Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran kepada Datuk Seri Najib Razak yang masa depannya mungkin akan lebih kelam sekiranya masih meneruskan pendekatan yang sama dalam pentadbirannya, sekalipun sudah ditegur. Memulakan tulisan di dalam blognya dengan melahirkan rasa gembira kerana kerajaan menerima teguran beliau dengan terbuka, bekas perdana menteri itu berkata walaupun teguran beliau diterima, tiada perubahan yang dilakukan pentadbiran Najib. "Mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu dan meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk di masa hadapan," katanya.
Sambil menegaskan yang beliau hanya menegur, bukan memberi arahan, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu menjadi seperti Penasihat British zaman dahulu yang membuat perjanjian dengan Raja-Raja Melayu. "Disebut dalam perjanjian itu British akan menugaskan seorang pegawai mereka sebagai Penasihat (Adviser) dalam bahasa mereka, kepada kerajaan negeri. "Tetapi dalam perjanjian itu disebut juga bahawa apabila Penasihat British memberi nasihat, Raja dan kerajaan mesti terima. Penerimaan ini mengikut fahaman British bermakna mengikuti dan melaksanakan nasihat yang diberi," katanya. Apabila nasihat mesti diterima dan dilaksanakan, ia bukan lagi satu nasihat, kata Dr Mahathir, kerana ia sudah menjadi satu arahan.
"Apabila Residen British mendapati seorang Raja Muda tidak sesuai untuk naik takhta apabila Raja mangkat, nasihat diberi supaya beliau tidak diberi hak untuk mengganti Raja. "Dan Raja pun terpaksa terima kerana nasihat Residen mesti diterima dan dikuatkuasakan," beliau memberi contoh memetik kisah zaman British. Katanya, tegurannya juga bukan satu nasihat seperti yang diberi Majlis Penasihat sekarang kepada Raja-Raja Melayu. "Raja tidak perlu menerima nasihat mereka, jauh sekali daripada melaksana nasihat yang diberi. "Teguran saya bukanlah nasihat. Hendak terima atau tidak adalah hak orang yang ditegur.
Hendak laksana atau tidak juga hak pihak yang ditegur." Dr Mahathir dipercayai merujuk teguran yang dibuatnya sebelum ini, apabila beliau mengisytiharkan menarik balik sokongan terhadap Najib dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri ke-6 itu kerana membuat dasar dan tindakan yang tidak berkesan. Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menerima dengan terbuka semua teguran dan isu yang dibangkitkan Dr Mahathir terhadap kepimpinan negara.
Dr Mahathir berkata di dalam blognya, ujian yang terbaik dalam negara demokrasi ialah apabila pilihan raya diadakan. Katanya, Najib menghabiskan wang yang banyak untuk rakyat, tetapi masih gagal memperoleh kemenangan besar semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tahun lalu. "Perdana menteri ke-5 setelah menang besar dalam PRU 2004, kehilangan lima buah negeri, satu wilayah dan kemerosotan yang besar di Dewan Rakyat dalam PRU12 2008. "Sepatutnya, pengganti memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak.
"Pencapaian perdana menteri ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan DEB, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi," katanya.
Menurut Dr Mahathir, selepas pencapaian yang buruk dalam PRU13, Najib sepatutnya mengkaji semula dasar dan amalan yang perlu diperbaiki, tetapi malangnya, perkara itu tidak dilakukan, malah Najib tidak membuat apa-apa perubahan. "Dengan pencapaian yang buruk ini sepatutnya dikaji semula dasar dan amalan yang jelas tidak baik. Tetapi tidak. Pendekatan diteruskan. Teguran diterima tetapi tidak menukar apa-apa," katanya.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
1 respon:
puak ni mampos le cepat
Catat Ulasan