Isnin, 31 Ogos 2015

BERSIH 4: Apa sebenarnya berlaku semalam

1.05 -  Jalan Raja – Penyelaras pasukan perubatan BERSIH Tan Gengta memberitahu Malaysiakini tiada kes melibatkan keganasan.

Katanya, pasukan itu terlibat dalam 48 kes bermula 9 pagi Sabtu sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Menurut Tan, sebanyak 15 kes sejak jam 5 pagi Ahad tetapi kebanyakannnya kes kecil. 

Selain 13 kes keracunan makanan, terdapat 13 lagi kes yang menyaksikan pesakit dihantar ke hospital, kata pasukan itu itu.

Ini termasuk kes kecederaan akibat melompat dari tempat tinggi dan perokok tegar yang mengalami takikardia atau kadar degupan jantung pantas.

ad/bm-prime-300x250
1am - Polis menerima 27 laporan mengenai perhimpunan BERSIH 4 sehingga jam 10.45 malam ini dan membuka lima kertas siasatan.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk
Tajudin Md Isa berkata 14 daripada laporan itu dibuat Jumaat dan selebihnya Sabtu.


12.35am: Dataran Merdeka – Terdapat beberapa peserta alami kecederaan ringan selepas terkena mercun yang dilempar ke arah mereka, lapor The Star Online.
Dua suspek yang membaling mercun juga dilapor turut cedera apabila ditangkap orang ramai.

12.30am Dataran Merdeka - Individu memakai baju "pemantau" meminta petugas media beredar atas alasan arahan polis.
12:24am: Jalan Raja - Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah diiring beredar oleh orang ramai setelah polis meminta bersurai.
12.10am Jalan Raja Laut – Letupan kuat kedengaran di seberang jalan menghadap bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Orang ramai kemudian mengepung
pihak yang didakwa membaling mercun dan memanggil polis. Keadaan tegang.

12.03am Stesen LRT Masjid Jamek LRT station - Ramai bergerak ke arah stesen itu untuk pulang selepas menyanyikan lagu Negaraku.  

12am Peserta menyanyikan lagu Negaraku pada jam 12 tengah malam.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah sebelum itu melaungkan "Merdeka" sepuluh kali diikuti oleh orang ramai. Mereka mula bersurai perlahan-lahan. Sementara
itu, Polis Kuala Lumpur pula memberi jaminan keadaan bandar raya Kuala Lumpur selamat untuk sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-58 yang akan berlangsung
esok.

Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan memastikan keselamatan mereka sentiasa
terjamin.
[Baca lanjut]

11.55 Jalan Parlimen - Kira-kira 10 anggota polis dan trafik berkawal di lampu isyarat simpang Jalan Parlimen untuk memantau perhimpunan BERSIH 4.

Tidak kelihatan sebarang kendaraan FRU atau trak polis di lokasi tersebut.

11.45pm: Pentas utama - Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dalam ucapannya berkata, jika ada BERSIH 5 selepas ini ia akan menjadi "pesta rakyat".

Beliau juga meminta orang ramai meyakinkan ahli parlimen masing-masing supaya menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika ia diusulkan nanti.



11.45pm: Jalan Parlimen - Bukan hanya orang biasa yang menyertai BERSIH 4. 

Pelakon filem dan drama, Jesse Lim, turut mengambil peluang datang untuk meninjau keadaan di sekitar perhimpunan.

"Selepas empat kali diadakan, ini kali pertama saya datang ke perhimpunan BERSIH.

"Mungkin sebab sebelum ini hanya diadakan waktu siang. Kali ini berlangsung selama 34 jam.

"Saya sempat datang waktu malam sebab siang hari ada penggambaran," katanya kepada Malaysiakini.

Kehadiran pelakon berusia 44 tahun itu turut diambil peluang oleh peserta lain untuk bergambar dengannya.

Ditanya mengenai BERSIH 4, Jesse berkata, sesuatu perkara dilakukan mesti mempunyai sebab.

"Kalau seorang merayu mungkin salah faham. Kalau 100 orang mungkin mereka menganggap kita berdengki.

"Tapi kalau 1,000 orang merayu kepada seseorang itu mungkin kita tak boleh nak nilai. Kalau berjuta orang sudah marah kepada seseorang itu, mesti orang
itu adalah masalah," katanya yang baru selesai penggambaran filem Mulut dan Koncu arahan Datuk A Razak Mohaideen.

11.40pm - Jalan Tun Perak - Orang ramai kelihatan mula bergerak meninggalkan kawasan utama melalui Jalan Pudu dan Jalan Sultan. Pada masa sama hanya beberapa
orang anggota polis kelihatan bertugas agak jauh dari situ.

Keadaan lampu jalan berhampiran Dataran Maybank yang terpadam tiba-tiba menyebabkan orang ramai bersorak namun keadaan kembali tenang sejurus selepas itu
apabila lampu berkenaan kembali menyala.

11.30 pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Quratulain Atiqah, 24, datang menyertai BERSIH 4 bersama 20 kawannya seja semalam.

Katanya, semalam tidak ramai Melayu menyertai BERSIH mungkin disebabkan kurang yakin terhadap keselamatan masing-masing selepas diugut dengan pelbagai
cara, termasuk mengharamkan baju.

"Tapi mereka tengok semalam OK saja, polis pula tak gunakan kekasaran. Ini antara sebab peserta Melayu tambah malam ini,“ katanya kepada Malaysiakini.

Atiqah berkata sebagai anak muda, dia percaya himpunan aman merupakan satu manifestasi rakyat.

“Mungkin tiada perubahan berlaku serta-merta (kesan perhimpunan aman) tetapi ini adalah kekuatan kita,” katanya.



11.27pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Peserta Melayu ramai berkumpul di sekitar kawasan ini.

Salah seorang daripada mereka ialah Mohd Saidi, 55, yang datang bersama isteri dan empat anak mereka, serta dua kawan lain untuk mendengar ucapan di pentas
utama berhampiran Dataran Merdeka. 

Beliau mengaku hadir di Dataran Merdeka semalam.

"Saya rasa semalam peserta Melayu hanya 10 peratus tetapi malam ini ada 30 peratus. Ini adalah merangsangkan.

"Bagaimanapun, saya rasa turn out peserta Melayu secara keseluruhan kurang berbanding BERSIH 3 kerana ketika itu turn out mencapai 80 peratus," katanya
kepada Malaysiakini. 

Ditanya sebab peserta Melayu malam ini lebih ramai, Saidi berkata mungkin orang ramai berasa selamat selepas tiada kejadian tidak diingini berlaku semalam. 

“Semalam mereka takut keluar kerana ingat polis akan ambil tindakan atau ada apa-apa kekacauan,” katanya.

"Orang Melayu sebenarnya marah dengan pentadbiran kerajaan BN terutamanya perlaksanaan GST," katanya.



11.20pm: Jalan Parlimen - Hayat, 22, kali pertama turun menyertai BERSIH hari ini.

Asalnya, kata Hayat, dia mahu datang semalam tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana bekerja.

"Mungkin orang lain juga begitu. Sebab itu tak ramai Melayu semalam," katanya dan dipersetujui beberapa rakannya yang ada bersama. 

Nordin, 51, pula berkata dia menjadi peserta BERSIH 4 sejak semalam tetapi tidak tidur di Dataran Merdeka. 

Ditanya mengenai BERSIH 4, Nordin berkata dia tidak menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan melepaskan jawatannya kerana protes kali ii.

"Dia akan berundur jika dia nak berundur. Tapi menyertai BERSIH ni memang berbaloi," katanya.

11.10pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Dianggarkan ada kira-kira 10,000 orang di sini dalam suasana seperti pesta.

Tidak seperti semalam, kehadiran orang Melayu dapat dilihat lebih ketara dan dianggarkan sehingga 40 peratus.

Keadaan juga tidak begitu bingit dengan bunyi vuvuzula hanya terdengar sesekali dan muzik atau ceramah dari pentas utama berhampiran Dataran Merdeka tidak
sampai ke sini.

Azrul Izamee Ashak, 27, dari berkata dia lebih berasa sebagai rakyat Malaysia menjelang tarikh 31 Ogos.

"Saya rasa bangga sebab nampak ada satu bangsa di sini. 

"Rasa kemerdekaan kita selalu dipecahbelahkan dalam sambut kemerdekaan," katanya kepada Malaysiakini.

01

11pm: Dataran Merdeka - Kira-kira sejam lagi untuk BERSIH 4 menutup tirai, jumlah peserta meningkat kepada kira-kira 80,000 orang. Sesetengah pihak pula
mendakwa jumlah semasa mungkin melepasi 100,000 orang.

10.30pm: Menara Maybank - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua meminta peserta BERSIH 4 tidak terlalu bimbang apabila tidak ramai orang Melayu menyertainya. 

Kata Pua, keadaan itu berlaku kerana PAS tidak menggerakkan ahlinya dan meminta orang ramai memberi masa kepada Gerakan Harapan Baru ditubuhkan secara
rasmi. 



10.17pm: Jalan Parlimen - Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anaknya, Nurul Nuha Anwar. 

Wan Azizah berkata, beliau akan menyampaikan ucapan kepada peserta BERSIH 4 selepas ini. Beliau kemudian dikerumuni orang ramai yang mahu bergambar dengannya. 

Laungan "Reformasi" juga kedengaran ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berjalan ke arah pentas berhampiran Dataran Merdeka.



10.15pm: Dataran Merdeka - Di depan pentas utama BERSIH 4, orang ramai menyanyi lagu Standing in the Eyes of the World bersama penyanyi Eddy dan Wimii. 

Sambil menyanyi mereka menggerakkan tangan dan menghidupkan lampu telefon bimbit masing-masing, selain ada mengibarkan Jalur Gemilang.

10.10pm Menara Maybank - Pemimpin DAP Lim Kit Siang menggesa rakyat memastikan tiada perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Razak muncul lagi dalam politik
Malaysia. 

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula mahu orang ramai tidak mempercayai Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekas perdana menteri itu "bukan rakan" sebaliknya
hanya mahu mengambil kesempatan. 

10pm: Pusat Konvensyen KL - Datuk Seri Najib Razak berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan
tanah air supaya kekal makmur di persada dunia. 

Perdana menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran
yang melanda.


di sini

10pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Band Rakyat Rhythm menarik perhatian peserta dengan lagu mereka, Malaysiaku dan Rasa Sayang. Mereka menggunakan baldi
plastik, tin biskut dan kayu untuk menghasilkan irama. 

9.40pm Dataran Merdeka - Depan pentas BERSIH, orang ramai membuat rantaian manusia ketika seorang anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Farhana Halim berucap.

Peguam itu berkata beliau bersedia untuk berjalan lagi 34 jam dan 34 hari lagi untuk memastikan Datuk Seri  Najib Razak berundur.

“Kita mahu Najib dan Rosmah berundur,” katanya.



9.31pm: Dataran Merdeka - Orang ramai menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk merakam suasana sekeliling mereka.

9.20pm: Dataran Merdeka - Berdasarkan laporan daripada lapangan dan gambar daripada udara, jumlah peserta terkini sekurang-kurangnya 60,000 orang.

9.15pm - Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar perutusan Hari Merdeka yang antaranya sentuh soal kemelut kepimpinan negara. Baca perutusan penuh: 
http://www.malaysiakini.com/news/310498
9.10pm: Berdasarkan laporan daripada lapangan dan gambar daripada udara, dianggarkan sekurang-kurang 20,000 orang kini berada berdekatan Dataran Merdeka.
Jumlah itu makin bertambah dari masa ke semasa.  
9:02pm Jalan Raja - Suasana di Dataran Merdeka kembali hidup. Kumpulan pemuzik protes BangsArt kembali menghiburkan orang ramai dengan lagu "Ayuh Anak
Muda". 

Irama lagu itu berdasarkan lagi Pet Shop Boys oleh Go West.

Orang ramai bernyanyi bersama-sama mereka sementara menunggu detik jam 12 tengah malam.

9.00pm - Perhimpunan BERSIH berbaki lagi tiga jam lagi sebelum detik 12 tengah malam hari Merdeka. Perdana menteri akan menyampaikan amanat hari Merdeka
pada bila-bila masa daripada sekarang. 

8.30pm - Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown yang dikehendaki polis Malaysia, menyertai perhimpunan BERSIH 4 di London.

Beliau memakai pakaian kuning sambil membawa belon warna sama bertulis perkataan “free media” (bebaskan media).

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan itu. Acara sama anjuran Global BERSIH itu turut berlangsung di lebih 70 bandar di seluruh dunia.

7.30pm Jalan Raja – Seorang lelaki didakwa mabuk muncul di Dataran Merdeka dan mengganggu peserta, termasuk menolak mereka.

Polis membawa beliau pergi selepas laporan polis dibuat terhadapnya.  

7.25pm Jalan Raja - Bunyi bising vuvuzela kini senyap bagi menghormati masukkan waktu Maghrib. Yang lainnya cuba berteduh dari hujan.
7.45pm Jalan Tunku Abdul Rahman - Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) dan bekas timbalan presiden PAS mengimami solat berjemaah.
6.45pm Dataran Merdeka - Pasukan Paramedik BERSIH 4 mengesyaki kes keracunan makanan yang melibatkan peserta berpunca daripada air minuman kotak yang disuntik
bahan kimia tertentu.

Seorang anggota Paramedik, Nesa Balakrishnan berkata, semalam pihaknya menerima tujuh pesakit yang terkena tanda-tanda cirit-birit dan sakit tekak.

"Pemeriksaan kita mendapati minuman yang diagihkan ada kesan suntikan di bahagian atas kotak.

"Minuman diagihkan dengan diletakkan dalam kotak ais. Bila peserta ambil minuman dalam keadaan basah, tak perasan kesan suntikan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu hari ini pasukan perubatan itu menerima tiga pesakit.

Difahamkan, pasukan Paramedik telah membuat laporan polis berhubung kes keracunan berpunca daripada minuman tersebut.

6.15pm: Masjid Jamek - Walaupun PAS sebelum ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi meminta ahlinya untuk menyertai himpunan BERSIH 4, namun kelihatan Naib
Presidennya Idris Ahmad turut berada di perhimpunan ini.

Beliau yang memakai baju korporat PAS Perak yang berwarna kuning ditemani beberapa rakannya. Turut kelihatan bersama beliau, bekas anggota jawatankuasa
PAS Pusat Abdul Ghani Shamsuddin.

Ditanya mengapa beliau hadir pada perhimpunan hari kedua ini, Idris hanya tersenyum.

Ditanya lagi mengapa pimpinan lain tidak turut serta dalam perhimpunan BERSIH 4, beliau hanya ketawa dan enggan mengulas.

6.00 pm: Masjid Jamek - Peserta BERSIH 4 terus membanjiri sekitar jalan Masjid Jamek dan Stesen LRT Masjid Jamek. Ribuan peserta berkumpul dan berarak
dengan pelbagai ragam.

Antaranya sekumpulan peserta berarak sambil memukul bahan buangan seperti tong cat, botol mineral dan tin minuman sebagai alat muzik.

Terdapat juga perarakan tarian singa yang disertai pemuzik yang berarak dari Jalan Tun Perak ke Masjid Jamek.

5.56pm: Dataran Merdeka  - Penganjur mengumumkan perhimpunan itu berehat sebelum bersambung semula jam 9 malam.

5.40pm: Pasar Seni - Tun Dr Siti Hasmah Ali menggesa semua penyokong parti, tanpa mengira ideologi, menyokong gerakan untuk mendesak Datuk Seri Najib Abdul
Razak berundur susulan skandal 1Malaysia Development Berhad.

  "Yang penting sekali, tidak kira BERSIH ke, PKR ke, PAS ke, kita orang Malaysia. Kalau kita bersatu padu (menolak Najib), kita akan capai matlamat kita,"
katanya sewaktu mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan kepada peserta BERSIH 4.

"Seperti kita dulu berjuang untuk kemerdekaan, bagaimana kita semua dulu bersatu. Jadi tolonglah dalam keadaan seperti ini, janganlah ada keganasan."

Dr Mahathir dan Siti Hasmah yang diiringi Datuk Zaid Ibrahim menggunakan Komuter untuk tiba ke Pasar Seni. Semalam pasangan ini tiba menyatakan sokongan
kepada kira-kira 100,000 peserta di sebelah petang.

5.35pm: Jalan Tun Perak - Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengulas kehadiran Dr Mahathir Mohamad bagi kali kedua hari ini.

Bekas timbalan presiden PAS berkata walaupun mantan perdana itu dianggap jahat tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak lebih jahat lagi.

"Semalam beliau hadir, dan hari ini beliau datang lagi.

"Seorang yang jahat macam Dr Mahathir tidak tahan seseorang yang lebih jahat daripadanya," kata Mohamad, disambut gelak ketawa peserta BERSIH 4 yang mendengar
ucapannya.

5.20pm: Pasar Seni - Dr Mahathir Mohamad tidak bercadang untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4 walaupun menyatakan sokongan kepada ribuan orang yang berdemonstrasi
sejak tengah hari semalam.

Mantan perdana menteri senja semalam turun di Dataran Merdeka sebentar tanpa sebarang kenyataan kecuali "teruskan, teruskan."

Petang ini, dalam kenyataan di sebuah restoran, beliau berkata: "Semangat saya bersama anda semua. Saya kena pulang ke rumah."

Petang semalam, mengulas perhimpunan tersebut, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali berkata ringkas: "Inilah kuasa rakyat."

5.15pm: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa memuji peserta BERSIH 4 yang disiplin dan patuh pada arahan pihak berkuasa untuk tidak masuk ketempat
larangan serta membuat sebarang kekacauan.

"Setakat ini okay. Peserta ramai dan keadaan terkawal. Peserta BERSIH dilihat berdisiplin dan patuh pada arahan.

"Tidak ada sebarang tangkapan di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

5.15pm: Pasar Seni - Dalam sidang medianya, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau turun ke Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan kepada rakyat yang sedang
mengadakan bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ditanya sama ada beliau menyokong BERSIH, mantan perdana menteri berkata beliau menyatakan solidariti dengan orang ramai.

Ditanya beliau bersetuju menggunakan demonstrasi untuk menukar kerajaan, Dr Mahathir berkata:

"Kalau kerajaan tidak peduli undang-undang, (kita) kenalah menggunakan demonstrasi sebagai pilihan terakhir.

"Lihat apa yang terjadi sewaktu Ferdinand Marcos memerintah Filipina, rakyat terpaksa menggulingkannya."

5.09pm: Pasar Seni - Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di sebuah restoran di sebelah Pasar Seni.

Sebelumnya beliau menyampaikan ucapan di depan kompleks tersebut setelah bergerak dari stesen Komuter KL.

Beliau dan isteri diiringi oleh Datuk Zaid Ibrahim.

4.30pm: Stesen Komuter KL - Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Ali telah tiba, dijangka sedang menuju ke arah kumpulan ribuan penyokong BERSIH
4 di Jalan Tun Perak.

Dr Mahathir, yang diiringi bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, kelihatan disambut beberapa penyokong BERSIH di stesen ini.

Sementara itu, bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik muncul di perhimpunan BERSIH 4 di Perth, Australia semalam.

3.35pm: Dataran Merdeka - Hujan mulai turun. Sementara ada peserta yang mencari tempat berteduh, ramai juga yang tidak mengendahkan suasana basah itu.
Mereka teruk bersorak dan melaungkan "Najib Undur" dan "Hidup Rakyat".

3.30pm Tiga menteri kabinet dan pemimpin tertinggi Umno mengulas kehadiran bekas menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan BERISH 4 semalam.

Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekas Perdana  Menteri itu hanya berada
di kawasan perhimpunan itu selama
"enam minit".

Dalam laporan yang lain, agensi berita itu meaporkan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kehadiran Dr Mahathir itu
sebagai "mengecewakan dan dikesali".

Ismail berkata Dr Mahathir merupakan individu yang paling lantang menentang demonstrasi jalanan terutama ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai
timbalan perdana menteri dan berlaku demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan reformasi, lapor Bernama.

"Akhirnya Tun (Dr Mahathir) sendiri dahulunya penentang kuat kepada demonstrasi jalanan akhirnya dia sendiri terlibat," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan persidangan perwakilan Umno Beluran di Sandakan, hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak
membidas
Dr Mahathir dianggapnya telah melanggar prinsip beliau sebelum ini yang menolak demonstrasi jalanan.

3pm: Dataran Merdeka - Kira-kira 50,000 peserta menyertai BERSIH, kira-kira sembilan jam sebelum perhimpunan selama 34 jam berakhir tengah malam ini.

Dalam tinjauan udara, kebanyakan mereka berada di sekitar simpang Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman, kawasan paling dekat dengan Dataran Merdeka
yang dibenarkan.

Dataran Merdeka sedang dipersiapkan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58 esok.

Daripada jumlah itu, 10,000 berjalan-jalan di Jalan Tun Perak, antara persimpangan tersebut ke Menara Maybank. Selebihnya berada di Jalan Tuanku Abdul
Rahman (dari arah kompleks Sogo) dan sekitar Leboh Pasar Besar.

2.30pm: Jalan Tun Perak - Selepas berehat selama dua jam, ribuan penyokong Bersih mendengar ucapan-ucapan dan berhibur dengan persembahan dalam keadaan
berjerebu.

Dalam ucapannya, ahli jawatankuasa BERSIH New Sin Yew berkata semua peserta berbaju kuning dengan tulisan BERSIH 4 dianggap "penjenayah" kerana kerajaan
mengharamkan pakaian itu Jumaat lalu.

"Kita semua hari ini jadi penjenayah. Kerana Zahid Hamidi mengharamkan baju BERSIH tetapi apa kita buat, kita datang juga.

"Kita tidak takut undang-undang yang menindas. Hak kita dijamin dalam Perlembagaan - hak untuk bergerak dan meluahkan perasaan. Kerajaan tidak hormat hak
kita," kata New.

"Tunjukkan kepada kerajaan, (kita) tidak takut kerajaan, sepatutnya kerajaan takut pada kita."

Beberapa sukarelawan cuba mengawal kebingitan bunyi vuvuzela dengan menaikkan plakad "No vuvuzelas" tetapi tidak ramai pengguna alat tiupan itu mempedulikannya.

2.30pm: Dataran Merdeka - Selepas mesyuarat dengan Ketua Polis Dang Wangi Zainol Samad, Pegerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memberitahu bahawa sambutan
ambang kemerdekaan dipindahkan ke Bukit Jalil.

"Sambutan malam ini diadakan di Bukit Jalil, tapi perarakan Merdeka esok akan diadakan di sini (Dataran Merdeka)," katanya.

Maria kemudiannya berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada polis kerana bekerjasama dan beliau berjanji akan menamatkan perhimpunan BERSIH sebelum
tengah malam.

Sementara itu, Maria berkata beliau tidak ambil berat khabar angin bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat penampilan sekali
lagi dalam perhimpunan itu.

"Jika dia datang, kita akan sambutnya sebagai peserta," kata Maria.

Sementara itu, Bernama melaporkan persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka terjejas kerana laluan masuk dihalang oleh peserta perhimpunan
Bersih 4 yang berkumpul memenuhi kawasan sekitar lokasi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015, Datuk Seri Othman Mahmood berkata persiapan untuk acara Hari Kebangsaan yang
akan disambut esok itu tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

"Setakat pagi ini, saya dan beberapa pegawai dari Jabatan Perdana Menteri hanya dapat menyempurnakan persiapan sambutan sebanyak 50 peratus sahaja.

"Banyak peralatan dan barangan keperluan tidak dapat dibawa masuk ke Dataran Merdeka dan kami hanya mempunyai kurang daripada 17 jam untuk menyempurnakan
persiapan itu," katanya ketika ditemui oleh pemberita di ibu negara, hari ini.

2.25pm: Perdana menteri memperkecilkan jumlah peserta BERSIH 4 dengan menggambarkan mereka hanyalah segelintir rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati.

Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata pihaknya boleh mengumpulkan ratusan ribu penyokong berbanding BERSIH yang hanya berjaya menarik kira-kira 20,000 peserta,
lapor Star Online.

Bercakap di Hari Peneroka di Kuala Terengganu hari ini, beliau juga berkata majoriti rakyat masih bersama kerajaan. BERSIH juga tidak mengambil berat kebajikan
orang ramai, khususnya di luar bandar, tambahnya.

Perhimpunan 34 jam anjuran BERSIH antaranya bertujuan mendesak Najib berundur atas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga wang RM2.6
bilion dalam akaun peribadinya.

1.55pm: Jalan Tun Perak - Di tengah-tengah 30,000 penyokong BERSIH 4, sekali-sekala muncul mesej sinis yang mengkritik perdana menteri sehingga menjadi
perhatian ramai.

Plakad kuning bertulisan "Najib! Dermalah RM20,000, saya nak kahwin!" menyindir Datuk Seri Najib Abdul Razak yang dilaporkan memilik wang RM2.6 bilion
dalam akaun peribadinya.

"Saya ingin menyindir Najib. Saya masih bujang, mahu berkahwin tetapi saya tidak mampu," kata Firdaus Misnan, 29, kepada Malaysiakini.

1.40pm: Sogo - Seorang anggota polis yang mengawal keselamatan berkata sehingga kini tidak ada kekacauan yang berlaku dekat di pusat membeli belah itu.

Bagaimanapun, sekiranya peserta demonstrasi melakukan perkara yang melanggar undang-undang,  mereka akan berdepan tindakan.

"Setakat ini tak ada huru-hara. Hanya laungkan slogan dan duduk di atas jalan.

"Lalu lintas terkawal. Kalau langgar peraturan kita ambil tindakan. Lagipun mereka ada hak bersuara. Just go ahead," katanya yang bertugas sejak 6 pagi
tadi.

Empat lokasi lalu lintas yang diawasi anggota keselamatan iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman depan Sogo, Brickfield, Dataran Maybank dan Jalan Tun Perak.

1.30pm: Dalam kenyataannya, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengutuk tindakan mengedar minuman kepada peserta perhimpunan semalam yang didakwa menyebabkan
keracunan makanan.

Menyifatkan tindakan satu usaha "sabotaj", Maria menasihati peserta-peserta BERSIH agar mengambil minuman percuma di khemah-khemah rasmi tajaan penganjur
perhimpunan selama 34 jam itu.

Semalam beberapa peserta mendapatkan rawatan di khemah-khemah perubatan BERSIH apabila mengalami sakit perut dan cirit-birit. Beberapa orang dilaporkan
dihantar untuk rawatan di hospital.

1.30pm: Bandar Melaka - Sepuluh lagi penyokong BERSIH yang memakai baju kuning dengan logo BERSIH 4 ditahan polis di Dataran Pahlawan, Bandar Melaka sekitar
jam 11.45 pagi ini.

Menurut salah seorang peserta yang ditahan semalam, Lee Ling Kit, 34, mereka kini dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

"Seorang daripada mereka berumur 16 tahun," kata Lee kepada Malaysiakini. Polis semalam menahan 20 orang individu yang memakai baju kuning dengan logo
BERSIH 4.

Kira-kira 100 orang berkumpul di situ sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan sejak semalam di tiga lokasi utama - Kuala Lumpur,
Kuching dan Kota Kinabalu.

1pm: Jalan Raja - Bersih mengumumkan bahawa sebarang mesej yang tersebar di WhatsApp meminta peserta hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor
(KLSCAH) untuk mengutip elaun RM200 adalah palsu.

"Jika anda mahu derma, pergi mencari Najib. Kami tidak memberikan sumbangan. Kita hadir di sini ikut kemahuan kita sendiri," kata seorang juruhebah.

1pm: Pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas terhadap dalang yang menganjurkan perhimpunan Bersih 4, kata Datuk Seri Zahid Hamidi, lapor Bernama.

Menteri dalam negeri juga berkata pihak berkuasa memantau "setiap perkataan" yang disampaikan dalam perhimpunan tersebut, dijadual selama 34 jam sehingga
tengah malam ini.

Bercakap selepas merasmikan mesyuarat agung Umno Ipoh Timur hari ini, Zahid berkata tindakan terhadap mereka boleh diambil menggunakan Akta Perhimpunan
Aman, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

12.45pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Unit Arif dan Pemuda AMK telah menahan seorang pemuda yang didakwa cuba mencetuskan kekecohan dengan cuba membakar
mercun.

"Kami berjaya menahannya kita itu, dan sekarang kami akan membawanya ke Dang Wangi untuk diserahkan kepada pihak berkuasa," kata ADUN Simpang Pulai Tan
Kar Hing.

12.45pm Jalan Tun Perak - Walaupun matahari memuncak di atas kepala dan masa makan tengah hari, kira-kira 30,000 peserta Bersih 4 memenuhi jalan-jalan
berdekatan Dataran Merdeka sambil tidak henti-henti melaungkan "Bersih".

Mereka yang berbaju kuning kembali memenuhi jalan ini mulai dari Menara Maybank ke arah simpang Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman, kira-kira 200
meter dari Dataran Merdeka.

Tinggal lagi 11 jam menjelang tengah malam untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58. Bersih menganjurkan perhimpunan ini selama 34 jam mulai 2 petang semalam.

12pm: Dataran Merdeka - Aktivis Bersih Mandeep Singh berkata hasil pertemuan dengan polis tadi, pihak keselamatan memberi kerjasama yang baik.

"Segalanya berjalan lancar, Rakyat malaysia bersama anggota keselanatan untuk rakyat Malaysia.

Beliau juga mengingatkan peserta supaya tidak memasuki kawasan larangan dan perhimpunan masih berbaki 12 jam lagi.

Perhimpunan bermula 2 petang semalam dan akan berakhir tengah malam ini.

"Rundingan yang baik dan jangan duduk kawasan larangan. Inilah sejarah rakyat Malaysia bersama anggota keselamatan. Kita harap semua berjalan lancar,"
katanya.

Sebelum itu, di Jalan Tun Perak, Mandeep menyampaikan ucapan dan membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Najib kata kita tidak patriotik, tapi kami datang untuk sambut merdeka sejak jam 2 petang semalam," katanya sambil berkata rakyat Malaysia sudah muak
dengan perdana menteri.

Beliau turut mencabar Najib mengadakan sesi sidang tergempar parlimen bagi supaya mengadakan undi tidak percaya.

Kemudian beliau menggesa terus berhimpun sehingga demonstrasi itu tamat tengah malam ini.

Selepas ucapan Mandeep, ahli musik menaiki trak untuk menyanyikan lagu Ella, 'Standing In The Eyes of The World', dan Bon Jovi, 'It's my life', dan peserta
menyanyi bersama-sama.

11am: Muka depan akhbar utama di rak jualan hari ini juga berwarna kuning sebagai tanda kepada perhimpunan Bersih 4.

Tinjauan segera kepada liputan akhbar itu mendapati muka depan akhbar Cina dan Tamil dengan tajuk penuh berwarna bagi perhimpunan itu, telah mendominasi
rak akhbar.

Akhbar pro-Umno turut tidak terkecuali, menyampaikan secara negatif mereka berkaitan perhimpunan tersebut.

Berita Harian bertajuk 'Bersih 4 Tak Sayang Negara', manakala akhbar Mingguan Malaysia bertajuk 'DAP kuasai Bersih 4.0' mengekalkan perhimpunan itu adalah
"haram".

New Sunday Times, bagaimanapun, mendapati letupan di Bangkok lebih mempunyai nilai berita daripada tajuk halaman depan, walaupun ia meletakkan di sisi
bahagian bawah bertajuk 'Merdeka Spirit'.

[Baca berita asal]

10.50am: Jalan Tun Perak - Selepas kehadiran peserta mula berkurangan, lebih kurang 1,000 lagi peserta tiba, termasuk 20 orang daripada masyarakat Orang
Asli.

Anda, seorang daripada mereka, memberitahu Malaysiakini bahawa dia meletakkan harapan yang tinggi untuk perhimpunan ini.

"Kami mahu kerajaan yang bersih dan kami mahu kehidupan Orang Asli dimajukan lagi," katanya.

Setelah diadakan empat kali sejak 2007, perhimpunan Bersih selama dua hari sejak semalam berlangsung dalam suasana tertib dan aman.

10.20am: Jalan Raja - Semangat mula dikobarkan untuk hari kedua yang secara rasminya bermula jam 9 pagi tadi.

Ucapan pagi disampaikan antaranya Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Rashid Hasnon dan wakil rakyat Parit Buntar, Mujahid Yusof.

Aktivis muda Adam Adli menyanyikan lagu dengan iringan kumpulan rakan-rakannya, 'BangsArt'. Ada juga yang menari, memberikan semangat kepada peserta Bersih
4.

Sebelumnya, di langit Kuala Lumpur, beberapa jet pejuang dan helikopter kelihatan merentasi kawasan Dataran Merdeka bagi meneruskan latihan penerbangan
untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58 esok.

10.18am: Masjid Jamek - Kira-kira 1,000 orang, yang baru saja tiba, kelihatan sedang berarak dari stesen LRT Masjid Jamek ke arah Dataran Merdeka untuk
menyertai peserta lain di sama. Mereka melaungkan "Bersih, Bersih, Bersih!"

9.50am: Jalan Tun Perak - Kira-kira 1,500 penyokong Bersih berlegar-legar di jalan-jalan berdekatan Dataran Merdeka. Ada yang masih tidur dan ada juga
yang baru bangun.

Beberapa kumpulan peserta muncul dari arah stesen LRT Masjid Jamek dan beberapa ratus lagi bergerak dari arah Pudu Sentral.

Mereka yang menuju ke kawasan lapang berhampiran Dataran disambut wakil rakyat Bakri, Er Teck Hwa, yang membahagi-bahagikan roti dari sebuah lori yang
dibawanya dari Johor.

9.40am: Jalan Raja - Seorang peserta perhimpunan, Isaiah Jacob, tampil ke pentas untuk menyampaikan ucapan.

Orang Kurang Upaya (OKU) ini, yang sudah tiga kali menyertai demonstrasi Bersih, mengajak peserta memperjuangkan hak dan menuntut perubahan.

"Najib, dengarlah rintihan rakyat," katanya.

Ucapan beliau mendapat tepukan gemuruh. Selepas ucapan, beberapa peserta mengucapkan terima kasih, ada juga peserta yang mengambil kesempatan bergambar
bersama Isaiah.

Peserta di Dataran Merdeka bertambah menjadi kira-kira 7,000 kerana ramai peserta akan hadir pada hari kedua perhimpunan.

9.40am: Jalan Raja - Selepas senaman pagi dan doa pelbagai agama, ahli jawatankuasa Bersih Ivy Josiah membacakan doa untuk kesejahteraan umum.

Beliau juga memohon agar Tuhan membetulkan hati-hati mereka yang berniat buruk terhadap peserta perhimpunan tersebut.

Kira-kira 5,000 peserta kemudian berdiri dan menyanyikan lagu 'Negaraku'.

9.28pm - Jalan Raja - Penganjur mengumumkan program hari ini dengan tiga pentas dibina berdekatan Dataran Merdeka, di Masjid Jamek depan Bank OCBC dan
di Jalan TAR.

Mereka turut mengarahkan peserta berhenti menggunakan vuvuzela kerana ia mengganggu pihak keselamatan dan pengawalan peserta.

Mereka juga meminta setiap orang meminimakan muatnaik foto dan video ke internet kerana ia mengurangkan kualiti talian internet kepada orang lain dalam
himpunan itu.

9.00am - Senaman diikuti doa keagamaan masing-masing.

10am-12pm - Pesembahan BangsART, Awake (Chinese band), persembahan Bangra, ucapan oleh Yi Leong & Khairol Najib.

12pm-2pm - Pengumuman dan makan tengahari

2pm -7pm - Persembahan dan ucapan

7pm -9pm - Pengmuman dan makan malam.

7.30pm - Solat Maghrib

7.50pm - Solat Hajat

8.10pm Zikir/Doa Munajat

8.40pm - Solat Isyak

9.00pm - Tazkirah

9pm-11.59pm - Ucapan tentang 'What next?' Diketuai oleh pemimpin Bersih dari pelbagai tempat

Tengah malam - Penutupan oleh Maria Chin Abdullah & Nyanyian NegaraKu.

Penganjur kata mereka akan memaklumkan sebarang pindaan program.

9am Dataran Merdeka - Kira-kira 40 polis bermotosikal tiba di belakang sekatan. Dalam jarak jauh dari sekatan itu, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH
Ivy Josiah berada di atas pentas mengetuai senaman dengan peserta.

Beliau berjaya memujuk Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah untuk bersamanya di atas pentas. "Putrajaya, perlu bersih, kami memerhatikan anda," Josiah
berkata sambil mengetuai senaman tarian.

Peserta hadir untuk menyertainya. Aktiviti itu berakhir apabila Josiah mengingatkan mereka supaya menjaga kebersihan jalan, mematuhi peraturan dan yang
paling tidak memecahkan sekatan.

Dengan acara itu, BERSIH memulakan aktivitinya hari ini.

8.45am Dataran Merdeka - Kebanyakan peserta yang bangun menyertai kira-kira 4,000 peserta lain di kawasan itu. Peserta yang hadir ke situ majoritinya dari
Jalan Tun Perak.

Empat helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melintasi di udara, peserta dengan penuh semangat melambai dan menjerit "Bersih" kepada mereka.

Sementara itu, sebuah pentas sementara sedang disediakan depan Dataran Merdeka dan banyak berkumpul di sekitar pentas dengan menjangkakan terdapat aktiviti
pagi.

Beberapa sukarelawan BERSIH tutut membantu pekerja Alam Flora mengimpun dan membuang sampah semalam, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lori sampah.

BERSIH di bandar New York

Bandar New York (NYC): Sebagai sebahagian daripada gerakan Global BERSIH, kira-kira 500 rakyat Malaysia menghadiri himpunan Bersih 4 yang diadakan bertentangan
dengan ibu pejabat PBB di bandar New York hari ini.

Ucapan telah disampaikan oleh beberapa orang rakyat Malaysia termasuk menantu kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Syaheedah Jes Izman. Turut
hadir anak lelaki Anwar, Nurul Ihsan.

Peserta kemudian berarak sejauh 300 meter ke persimpangan dengan pintu masuk utama pejabat PBB di mana ucapan disampaikan. Kemudian peserta yang bersemangat
itu bersurai selepas menyanyikan lagu Negaraku.

Perhimpunan tu dianjurkan oleh beberapa anak muda Malaysia di NYC yang dikenali jawatankuas bertindak Bersih 4.0 NYV. Mereka juga mencetak baju T kuning
BERSIH yang diharamkan mengikut versi mereka yang direka oleh anak perempuan Anwar, Nurul Hana.

8:00am Simpang Jalan TAR-Jalan Tun Perak  Sekumpulan 20 individu melaungkan "Bebas Anwar! menarik perhatian peserta Bersih. Kumpulan itu juga melaungkan
"Reformasi! Dan mengibarkan bendera Pulau Pinang".

7:44am Jalan Raja -  Ribuan peserta memula hari mereka pagi ini dengan membersihkan diri dan bersarapan pagi.

Seorang sekretariat BERSIH memberitahu Malaysiakini bahawa senaman yang dijadualkan pagi ini dianjakkan ke jam 9 pagi untuk membolehkan para peserta bersiap
sedia.

Sementara itu kelihatan tidak ada perarakan latihan untuk Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka hari ini seperti yang diumumkan semalam kerana pihak berkuasa
akan meggunakan tempat itu untuk sambutan hari kebangsaan itu pada Isnin.

7:15 am Jalan Raja - Ratusan para peserta berdiri tegak sambil menyanyikan Negaraku.

7am Jalan Raja - MP Shah Alam Khalid Samad mendakwa sekurang-kuranya 30 peratus daripada para peserta terdiri daripada golongan Melayu.

Katanya, jumlah peserta dari kaum lain meningkat secara mendadak kali ini.

"Jika anda hitung, 30 peratus daripada 200,00 penyokong adalah sama dengan perhimpunan sebelum ini.

Isu kaum dalam perhimpunan itu tidak harus dilayan," katanya dalam satu ceramah ringkas kepada kira-kira 100 orang.

6.30am Simpang Jalan TAR-Jalan Tun Perak. Para peserta perhimpunan mula bangun dari tidur dan mengemaskan tempat tidur mereka.

6am Simpang Jalan Raja-Jalan Tun Perak - Para peserta bergegas ke Masjid Jamek sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan.

Beberapa orang peserta bagaimanapun memilih untuk menunaikan fardu Subuh di Jalan Raja bersama rakan-rakan mereka.

Pelbagai gelagat para peserta dapat diperhatikan di kawasan sekitar perhimpunan.

Selain hamparan tikar, kotak dan beg tidur, ada juga yang menggunakan rajut.

5.05am Jalan Tun Perak - Sekumpulan anak muda mengedar sandwic percuma kepada para peserta.

Mereka menyediakan 1,500 sandwic tuna untuk diagihkan kepada peserta yang bermalam di kawasan perhimpunan.

Kumpulan ini bertegas untuk tidak menerima bayaran, seperti ditunjukkan pada slogan "Duit kopi tak mahu" di poster yang dibawa.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: