Khamis, 6 Ogos 2015

Akhirnya serpihan di Pulau Reunion sah dari MH370

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion daripada pesawat MH370 yang hilang.

“Hari ini, 515 hari sejak hilangnya pesawat, dengan berat hati saya harus maklumkan bahawa pasukan pakar antarabangsa dengan muktamad mengesahkan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion daripada MH370.

“Kita sekarang mempunyai bukti fizikal, seperti saya umumkan tahun lalu bahawa pesawat MH370 dengan tragisnya berakhir di selatan Lautan Hindi,” katanya.

Walaupun mungkin berat dan memilukan, Najib berharap ia dapat memberikan kepastian kepada anggota keluarga kepada 239 orang yang berada di dalam pesawat itu.

Beliau memberi jaminan Malaysia akan melakukan apa yang boleh untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi itu.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

MH370: Apa yang kita tahu dan apa tidak | Harian Metro


SERPIHAN sayap Boeing 777 yang ditemui di Pulau Reunion disahkan Malaysia dari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, membuktikan ia terhempas di
Lautan Hindi. Bagaimanapun, punca nahas masih tidak diketahui.

Berikut perkara utama yang kita tahu dan masih tidak tahu mengenai misteri MH370.

Kita tahu:

- MH370 berlepas dari Kuala Lumpur dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lalu, melalui Laut China Selatan menuju
Beijing.

- Pesawat dipandu juruterbang Zaharie Ahmad Shah, 53, yang mempunyai 33 tahun pengalaman dengan syarikat penerbangan itu manakala Fariq Abdul Hamid, 27,
ialah pembantu juruterbang.

- Sebelum MH370 memasuki kawasan trafik udara kawalan Vietnam, seseorang dalam kokpit menghantar mesej suara terakhir kepada pengawal Malaysia berbunyi:
“Selamat malam, Malaysia Three Seven Zero,” pada jam 1.19 pagi.

- Sekitar jam 1.30 pagi, sistem pengesanan, termasuk transponder pesawat ditutup tetapi pesawat itu muncul di radar tentera sehingga jam 2.15 pagi menunjukkan
ia kembali ke arah Malaysia dan kemudian menuju ke Lautan Hindi.

- Serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion selepas lebih 16 bulan pesawat hilang disahkan dari MH370 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang
mengumumkannya pada jam 1.30 pagi 6 Ogos 2015 dengan memetik penyiasat antarabangsa.

- Bateri beacon perakam data penerbangan yang hayatnya 30 hari pada MH370 kemudiannya didapati telah tamat tempoh lebih setahun sebelum berlepas, menimbulkan
persoalan sama ada menjejaskan usaha pencarian lokasi pesawat terhempas di Lautan Hindi.

Kita tidak tahu:

- Punca pesawat itu mengalihkan laluan kerana sama ada krew kokpit atau sistem pemantauan pesawat tidak memberi sebarang tanda masalah sebelum itu dan
cuaca pada malam kejadian adalah baik.

- Adakah ada krew kokpit terlibat kerana ramai pakar menganggap ia menjadi kemungkinan paling besar.

- Adakah berlaku rampasan atau keganasan dalam pesawat kerana tiada sebarang tuntutan daripada sesiapa.

- Kenapa sistem pengesanan pesawat dimatikan dan oleh siapa.

- Di mana lokasi MH370 terhempas. Walaupun penemuan serpihan sayap membantu mengesahkan kawasan carian adalah di Lautan Hindi namun selagi kotk hitam dan
perakam data penerbangan tidak ditemui, punca kehilangan MH370 kekal menjadi misteri. - AFP

KLIK SINI UNTUK MAKLUMAT TERPERINCI

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: