Isnin, 4 Mei 2015

‘Drama’ keluar parti makin rancak di Permatang Pauh

Masuk hari sepuluh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, ‘drama’ majlis mengumumkan ahli keluar parti yang sememangnya menjadi lumrah dalam hampir setiap PRK semakin rancak dianjur bagaikan menganjurkan ‘parti’.

Semuanya bermula pada 1 Mei lalu apabila Ketua UMNO cawangan di Guar Jering Jaya, Penanti, Asri Ahmad mendakwa cawangan berkenaan dibubarkan selepas hilang kepercayaan ke atas kepimpinan parti dan membantah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pembubaran tersebut menyaksikan 68 ahli UMNO di cawangan berkenaan kini tidak lagi mempunyai parti sekaligus menjejaskan gerak kerja kempen Barisan Nasional (BN) dalam PRK berkenaan.

Sehari kemudian, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata mendakwa telah berjaya memujuk lebih 300 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kebanyakannya berketurunan India keluar daripada parti berkenaan.

Katanya, kesemua mereka kecewa dengan pucuk pimpinan PKR yang dikatakan tidak mendengar permasalahan yang dihadapi mereka sekaligus menyebabkan mereka keluar parti.

Hari ini, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menerima borang daripada lebih 53 orang ahli PKR dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sembilang yang merupakan kubu kuat parti berkenaan.

Kebanyakan daripada mereka yang keluar parti tersebut terdiri daripada golongan belia yang dikatakan tertarik dengan pemilihan calon BN iaitu Suhaimi Sabudin yang merupakan calon muda.

Borang permohanan keahlian UMNO kumpulan ahli PKR berkenaan yang telah siap diisi diserahkan kepada Khairy melalui Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh, Abu Bakar Sideek Zainol Abidin pada satu majlis yang turut dihadiri pemohon.

Dalam tempoh ini, jumlah keseluruhan ahli PKR yang keluar parti ialah seramai 353 orang manakala ahli UMNO yang tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan pula sebanyak 68 orang.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mengatakan bahawa beliau mempunyai senarai nama siapa yang dikatakan ahli PKR yang akan keluar parti.

Ujarnya, setiap kali pilihanraya berlaku, orang yang sama yang akan mengumumkan keluar parti dan ia bukanlah perkara yang besar bagi PKR.

Kini, tinggal tiga hari lagi tempoh berkempen akan berlangsung dan sudah pasti dalam tempoh tersebut ‘drama’ keluar parti ini akan berterusan sehinggalah tempoh berkempen tamat pada 12 malam 7 Mei depan.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: