Ahad, 3 Mei 2015

Foto lucah: Nur Fitri dipenjara 9 bulan bukan 5 tahun

Pelajar pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan, bukannya lima tahun seperti dilaporkan oleh media semalam yang memetik laporan portal United Kingdom International Business Times.

Bagaimanapun kata Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa, Nur Fitri yang didapati bersalah kerana memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak oleh Mahkamah Southwark Crown, London, Khamis lalu hanya akan meneruskan hukuman penjara selama empat bulan.

Katanya, perkara tersebut memandangkan Nur Fitri telah pun ditahan sejak lima bulan lalu dan berdasarkan peraturan visa dan imigresen United Kingdom (UK), dia boleh dibawa pulang ke tanah air selepas menjalani hukuman penjara selama dua pertiga dari tempoh pemenjaraan.

“Berdasarkan maklumat, secara kesimpulannya, Nur Fitri akan dibawa pulang dalam tiga hingga empat minggu lagi dari tarikh 30 April lalu. Dia bernasib baik kerana dijatuhi hukuman paling ringan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut laporan portal United Kingdom International Business Times, Nur Fitri yang disabit dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak dijatuhi hu­kuman penjara selama lima tahun.

Nur Fitri mengaku melakukan kesalahan tersebut sehingga tarikh November 2014 di Mahkamah Southwark Crown, London.

Dia yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu.

Pihak polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun beribu-ribu vi­deo dan imej lucah kanak-kanak.

Polis bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebe­lahan satu patung kanak-kanak.

Ketika ditahan, polis mendapati pelajar itu yang juga pemegang biasiswa Matematik, memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah ka­tegori B dan C.

Nur Fitri yang berasal dari Malim Nawar, Perak merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Ma­laysia (SPM) pada tahun 2009, Nur Fitri meneruskan pelajarannya di salah sebuah kolej persediaan antara­bangsa di Malaysia sebelum ditawarkan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran di Imperial College di London dalam jurusan Matematik.

Pada tahun 2011, Nur Fitri pernah bertanding dalam Kejuaraan Olim­pik Matematik di Amsterdam.

Yang turut dilaporkan portal tersebut, Nur Fitri akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik sahaja dibebaskan daripada hukuman penjara.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: