Isnin, 15 Februari 2016

Berbahagia dan indahnya dapat isteri macam ni

PARA isteri masa kini bukan sahaja sibuk dengan urusan rumah tangga tetapi juga aktif dengan kerja-kerja sosial dan aktiviti sampingan bagi mengisi lapang.

Ada kalanya sibuk mereka sampai mengalahkan menteri. Konon banyak aktiviti yang hendak dibuat sebab tidak mahu duduk rumah. Walau ada kerja yang perlu dibereskan, tetapi cari alasan untuk keluar rumah.

Bagi yang ada pembantu rumah, beruntunglah tetapi bagaimana yang meninggalkan rumah dan anak-anak tanpa perhatian dan jagaan orang dewasa.

Makan minum mereka bagaimana? Cukupkah hanya dengan meninggalkan duit dan membiarkan mereka membeli makanan sendiri.

Atau mengajar mereka mengambil makanan segera setiap hari yang senang diperoleh dengan menelefon dan membuat tempahan sahaja, dan makanan dihantar ke pintu rumah?

Ada suami yang tidak ambil kisah tetapi ada suami yang memang naik angin dengan perangai isteri yang begini. Pentingkan perkara luar daripada menjaga rumah tangga sendiri.

Inilah kisah yang menjadi pilihan saya minggu ini, luahan hati seorang suami yang sudah tidak tahan lagi dengan perangai isteri yang melebihkan aktiviti luar dari menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Menarik untuk dikongsi jom kita ikuti cerita Arif (bukan nama sebenar) dalam emelnya yang dikirim kepada saya. Begini ceritanya.

“Saya berusia awal 50-an, seorang penjawat awam dan mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sedang meningkat remaja, dua lelaki dan dua perempuan.

“Isteri tidak bekerja tetapi sangat aktif berpersatuan dan berpolitik. Anak sulung dan kedua saya kini menuntut di universiti dan dua lagi di sekolah menengah.

“Sebelum ini rumah tangga saya aman damai, tidak ada masalah. Anak-anak juga, Alhamdulillah berjaya di dalam pelajaran mereka. Yang jadi masalahz saya adalah sikap isteri yang tidak lekat di rumah, sibuk dengan aktiviti politik, kemasyarakatan dan macam-macam lagi yang bagi saya membazirkan masa.

“Saya pernah terbaca di ruangan ini kisah isteri sibuk berniaga sampai lupa rumah tangga, tapi cerita saya pula isteri sibuk dengan aktiviti. Semua aktiviti dia nak ikut serta, sampai tinggalkan rumah berhari-hari pun sanggup.

“Saya tahu ramai suami di luar sana menghadapi masalah seperti mana yang saya lalui sekarang. Mungkin dia orang boleh sabar dan menerima realiti hidup isteri mereka. Saya juga boleh terima tetapi kalau sudah melampau, geram juga dibuatnya.

“Saya nak tanya para isteri semua, perlukah berkorban sampai tak ingat rumah tangga dan anak, suami sampai berhari-hari? Perlukah nak ikut semua program yang dibuat oleh persatuan atau kelab atau apa sahaja yang disertai setiap kali ada program?

“Buat persiapan sehari, buat majlis sehari dan nak kemas pula sehari. Lepas itu, ada majlis terima kasih pula, makan makan lagi, kadangkala sampai jauh malam. Ada masa ikut rombongan pula, buat lawatan sambil belajar konon. Hujung tahun pergi melancong pula, khabarnya ada Yang Berhormat taja.

“Bila hari dan masanya nak tinggal di rumah, layan makan minum suami dan anak-anak, nak bagi dapur rumah berasap, dapatlah suami dan anak-anak merasakan air tangan isteri.

“Ini tidak, semua program wajib pergi, kalau saya cakap sikit merajuk, tarik muka tak bercakap. Pada hal yang kita tegur itu, tanggungjawab yang patut didahulukan. Ada masa terluang, pergilah nak aktiviti ke mana pun.

“Saya juga pelik memikirkan aktiviti sosial masyarakat sekarang ini. Macam satu kemestian pulak. Patut didik wanita yang sudah berumah tangga ini bagaimana hendak menjaga keharmonian rumah tangga. Ini tidak, buat macam-macam program yang merenggangkan suami isteri.

“Saya bukan nak salahkan sesiapa, saya salahkan diri sendiri dan isteri saya kerana terlalu taksub dengan aktivitinya. Kalau setakat pergi kelas mengaji, marhaban seminggu sekali itu saya setuju sangat. Ini tidak, macam-macam aktiviti yang membuang masa untuk kepentingan orang lain.

“Majlis politik lain, pergi spa lain, senamrobik, gim, shopping, lawatan, hi-tea semua nak pergi, tak tau nak tolak. Kalau duduk di rumah pandai pula merungut penat dan nak berehat. Itupun sejam dua sahaja, bunyi telefon terus siap, panaskan enjin kereta dan jalan.

“Kita yang tinggal di dalam rumah ini macam tunggul, kesabaran sudah sampai tahap melepasi paras kepala ini, takut apabila meletup perkara lain pula yang timbul. Itu yang saya fikirkan.

“Anak-anak yang melihat perangai mama mereka pun mula bertanya, mama tidak tahu duduk rumah ke papa? Apa saya nak jawab? Nak ceritakan apa yang saya rasa di dalam hati? Saya pula tidak mahu membebankan anak-anak dengan masalah kami sebab mereka masih belajar, tidak mahu pelajaran mereka terganggu.

“Saya nak ingatkan isteri saya kalau dia terbaca catatan ini, jangan sampai saya cari isteri lain untuk jaga kebajikan saya. Saya sudah tidak boleh sabar lagi ini. Kalau nak pertahankan rumah tangga kita, baik berubah.

“Saya hendak isteri saya yang dahulu. Yang rajin ke dapur, menjaga makan minum saya dan anak-anak dan selalu berada bersama saya dan anak-anak.

Jangan salahkan suami kalau kahwin lain, salahkan diri sendiri. Tepuk dada tanya selera.

“Apa yang dapat kalau berkorban dengan aktiviti sepenuh jiwa dan raga, orang atasan dapat la habuan mereka, yang kita di bawah ini, setakat beg tangan, kain baju ela dan bawa pergi melancong ke Indonesia. Itu tak berbaloi pun. Sekali tolong dapatlah RM50, lepaslah duit minyak dan tol.

“Yang rumah tangga porak-peranda ini, tak berkemas, dapur tidak berasap, anak terabai ini, ada dia orang ambil tahu? Tidakkan? Kita juga yang selesaikan sendiri. Untung kalau dapat suami yang sabar dan faham, kalau tidak, menjandalah jawabnya!

“Saya bercerita ini untuk iktibar kita semua, bukan nak salahkan perempuan dan nak menangkan lelaki, tetapi inilah kenyataannya yang saya hadapi. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah yang sama.

“Bukan tak marah, tak tegur dan tak nasihat, tapi isteri ini lebih mendengar cakap ketua mereka di luar, bukan ketua dalam rumah tangga. Seronok sangat agaknya dapat keluar rumah, bergaya dengan pakaian cantik, tudung mahal dan suka-suka dengan kawan-kawan.

“Pada hal bukan jadi orang penting pun, sekadar nak cukupkan korum dan meramaikan majlis. Kalau tidak ada orang macam isteri saya ini tentu tidak meriah, sebab itu mereka beriya-iya nak pergi. Tambahan pula dijanjikan dengan bermacam-macam perkara.

“Saya tidak tahu sampai bila saya harus melalui masalah ini. Saya nekad jika isteri saya tidak berubah juga dalam masa terdekat ini, saya akan bernikah lagi. Jangan salahkan saya kalau itu benar-benar terjadi sebab saya sudah memberi nasihat dengan baik. Kalau tidak mahu berubah juga terpulanglah!

“Saya masih memberi peluang kepada isteri untuk berubah dan kembali ke ke pangkuan keluarga, tidak payah berkorban sampai lupa anak dan suami. Tak dapat apapun kalau berkorban untuk orang luar yang tak pandai menghargai sumbangan kita. Yang untung dia orang, kita macam itu juga.

“Semoga isteri saya sedar dan terbaca catatan ini, saya sangat sangat berharap dia akan berubah dan kembali menjadi isteri dan ibu yang bertanggungjawab,’’ kata Arif menamatkan ceritanya.

Begitulah cerita Arif. Saya pun hilang kata-kata, memang ada isteri yang begitu taksub dengan aktiviti kemasyarakatan sampai terlupa rumah tangga terutama apabila dapat peluang berjalan.

Saya sendiri tidak faham kenapa sampai begitu sekali minatnya kaum wanita seperti ini dengan aktiviti sedemikian, pada hal bukan dapat gaji pun,sekadar
hadiah dan dapat berseronok.

Kalau iya pun berminat, takkan sampai lupa rumah tangga, perkara ini boleh dibuat secara sambilan, bukan memberi komitmen 100 peratus kepada aktiviti tersebut.

Mudah mudahan rumah tangga Arif masih dapat diselamatkan dan isterinya akan berubah. Para isteri harus ingat, apapun rumah tangga harus didahulukan kerana ia tanggungjawab mutlak.

Hasrat Arif untuk bernikah lagi seorang saya tidak mahu komen kerana itu semua rahsia Allah, lagipun Arif berhak untuk bernikah lebih dari satu. Semoga Allah permudahkan urusan hidup Arif dan kembalikan kebahagiaan rumah tangganya.

Menutup catatan, pesanan ikhlas saya, apapun yang dilakukan dengan ikhlas hati akan menghasilkan sesuatu yang terkesan di hati khasnya dalam mencari kebahagiaan.

Salam

* PATUTLA ramai wanita dalam neraka!

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: