Selasa, 9 Jun 2015

1MDB: Mahathir kantoikan Arul Kanda Kandasamy

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata walaupun 1MDB baru-baru ini menjelaskan urus niaga dan apa yang ia laburkan, beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan kerana ia datangnya daripada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Presiden syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy digelar “pembohong” oleh salah seorang pengkritik hebat firma itu Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas beliau ditangkap kerana tidak bercakap benar beberapa kali terhadap urus niaganya.

Dr Mahathir, yang juga bekas perdana menteri, berkata walaupun 1MDB baru-baru ini menjelaskan urus niaga dan apa yang ia laburkan, beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan kerana ia datangnya daripada Arul Kanda.

"Saya tertarik dengan kemampuan 1MDB melabur RM42 bilion dalam banyak perniagaan. Saya seharusnya berpuas hati sepenuhnya dengan bagaimana 1MDB membelanjakan pinjaman besar yang dipinjam," katanya dalam blog popularnya chedet.cc.

"Tetapi malangnya tidak. Saya tidak percaya, kerana maklumat itu datang daripada CEO semasa, Arul Kanda Kandasamy. Dan Arul ditangkap berbohong beberapa kali."

Merujuk kepada pelaburan 1MDB sebanyak AS$2.318 bilion di Kepulauan Cayman, Dr Mahathir berkata Arul Kanda ketika mula-mula mengambil alih 1MDB ada mengatakan wang berkenaan sudah ditebus sepenuhnya.

"Beliau berkata dengan jelas dan terang beliau melihat wang berjumlah AS$1 bilion dalam bentuk tunai. Kemudian beliau kata ia dalam bentuk penyata. Kenyataan apakah ini?

"Bagaimanapun, pada akhirnya, bank berkenaan menyatakan tidak ada wang tunai dan hanya ada dokumen yang disimpan serta dokumen yang terdapat tandatangan palsu.

"Beliau perlu memberitahu perdana menteri mengenai longgokan besar duit ini jadi perdana menteri boleh menjawab soalan di Parlimen yang wang tunai itu sudah disimpan di Singapura," kata bekas perdana menteri.

Beliau merujuk kepada jawapan Najib di Parlimen pada Mac lalu, di mana Najib berkata sejumlah AS$1.103 bilion hasil pelaburan dari Kepulauan Cayman kini diletakkan di BSI Bank Limited Singapura (BSI Singapura).

"Keputusan untuk menggunakan BSI Singapura (adalah) untuk memudahkan pengeluaran wang kerana mengikut peraturan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia, kelulusannya diperlukan untuk transaksi lebih RM50 juta," kata Najib.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Najib sebagai menteri kewangan boleh meluluskan atau menolak semua struktur atau kelulusan Bank Negara.

"Kemudian bank berkenaan menafikan terdapat tunai dalam bank. Ini memalukan. Gambaran itu sudah hilang. Tidak. Ia bukan tunai. Ia dokumen. Tidak, ia unit. Unit apa? Tak tahu. Bank mana? Tidak pasti. Semakin banyak misteri.

"Oleh itu, apabila Arul mengumumkan pelaburan sebanyak RM42 bilion, mungkinkah dia nampak benda lain yang sebenarnya tiada?" soalnya.

Awal bulan ini, 1MDB menjelaskan ke mana wang itu dibelanjakan dengan mendedahkan syarikat itu membelanjakan RM18 bilion bagi pembelian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) manakala RM15.4 bilion dilaburkan ke dalam dana seperti Brazen Sky dan Aabar Investments.

Selepas mengambil kira sejumlah RM5.8 bilion dalam perbelanjaan mengurus (kos kewangan dan modal kerja) dan RM1.7 bilion dalam kos tanah, 1MDB ketika ini mempunyai lebihan tunai sebanyak RM900 juta.

Hari ini, Dr Mahathir mempersoalkan mengapa syarikat pelaburan negara itu perlu meminjam wang untuk membayar cukai.

"Cukai apa? Tiada keuntungan diisytiharkan tetapi cukai dibayar. Berapa banyak? Kos menguruskan 1MDB mencecah berbilion-bilion!"

"Arul pernah berbohong sebelum ini. Sukar untuk membayangkan beliau tidak berbohong lagi dalam isu RM42 bilion itu. Ke mana perginya sebahagian daripada RM42 bilion itu masih boleh dipersoalkan," katanya.

Kritikan semakin memuncak sejak syarikat pelaburan milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2009 itu mencatatkan hutang sehingga RM42 bilion dan disokong Putrajaya.

Jabatan Audit Negara kini sedang meneliti buku kira-kira 1MDB, dengan laporan awal dijangka dikemukakan kepada Parlimen bulan ini, manakala Jawatankuasa Kira Wang Negara (PAC) mula melakukan siasatan ke atas syarikat itu pada 19 Mei lalu.

Arul Kanda gagal menghadirkan diri pada prosiding dengan PAC dan kemudiannya menjelaskan beliau berada di luar negara pada masa itu. – 9 Jun, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: