Ahad, 24 Januari 2016

13 ADUN BN Kedah telah tandatangan akuan bersumpah singkir Mukhriz

Akhbar Berita Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah Barisan Nasional (BN) difahamkan kini mula menggerakkan usaha mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berundur dari jawatannya secara Perlembagaan sebagai pelan kedua sekiranya pengunduran secara politik tidak berhasil.

Sumber memberitahu akhbar itu, setakat ini 13 Adun BN sudah menandatangani akuan bersumpah sejurus selepas perjumpaan tertutup Umno Kedah bersama Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, sumber Umno Kedah itu memberitahu Berita Harian, akuan bersumpah yang dimaksudkan itu sebenarnya sekadar menyatakan persetujuan untuk akur dengan sebarang keputusan dibuat presiden parti untuk menyelesaikan kemelut politik negeri jelapang padi itu.

“Sekarang ada 13 daripada 21 Adun BN (menyokong) dan kami percaya boleh dapat sekurang-kurangnya 5 atau 6 lagi Adun untuk bersama. Kami nak buat secara teratur, mengikut ketetapan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

“Akuan bersumpah yang lengkap itu sendiri akan menjadi perakuan kita kepada anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk dipertimbang, sekali gus diperkenankan mengikut Perlembagaan,” kata sumber Umno Kedah kepada Berita Harian.

Sementara Mingguan Malaysia melaporkan terdapat 3 lagi calon baharu menteri besar Kedah walaupun sebelum ini pelbagai pihak menjangkakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai individu paling layak menggantikan Mukhriz.

Menurut edisi Ahad Utusan Malaysia itu, sumber mengatakan nama 3 calon itu berada dalam senarai seandainya Ahmad berdepan “halangan.”

Di antara yang dinamakan ialah Adun Guar Chempedak merangkap exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, 63, yang mempunyai ijazah kedoktoran dari luar negara dan merupakan “orang lama” dalam politik.

“Beliau banyak mengetuai rombongan bagi menarik pelabur asing ke Kedah dan seorang pemimpin yang dilihat tidak banyak kontroversi,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.

Selain itu turut dinamakan Adun Ayer Hangat yang juga exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Menurut Mingguan Malaysia, beliau merupakan anak jati Langkawi yang dianggap pemimpin paling dekat dengan rakyat Kedah khususnya dalam kalangan ulama dan pelajar institusi pondok.

“Beliau yang berkelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara yang paling lantang mengetengahkan isu-isu agama di Kedah dan dilihat mampu menarik perhatian rakyat berikutan latar belakang agama beliau,” lapor akhbar itu.

Menurut akhbar milik Umno itu, calon ketiga ialah Adun Tanjong Dawai yang juga exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan Datuk Tajul Mat Urus Mat Zain, 64.

Sumber memberitahu Mingguan Malaysia, Tajul dipertimbangkan sebagai menteri besar kerana dilihat mampu meredakan kemarahan penyokong anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu memandangkan beliau yang berkelulusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu merupakan “orang Mukhriz.”

“Selain itu, beliau juga dilihat mampu meneruskan agenda Mukhriz untuk memajukan bidang pendidikan di Kedah,” lapor Utusan Malaysia.

Sumber itu menambah, ketiga-tiga Adun Umno Kedah ini dipertimbangkan berdasarkan pengalaman dan latar belakang pendidikan mereka. – 24 Januari, 2016.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: