Jumaat, 24 Oktober 2014

Nasib Anwar Dan Kesannya Kepada Rakyat

Jika dibebaskan, Anwar akan meneruskan perjuangannya bagi menghadapi PRU 14 di sebalik kedudukan Najib Razak yang semakin goyang, kian ditolak dan tidak lagi mendapat sokongan daripada Mahathir Mohamad sebagaimana PRU 13 dahulu, manakala kalau didapati bersalah, maka berakhirnya karier dan masa depan politiknya.


Dengan dipenjara, hanya jiwa merdeka dan semangat perjuangannya saja lagi yang akan menjadi tangkal bekalan bagi PKR dan juga PR menghadapi pilihanraya akan datang nanti.


Sementara menunggu detik 28 dan 29 Oktober di mana Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk menentukan sama ada rayuannya diterima atau ditolak, Anwar juga dilaporkan sudah pun mempunyai jadual yang padat untuk menemui para penyokongnya di seluruh negara. Malam terakhir sebelum ke mahkamah, programnya dijangka berlangsung di perkarangan Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya iaitu pada malam 27 Oktober ini.


Di sisi yang lain pula, beberapa Ahli Parlimen PR yang diketuai oleh Rafizi Ramli sedang berada di Australia untuk menemui pelbagai pihak bagi mendapatkan sokongan serta menjelaskan mengenai perjalanan kes yang melibatkan Anwar itu.


Rafizi juga, dalam masa yang sama telah mengarahkan semua cabang PKR di seluruh negara agar menghantar seramai mungkin ahli ke perhimpunan di sekitar Istana Kehakiman, Putrajaya pada tarikh 28 dan 29 Oktober bagi menunjukkan solidariti dan sokongan kepada Anwar.


Walaupun diakui bahawa semangat dan gelombang anak-anak muda dalam mempertahan dan membela Anwar agak jauh berbeza berbanding tahun 1998 atau ketika Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas dakwaan meliwat Saiful Bukhari pada 2012 dahulu, Anwar dan PKR tetap tidak berdiam diri atau mengalah begitu saja.


Anwar bukan saja mahu membuktikan beliau tidak bersalah di hadapan lima hakim Mahkamah Persekutuan tetapi juga untuk meneruskan perjuangannya membawa reformasi dan menegakkan keadilan bagi rakyat negara ini. PRU 14 adalah kesempatan terakhir baginya yang kini sudah berusia 67 tahun.


Dengan keadaan negara yang makin berkecamuk di mana pelbagai isu gagal ditangani, sikap Najib yang lebih suka berdiam diri, kos kehidupan rakyat kian tinggi, hutang negara kian meningkat dan pelbagai caca-marba lainnya, tidak dinafikan bahawa mendekamnya Anwar di penjara mungkin menjadikan negara terus diurus tanpa segan-silu dan malu-malu lagi.


Jika dalam keadaan pembangkang kuat pun Najib banyak berbuat perkara sesuka hati seolah-olah negara ini sebuah syarikat sendirian berhad miliknya saja, pengurusan dan pentadbiran negara pasti lebih menyakitkan hati jika Anwar di dalam penjara dan kekuatan pembangkang mulai lemah.


Ini kerana tanpa Anwar, kekuatan pembangkang pasti mulai rapuh. Meskipun PR akan terus wujud tetapi kekuatannya tidak seperti dulu lagi. PR akan kehilangan pemimpin yang berwibawa untuk menyatupadukan ketiga-tiga parti dalam gabungan itu. Paling mungkin ialah Pas yang mulai jauh hati dengan Anwar sejak Langkah Kajang, akan terus menjauhkan diri serta tidak mustahil berpisah atau dipisahkan daripada PR.


Hubungan Pas dengan PR akan terus bertambah buruk jika dalam pemilihan tahun depan itu parti itu terus dikuasai oleh kumpulan ulama dan kelompok taliban.


Ketiadaan Anwar, kekuatan pembangkang yang mulai tumpul dan hubungan Pas yang semakin menjauh dengan PR adalah berita paling gembira buat Najib dalam menghadapi pilihanraya yang seterusnya.


Beliau bukan saja mempunyai lebih keyakinan untuk mendapat sokongan dan memenangi PRU 14 nanti, bahkan juga sudah mulai boleh mencatur untuk menyusun pengganti bagi mengambil alih tempatnya. Bukan rahsia lagi bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang sudah berusia 68 tahun ketika ini dikatakan tidak bertanding lagi dalam pilihanraya umum nanti dan akan bersara selepas itu.


Dengan kedudukan itu, Najib akan melantik sepupunya, Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya pewaris kepada kedudukannya.


Kiranya ini berlaku, sekali lagi negara yang diurus secara paling buruk oleh golongan bangsawan yang tidak memahami susah payah dan derita sebenar rakyat, sekali lagi akan terjerumus ke lembah paling menyakitkan bagi rakyat kebanyakan.


Sejujurnya kita tidak pasti apa nasib Anwar kali ini, tetapi setidak-tidaknya kita mengharapkan beliau dibebaskan dan dapat memimpin PR mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya nanti. Jika PR menang, itulah masanya untuk beliau membuktikan reformasi untuk rakyat yang sering dilaung dan diperjuangkannya selama ini.


Jika BN terus menang juga dalam PRU nanti, walaupun dengan adanya kelibat Anwar, kita juga mengharapkan BN hanya mendapat kemenangan tipis saja. Kemenangan yang tipis bermakna penolakan yang makin ketara terhadap Najib dalam dua pilihanraya iaitu PRU 13 dan PRU 14.


Dengan yang demikian, diharapkan juga akan berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO dan kerajaan di mana mereka yang benar-benar berjiwa rakyat dan berasal daripada rakyat bawahan akan menjadi penggantinya.


Selain ada yang berusaha dengan pelbagai cara memastikan Anwar dibebaskan pada 28 dan 29 Oktober, kita sebagai rakyat biasa sekurang-kurangnya dapat menitipkan doa bagi pembebasannya.


Terhumbannya Anwar ke penjara bermakna zaman lebih gelap bagi rakyat tetapi pembebasannya, setidak-tidaknya masih ada ruang untuk keluar daripada kegelapan itu.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: