Jumaat, 19 Jun 2015

Pas, DAP dan PKR gagal batalkan keputusan PRU13

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Pas, DAP dan PKR untuk membatalkan keputusan PRU13 di kesemua 222 kawasan Parlimen.
   
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, dakwaan ketiga-tiga parti pembangkang, yang mempertikaikan tatalaku 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), adalah berkaitan dengan pengendalian pilihan raya dan oleh itu termaktub di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel itu menyatakan bahawa persoalan tatalaku berkaitan pilihan raya umum hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya dan petisyen sedemikian
perlu didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya yang khusus.
   
Susulan keputusan itu, sebarang dakwaan mengenai salahlaku pilihan raya hendaklah difailkan melalui petisyen pilihan raya dan didengar di Mahkamah Pilihan
Raya dan bukan di mahkamah sivil.
   
Dalam kes ini, parti-parti pembangkang telah memfailkan kes mereka melalui saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menurut panel itu yang turut dianggotai
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Zainun
Ali.
   
Dalam keputusan sebulat suara, panel menolak permohonan ketiga-tiga parti itu untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dengan tiada perintah
dikeluarkan berhubung kos.
  
Pas, DAP dan PKR memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk
mengembalikan saman sivil mereka terhadap SPR.
   
Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari tahun lepas yang membenarkan permohonan SPR untuk membatalkan
saman yang difailkan oleh Pas, DAP dan PKR, ketiga-tiga parti dalam gabungan PR.
   
Keputusan majoriti pada 7 Novembr tahun lepas bermakna ketiga-tiga parti hendaklah meneruskan usaha melalui petisyen pilihan raya di Mahkamah Pilihan Raya.
   
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin yang mengetuai panel hakim berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes pilihan
raya dan permohonan bagi penarikan diri pesuruhjaya pilihan raya.
   
Hakim Alizatul dan Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan majoriti itu sementara Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham yang tidak memihak kepada keputusan itu
berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa dakwaan mengenai pelanggaran perlembagaan terhadap SPR.

Pas, DAP, PKR dan lima individu, Dzulkefly Ahmad, M. Manogaran dan Saifuddin Nasution Ismail, iaitu calon pilihan raya, dan dua pengundi, Arifin Abd Rahman
dan R. Abbo, memfailkan saman pada Julai 2013 terhadap pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, timbalannya ketika itu, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan
lima anggota lain SPR.
   
Parti-parti politik itu, antara lain, mahu pengisytiharan bahawa keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh SPR pada PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013
bagi semua 222 kerusi parlimen adalah tidak sah dan terbatal.
   
Mereka juga memohon penyingkiran kepimpinan SPR sekarang dan pilihan raya diadakan semula dan bagi pengisytiharan bahawa anggota SPR melakukan penipuan
ke atas pengundi Malaysia dengan menyalah guna dakwat kekal untuk mengundi.
   
Peguam Tommy Thomas mewakili ketiga-tiga parti pembangkang itu sementara Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh mewakili SPR. - Bernama

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: