatan maklumat.

“Adakah kita juga akan memberitahu Kerajaan Perancis untuk mengenakan kawalan maklumat pada kes siasatan pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berjalan apabila ia melibatkan seseorang yang sangat dekat dengan Perdana Menteri?

“Seorang yang terlibat dalam rundingan Scorpene telah dibunuh dengan kejam dalam keadaan misteri. Bagaimanapun, apa yang kita hendak sembunyikan dalam perkara ini. Adakah dua kuasa asing berkomplot menentang Perdana Menteri kita?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan lupa bahawa negara bukan Islam tetap menegakkan nilai-nilai integriti dan ketelusan seperti digariskan Islam berbeza dengan Malaysia yang mempunyai lebih 30 menteri.

“Di manakah ‘amanah’ yang sebenar iaitu asas penting ajaran Islam yang seharusnya kita julang? Kerajaan telah berkempen tentang dunia tanpa sempadan, aliran terbuka perdagangan dan maklumat apabila memaksa rakyat menerima TPPA.

“Namun, apabila situasi yang diambil kerajaan Switzerland telah menyebabkan kerajaan Najib Razak terancam, maka mereka akan bertindak menghentikan aliran maklumat dari Switzerland dan Perancis untuk mengelakkan rahsia kotor mereka diketahui rakyat,” jelasnya.

Menggesa sifat kepura-puraan itu dihentikan, beliau menyarankan skandal 1MDB dijejaki dari Malaysia ke Singapura termasuk negara-negara Arab, Switzerland dan Eropah sehingga Amerika Syarikat dan Kepulauan Caymen.

“Ia adalah mustahil untuk menghalang rakyat untuk terus tahu rahsia-rahsia ini dari terbongkar tetapi kerajaan pasti akan tergesa-gesa dan cuba untuk mencari jalan keluar dari kekusutan ini. Maka akan ada beberapa orang lagi yang akan menjadi mangsa isu 1MDB ini.

“Ironinya, sungguhpun Malaysia mempunyai menteri integriti yang memilih untuk terus berdiam diri, Switzerland tidak perlu mempunyai menteri integriti seperti di Malaysia untuk memberitahu bahawa kita tidak sepatutnya berhenti menyiasat kes 1MDB,” ujarnya.

Mengulas pengumuman Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali pada 26 Januari lalu yang mendakwa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dalam kes berkenaan sekaligus menutup fail siasatan kes 1MDB, beliau berkata arahan tersebut akan menghalang pihak Switzerland daripada memperoleh maklumat bagi tujuan siasatan mereka.

“Pokoknya, adakah kita bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah ini? Walaupun desakan telah dibuat dalam persidangan Raja-Raja Melayu baru-baru ini untuk menyelesaikan kemelut 1MDB, malangnya kerajaan tidak mengendahkan gesaan ini. Apakah yang diperlukan untuk menyelesaikan kemelut ini?” soalnya.

Sehubungan itu, Raja Bahrin berkata perkara utama harus wujud ialah kesungguhan atau kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah tersebut hingga ke akar umbi.

“Apa yang pasti isu ini banyak membabitkan 'political ill' – penyakit politik. Negara kita masih muda tetapi sudah tenat dengan pelbagai penyakit dalaman tetapi pilihan sebenarnya berada di tangan rakyat,” ujarnya lagi.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: