Selasa, 24 Februari 2015

Qazaf terhadap Shafee, JAIS nak main silap mata?

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Wan Hussin membuat laporan jenayah syariah kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Tan Sri Shafee Abdullah berhubung kenyataan peguam itu mengenai kes Liwat II.

Wan Ji berkata, kenyataan itu merupakan kesalahan qazaf kerana menceritakan perbuatan liwat di antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Saiful Bukhari Azlan tanpa tiga orang saksi.

"Laporan ini dibuat ekoran ucapan Shafee di Kelana Jaya. Dia ada sebut macam mana kelakuan seks yang dibuat Anwar dan Saiful.

“Bila kenyataan itu dikeluarkan oleh Shafee tanpa tiga orang saksi lain, ia jatuh qazaf," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Shafee menyatakan butiran sensasi tersebut dalam forum penerangan kes Liwat II di Kelana Jaya Selasa lalu.

Selain Wan Ji, laporan sama turut dibuat oleh rakannya Ahmad Auzaie Arshad pada kira-kira jam 3 petang. Mereka berdua turut ditemani peguam Rifahmi Abdul Musikin.

Qazaf dikategorikan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor Nombor 9 Tahun 1995.

Jangan hanya sekat ceramah

Wan Ji juga secara sinis berkata, JAIS perlu memandang serius laporan jenayah qazaf yang dibuatnya dan bukannya menghalang penceramah daripada memberikan kuliah mereka.

"Saya secara peribadi harap JAIS perlu serius di atas kemungkaran. Bukan hanya tahu nak halang orang daripada berceramah," kata Wan Ji.

Beliau yang ditahan JAIS Khamis lalu kerana didakwa memberi kuliah tanpa tauliah di sebuah surau di Seksyen 17, Shah Alam.

Beliau ditahan mengikut enakmen sama dan hadir untuk memberi keterangan kepada JAIS pagi ini berhubung penahanannya.

Menurut penceramah bebas itu, beliau tidak bersetuju dengan enakmen yang dikenakan terhadap dirinya memandangkan kitab yang diajar tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Saya tanya pegawai penyiasat, adakah saya bawa ajaran menyimpang Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana saya mengajar kitab muktabar (yang diperakui), dia kata tidak.

"Jadi saya punya pandangan, sepatutnya pihak JAIS tidak boleh guna enakmen itu untuk menghalang orang untuk berdakwah," katanya.

Kes tersebut akan dikemukakan untuk pertuduhan pada Julai depan di Mahkamah Syariah Shah Alam.
-malaysiakini-

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: