Selain pelantikan Mueller yang akan berkuatkuasa 1 Januari depan, Khazanah turut mengumumkan pelantikan barisan lembaga pengarah untuk memacu Rancangan Pemulihan MAS yang kini sedang meraih momentum sebelum NewCo beroperasi pada 1 Julai 2015.
Mueller yang kini adalah CEO Aer Lingus Plc (Aer Lingus), syarikat penerbangan nasional Ireland, akan dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan CEO MAS NewCo berkuatkuasa 1 Januari 2015.
Mengikut Khazanah, kontrak Mueller sebagai CEO Aer Lingus akan berakhir 1 Mei 2015 dan rundingan sedang berlangsung supaya Mueller dapat menyertai MAS NewCo sebelum 1 Mei 2015 tetapi tidak lebih awal daripada 1 Mac depan.
Dalam pada itu, Khazanah turut mengumumkan CEO Celcom (Malaysia) Bhd, Datuk Seri Shazalli Ramly akan dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS mulai 1 Januari 2015, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid sebagai Pengerusi Pusat Latihan Semula Korporat (CRC) manakala Shahryn Azmi sebagai CEO CRC dan Datuk ' Boonler Somchit sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan Penasihat CRC.
Khazanah dalam kenyataan di sini hari ini berkata, ia sudah melaksanakan carian dan penilaian menyeluruh calon tempatan dan antarabangsa daripada kalangan peserta industri penerbangan dan di luar bidang itu.
Pengumuman hari ini diterima dan dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Najib berkata, pengumuman hari ini adalah sebahagian usaha kerajaan dan Khazanah untuk memperkukuhkan asas untuk kejayaan masa depan syarikat penerbangan nasional itu.
"Adalah penting kita mempunyai bakat terbaik untuk membantu memacu kejayaan penyusunan semula itu, mengembalikan keuntungan dan melatih rakyat Malaysia untuk mengambil alih teraju kepimpinan syarikat penerbangan ini pada masa depan.
"Kerajaan komited untuk memastikan kelancaran penyusunan semula MAS hingga akhirnya ia meraih kejayaan," katanya.
Mueller, seorang warganegara Jerman sudah berkhidmat dengan Aer Lingus sejak 2009. Beliau akan menyumbangkan lebih 25 tahun pengalaman dalam industri penerbangan, logistik dan pelancongan kepada MAS. Secara keseluruhan, beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun sebagai CEO syarikat penerbangan.
Beliau mempunyai rekod hebat dalam pemulihan dan transformasi industri penerbangan seperti yang dibuktikannya menerusi keupayaan dan perancangan strategiknya hingga dapat memulihkan kerugian Aer Lingus dan kembali untung dalam tempoh setahun, di tengah-tengah penyusutan industri penerbangan Ireland dan kesuraman pasaran Eropah.
Di bawah kepimpinan beliau, Aer Lingus meneroka pasaran dan model perniagaan baharu hingga dapat menempatkan diri dalam pasaran dengan model perniagaan-kepada-pengguna berbanding perniagaan-kepada-perniagaan sebelum itu, yang mana 90 peratus sistem pengedaran adalah secara online.
Kerjaya Mueller dalam bidang penerbangan bermula dengan Lufthansa sebelum berpindah dan menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi Sabena SA dan kemudian menjadi CEO. Beliau kemudian menjawat sebagai Pengerusi Delta Air Transport (DAT) yang kemudian dijual kepada pelabur persendirian dan kini dikenali Brussels Airlines.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata berikutan keadaan kritikal dalam proses penyusunan semula MAS, ia perlukan kepakaran terbaik terutama mereka yang berkeupayaan memulihkan syarikat penerbangan nasional.
"Setelah carian menyeluruh dibuat, Mueller adalah calon terbaik dan beliau mempunyai dua tugas penting iaitu menggerakkan pemulihan syarikat penerbangan kita dan membina pengganti daripada kalangan anak tempatan," katanya.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan