Khamis, 4 Jun 2015

Apa Hadi nak kata?

Saya hargai ramai yang menyatakan berdiri di belakang saya. Cuma saya bimbang bila saya paling ke belakang, tiada orang di belakang saya.”

Itulah antara kata-kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila mengulas sokongan yang diterimanya dalam berhadapan serangan demi serangan daripada DAP.

Dan hari ini, Abdul Hadi yang dicabar buat pertama kali selepas 13 tahun menduduki jawatan itu akan menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 di Stadium Tertutup, Kuala Selangor.

Ucapan Abdul Hadi sudah tentulah ditunggu-tunggu kerana bukan sahaja pemimpin atau ahli Pas, malah orang luar khususnya orang Melayu ingin mengetahui apakah tindak balas yang akan beliau lakukan berikutan kebiadaban DAP.

Dalam muktamar tahun lalu di Batu Pahat, Johor, Abdul Hadi mengejutkan banyak pihak apabila secara lantang mendedahkan kewujudan ‘barua dan broker’ dalam Pas.

Ia berikutan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor yang wujud akibat ‘Langkah Kajang’ yang digerakkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan disokong oleh DAP.

Sejak itulah hubungan Abdul Hadi dengan sekutu Pas khususnya DAP tegang, malah suhunya semakin panas apabila Pas tidak mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebaliknya turut menyenaraikan Mohamed Azmin Ali.

Tindakan Pas itu menimbulkan kemarahan DAP. Mereka mempertikaikan keputusan Abdul Hadi. Hubungan antara kedua-dua pihak bertambah panas apabila Pas bertegas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan Kelantan.

Walaupun DAP menentang segala tindakan Pas namun sasaran mereka hanyalah Abdul Hadi. Justeru DAP memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Marang itu tetapi tetap mahu meneruskan kerjasama dengan Pas.

Sejak itu Abdul Hadi diserang habis-habisan seolah-olah Presiden Pas bertaraf ulama itu tidak ada maruah. Pelbagai kecaman mereka lemparkan termasuklah memperkecilkan kewibawaan Abdul Hadi.

Ketika ‘serangan’ dari luar semakin mengancam, di dalam parti sendiri pula, Abdul Hadi bagai tidak dibela oleh sebahagian pemimpin parti. Mereka membuat kenyataan yang dilihat boleh merapuhkan kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden.

Justeru banyak pihak mahu melihat apa yang akan Abdul Hadi luahkan selepas ‘disepak terajang’ oleh DAP dan PKR bahkan segelintir ahli Pas sendiri dalam setahun ini.

Adakah Abdul Hadi akan terus berdiplomasi dan masih mahu bertolak ansur, atau menunjukkan ketegasannya bagi mempertahankan maruahnya sebagai ulama serta martabat Pas sebagai parti Islam?

Walaupun bukan musim pilihan raya, namun apa yang akan disampaikan oleh Abdul Hadi amat penting kerana bakal menentukan masa depan Pas khususnya dalam terus menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Seperti mana kata Ketua Dewan Ulama Pas pusat, Dr. Mahfoz Mohamad, apa yang dilakukan oleh DAP adalah campur tangan politik.

“Perbuatan itu boleh membatalkan tahaluf siyasi antar Pas dan parti sosialis tersebut,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di muktamar dewan tersebut di Gombak, semalam

Hakikatnya, semua orang tahu DAP tidaklah begitu menghormati Pas sebaliknya Pas yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menjaga hati DAP .

Sekarang Pas sudah tahu ‘isi perut’ DAP. Ramai ahli, perwakilan dan pemerhati Pas mengharapkan Abdul Hadi akan ‘berkata sesuatu’ bagi mengajar kebiadaban DAP.

“Sampai bila Pas nak serah kepala untuk diketuk DAP? Sebelum ni depa (mereka) macam dah letak tali kat tengkuk kita, semua depa kata kena ikut.

“Harap-harap kali ini Presiden bagi amaran keras kat DAP supaya jangan kurang ajaq (ajar) dengan Pas,” kata seorang pemerhati Pas dari Kedah kepada penulis.

Harapan juga diletakkan kepada Abdul Hadi supaya beliau tidak menghabiskan masa membaca teks ucapan dasar yang akhirnya diibaratkan, “Kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak”.

Pas kini berdepan dengan masalah dalaman dan luaran, sepatutnya isu itu yang diselesaikan dahulu khususnya melibatkan kebiadaban DAP. Ini perkara serius kerana ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri seolah-olah ‘merestui’ perbuatan DAP.

Sesungguhnya ucapan dasar Abdul Hadi kali ini lebih ditunggu-tunggu pelbagai pihak. Daripada ucapan itu, mereka boleh menilai apa yang akan berlaku kepada perjalanan politik Pas selepas ini sama ada bangkit sebagai sebuah parti bermaruah atau terus mengalah.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: