Ini kerana sebarang komen yang keras, berbeza atau tidak senada dengan pucuk pimpinan parti pasti mudah saja diangkat oleh golongan pembodek dan pengampu Najib Razak sebagai sesuatu yang bertujuan memburuk-burukkan parti.
Ada juga mengatakan Najib sebenarnya hanya menunggu silap sedikit saja daripada Muhyiddin sebagai alasan untuk menyingkirkannya daripada UMNO.
Dalam masa yang sama, jika Najib berhasrat mengenepikan Muhyiddin, tidak kira sama ada memecat atau menggantung keahliannya, ia juga dikatakan pasti mendapat sokongan penuh daripada Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi belum bertaraf pemimpin nombor dua dalam UMNO.
Namun ternyata kini Muhyiddin tetap sama. Sebagaimana beliau berani bersuara dan berkata benar sehingga jawatannya dalam kerajaan terpelanting sebelum ini, setelah tiada jawatan dan sedang diperhatikan salah serta silapnya, ketakutan untuk menyatakan kebenaran nyata tidak berubah.
Selain bersuara tidak setuju mengenai himpunan baju merah sebelum ini, Muhyiddin juga terus bercakap mengenai 1MDB dan wang derma yang diterima oleh Perdana Menteri.
Kebimbangan Muhyiddin mengenai isu perkauman dalam himpunan baju merah turut mendapat reaksi positif daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang bersetuju agar sebarang provokasi mengenainya hendaklah dihentikan dan tidak seharusnya dibiarkan.
Dalam satu majlis di Pagoh semalam, antara lain Muhyiddin berkata:
- selagi masih bergelar wakil rakyat dan berjawatan dalam parti, beliau akan terus berkata yang benar demi kepentingan rakyat.
- kena buang sebab berkata benar tidak apa, hidup ini bukan kerana jawatan saja. Kita harus berani bersuara dalam sistem demokrasi berparlimen, jangan simpan dalam hati.
- hasil siasatan 1MDB sepatutnya didedahkan untuk mengetahui siapa yang bersalah berhubung skandal kewangan syarikat tersebut.
- macam 1MDB, SPRM dah siasat, polis dan Bank Negara pun dah siasat, Peguam Negara sepatutnya dah selesai siasat. Kalau ada yang salah, mesti beritahu kepada rakyat.
- jika ada yang salah, mesti ada hukuman atau penjara. Malaysia adalah negara yang ikut undang-undang. Curi wang kena tangkap, curi ayam pun kena tangkap. Semua yang buat jahat kena tangkap, tak boleh biar.
Walaupun tidak menyebut nama sesiapa dalam ucapannya, tetapi sasarannya tidaklah sukar difahami. Mungkin selepas ini jika masih tidak bergerak apa-apa, Muhyiddin akan bersuara lagi mengenai 1MDB yang menjadi kebimbangan ramai itu.
Dan rakyat harapan rakyat serta ahli UMNO peringkat akar umbi secara umumnya ialah mahukan beliau terus bersuara demi kepentingan ramai. Rakyat sebenarnya sudah letih dan muak mendengar suara bodek dan ampu atas sesuatu perkara yang salahnya amat nyata.
Meskipun tidak lagi berjawatan dalam kerajaan, suara Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO tentunya mampu membuatkan ia lebih didengari berbanding jika orang biasa saja yang bersuara.
Menjadi harapan juga agar selepas ini Muhyiddin lebih memanfaatnya masanya yang banyak terluang untuk turun ke seluruh pelusuk negara mendengar rintihan dan ketidakpuasan hati rakyat mengenai pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara.
Mahu tidak mahu, harus diakui keadaan negara langsung tidak bertambah baik selepas Muhyiddin dipecat dan digantikan dengan Zahid Hamidi. Bukan saja sokongan rakyat tidak bertambah kerana masalah sedia ada yang disebabkan oleh Najib, malah adanya Zahid juga tidak menjadikan keyakinan kepada Najib dan kerajaan menjadi lebih baik.
Sebagaimana yang disebut dalam tulisan sebelum ini, masalah utama kepada negara dan UMNO ialah Najib dan ia sudah terlalu berat untuk dipulihkan oleh mana-mana juga pemimpin.
Lantaran itu, sekiranya menjelang PRU 14, keadaan sokongan rakyat tidak juga bertambah baik dan hari demi hari menjadikan BN lebih mungkin kalah daripada mencipta kejayaan, tidaklah mustahil akhirnya akan muncul desakan daripada UMNO sendiri yang mahukan Najib berundur.
UMNO dan para pemimpinnya hanya mungkin tidak berbuat apa-apa untuk mengundurkan Najib jika mereka lebih rela karam dan tenggelam bersama Perdana Menteri yang semakin ketara ditolak oleh rakyat jelata.
Ketika itu, sebagai Timbalan Presiden UMNO, tentunya di bahu Muhyiddin yang berani bersuara dan berkata benar inilah disandarkan harapan untuk membawa kejayaan.
Selagi berjuang, kerusi Perdana Menteri sebenarnya tidak pernah jauh daripada jangkauannya.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan