Khamis, 9 Oktober 2014

Saari Sungib yang saya kenal (wajib baca)

Dalam tempoh berlakunya krisis Menteri Besar Selangor, ada dua keadaan yang buat saya terlopong dan benar-benar terkejut serta sukar menerima kenyataan.

Satunya bila lewat tengah malam saya menerima berita daripada seorang sahabat yang meminta saya menyemak dengan ahli keluarga YB Saari Sungib apakah benar berita bahawa beliau sedang krikital lantaran serangan jantung. Ini berlaku setelah di siang harinya, iaitu pada 15 September, YB Saari Sungib bersama ADUN Morib YB Hasnul Baharuddin telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka dengan pencalonan Dato’ Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat keahlian daripada PKR. Mereka menandatangani akuan bersumpah menyokong pilihan PKR.

Mereka kemudiannya dihina dan dikutuk sebagai pengkhianat. Paling teruk mereka dituduh dengan kesat sebagai pengkhianat parti dan mengkhianati sumpah yang mereka lafazkan sebagai syarat ketika bertanding dalam pilihanraya sebagai calon PAS.

Ternyata berita tersebut adalah fitnah semata walaupun turut disiarkan oleh Sinar Harian yang memohon maaf kemudiannya. Ini semua hanyalah usaha segelintir pihak yang sangat memarahi tindakan kedua-dua ADUN ini menggagalkan misi mereka.

Satu tindakan yang amat keji!

YB Saari Sungib masih sihat dan masih berbakti kepada rakyat di kawasannya.

BARUA, ADUN dicuri dan dibeli

Sekali lagi saya benar-benar terlopong bila mendengar ucapan Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang “BARUA, ADUN dicuri dan dibeli” dalam ucapan penutupnya di Muktamar Tahunan PAS di Johor baru-baru ini.

Sukar untuk saya percaya dan terima tuduhan kesat itu walaupun ia keluar dari mulut seorang yang diiktiraf sebagai ulamak dalam dan luar negara.

Mengenali YB Saari Sungib sejak lebih 20 tahun yang lalu membuatkan saya mempunyai pandangan yang jelas akan siapa beliau dan bagaimana prinsip perjuangannya.

Beliau tidak akan tunduk pada kezaliman dan pada mereka yang zalim dan tidak adil, berkhidmat untuk rakyat dan memegang amanah dan tanggungjawab sebaiknya. Ini terbukti dengan keyakinan rakyat Hulu Kelang kepada beliau baik Melayu, Cina, India dan pelbagai agama dan bangsa dan segenap lapisan masyarakat. Ada yang berjanji mereka tidak akan menerima calon lain sebagai wakil rakyat Hulu Kelang sekiranya tempatnya digantikan dengan calon yang lain.

YB Saari Sungib yang saya kenal

YB Saari Sungib, atau panggilan mesranya Pak Abu, yang saya kenal ialah seorang yang sangat berprinsip dan tegas. Berani melawan kezaliman secara terang-terangan. Ini terbukti bila beliau dua kali ditangkap dan ditahan di bawah Akta Zalim ISA.

Bagi ramai aktivis dan penggerak dakwah, perkenalan dengan YB Saari Sungib ialah melalui bacaan dan diskusi dalam siri perjumpaan yang dikenali sebagai ‘Usrah’, menggunakan siri buku ‘Risalah Usrah’ tulisan beliau. Saya dan suami juga antara yang memiliki buku ini dan menjadikannya bahan rujukan ketika kami mula berjinak-jinak dan aktif dalam gerakan dakwah ketika belajar di luar negara.

Bila pulang ke Malaysia, siapa sangka yang saya dapat bekerja di pejabat beliau yang dipanggil ‘Pejabat Presiden’ ketika itu, di tahun 1991, menguruskan hal-hal keahlian dan penerbitan risalah untuk edaran kepada ahli. Bermula dari situlah hubungan kami jadi seperti sebuah keluarga.

Dari situ saya sudah melihat sifat kekeluargaan yang ada pada YB Saari. Ahli keluarga terutama isteri beliau serta kakak-kakaknya turut sama membantu dalam pekerjaan.


Hubungan saya dengan keluarga YB Saari bertambah rapat di era Reformasi, bermula detik 2 September 1998, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Suami saya menjadi orang yang sentiasa bersama YB Saari dalam gerakan Reformasi ketika itu. Kami bergerak hampir ke seluruh negara bersama bagi membentuk gerakan rakyat menentang kezaliman kerajaan UMNO Barisan Nasional.

Ketika YB Saari ditangkap di bawah akta zalim ISA kali pertama, suami saya antara sahabat-sahabat membantu urusan keluarga, juga urusan berjuang bagi pembebasan beliau dan rakan-rakan lain yang juga ditangkap.

2 Jun 2001, ketika dikejutkan dengan penangkapan YB Saari buat kali kedua bersama aktivis Reformasi yang lainnya di bawah ISA, sekali lagi keluarga kami menjadi antara yang bertanggungjawab menjaga urusan kebajikan keluarga para tahanan – perjuangan yang bukan semata kerana kami ‘penyokong tegar’ YB Saari tetapi demi rakyat tanpa mengira siapa selagi mereka dizalimi dan selagi ada pemimpin yang zalim dan tidak adil.

Ketika inilah, selama dua tahun tepat, keluarga kami begitu rapat. Saya melihat bagaimana seluruh ahli keluarga ini, iaitu anak-anak dan terutama sekali isterinya Puan Aliza, bangun berjuang habis-habisan untuk membebaskan YB Saari kerana amat yakin dengan perjuangan beliau menentang kezaliman.

Walaupun bukan ahli keluarga YB Saari, saya pernah dua kali mendapat peluang melawat beliau ketika merengkok dalam Kem Kamunting. Sifat kasih kasih-sayang sebuah keluarga amat jelas. Pertemuan keluarga setiap minggu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kamunting juga tidak pernah menjadi beban buat keluarga ini bagi memastikan mereka yang di dalam dan di luar terus kuat untuk berjuang.

Hasil daripada perjumpaan tanpa henti dan jemu selama dua tahun ini jugalah yang membuatkan momentum perjuangan rakyat di luar juga terus kuat. Saya rasa amat bertuah dan bangga juga kerana saya menjadi orang yang dipertanggungjawabkan oleh YB Saari untuk menyediakan bahan-bahan bacaan berkaitan dengan tahanan tanpa bicara dan isu-isu politik dalam negara untuk disampaikan kepada mereka yang berada dalam Kem Tahanan Kamunting. Bahan-bahan bacaan itu dibawa oleh para peguam di setiap lawatan, di samping buku-buku lain sebagai bahan bacaan.

Maka tidak hairanlah juga bila sejak merengkok dalam KEMTA beliau berjaya menghasilkan beberapa siri buku tentang kezaliman ISA .

Kami juga bertuah kerana sering diraikan dalam majlis makan bersama keluarga jika ada peristiwa yang penting berlaku seperti di waktu suami saya dibebaskan dari Penjara Tapah kerana kesalahan menyertai perhimpunan aman dan juga ketika mahkamah Tinggi Ipoh memberikan keputusan bahawa hukuman penjara dua tahun ke atas suami saya digugurkan.

Antara pengalaman menarik bersama keluarga ini ialah ketika kami turut sama menguruskan pernikahan anak-anak YB Saari dan Puan Aliza. Jun 2006, keluarga ini melangsungkan perkahwinan 3 orang anak-anak secara serentak. Saya kira itulah majlis perkahwinan yang sangat ringkas. Makanan yang ditempah hanyalah Nasi Kukus Ayam Berempah. Itu sahaja dan jemputannya juga tidak ramai. Selesai tanggungjawab sebagai ibu bapa Muslim dan contoh yang ingin diketengahkan ialah bersederhana dan berjimat cermat serta berhemah dalam perbelanjaan.

Saya yakin ini juga yang dapat dilihat dari pengurusan di kawasan yang diwakilinya di Hulu Kelang. Isteri dan anak-anak tetap memainkan peranan penting dalam membantu tugasnya sebagai ADUN Hulu Kelang agar khidmat yang terbaik dapat disalurkan kepada rakyat di kawasannya.

Saya sendiri adalah pengundi untuk kawasan Hulu Kelang dan pasti akan terus mengundinya dalam pilihanraya yang akan datang. Saya yakin penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama akan terus memilihnya atas rekod cemerlang di kawasannya.

Kemelut krisis Menteri Besar Selangor sudah selesai dengan terlantiknya YAB Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baru. Keadaan kembali tenang untuk sebuah kerajaan Negeri juga selesai dengan terlantiknya EXCO yang baharu.

Namun masalah dalaman PAS sebagai sebuah parti yang hebat dan besar masih tidak dapat diselesaikan. Masih tidak selesai lagi tanggapan yang buruk terhadap dua orang ADUN yang terlibat yang masih dilabel sebagai pengkhianat.

Harapan sesetengah rakyat yang meletakkan harapan yang tinggi kepada sebuah parti yang dianggap hebat umpama hancur dan banyak orang merasakan Pakatan hanya menanti saat untuk pecah dan berkecai.

Namun, untuk seorang yang berjiwa besar seperti YB Saari yang saya kenali, beliau tidak akan berundur dan menyerah kalah walau difitnah, dikutuk dan dizalimi.

Beliau akan tetap bersama perjuangan parti yang beliau dukung sepertimana jawapannya kepada media bahawa beliau masih ahli PAS hingga ajal dan tidak akan meninggalkan parti.




Itulah YB Saari yang saya kenali – berjuang demi agama dan rakyat.

oleh Nashita Md Noor

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

1 respon:

Tanpa Nama berkata...

MSU, Presiden PAS dan Tantawi tidak pernah merasai pahit getir menjadi tahanan ISA. Mereka juga bukan pejuang sebenar.