Gencatan senjata di Genting Gaza yang memasuki hari kedua semalam, dilihat tiada tanda pencabulan serangan antara Hamas dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berbanding lima gencatan sebelum ini.
Kedua-dua delegasi Israel dan Palestin akhirnya dapat duduk semeja berbincang mengenai konflik itu di Kaherah, Mesir dan bersedia mengadakan perbincangan untuk melanjutkan gencatan senjata lebih daripada tempoh 72 jam.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata, persetujuan gencatan senjata oleh Israel itu memberi petanda awal bahawa IDF menyerah kalah dengan mengeluarkan semua tentera mereka di Genting Gaza selepas mendapat tekanan hebat dari negara proPalestin di seluruh dunia.
“Palestin menuntut kepungan ke atas penduduk Gaza sejak sembilan tahun lalu dimansuhkan sebagai pra-syarat untuk gencatan senjata kekal,” katanya.
Israel akan teruskan perang
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan, gencatan senjata 72 jam ini masih belum selesai seperti dilaporkan portal berita Times of Israel, kelmarin.
Beliau berpendapat, persetujuan melakukan gencatan senjata ini sebagai satu penghinaan selepas 65 tentera mereka maut.
“Ia satu penghinaan. Kita gagal membalas dendam terhadap puluhan askar yang terkorban. Tindakan mengeluarkan pasukan tentera daripada Gaza adalah tindakan yang tidak boleh diterima," katanya.
Beliau juga menegaskan, peperangan ini akan diteruskan namun bukan atas nama Operasi Perlindungan Sempadan.
“Kami akan kembali untuk berperang namun di bawah nama berbeza,” katanya.
Siapa menang?
Stesen televisyen Israel Channel 2 dalam satu kaji selidik melaporkan, bahawa 42 peratus berpendapat, Israel memenangi dalam perang ini manakala 44 peratus lagi berpendapat, Israel gagal sepanjang pertempuran ini.
Faktor kemenangan itu disokong selepas Israel dapat menawan sebahagian besar kawasan timur dan selatan Genting Gaza dan memusnahkan 32 terowong milik Hamas yang merentas sempadan.
Jurucakap IDF berkata, Operasi Perlindungan Sempadan ini berjaya selepas kesemua terowong itu dapat dimusnahkan.
“Objektif operasi ini tercapai dan selepas ini kami akan mengubah bentuk serangan ke bahagian selatan untuk memusnahkan kesemua infrastruktur Hamas. Tetapi Perdana Menteri kami, mahu serangan itu dilakukan lebih daripada itu,” katanya.
Menurutnya, objektif IDF sekarang adalah menghapuskan pemerintahan Hamas.
Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh pula berkata, pejuang Palestin melalui Briged Al-Qassam dan kumpulan Jihad Islam berjaya menewaskan rejim Zionis selepas mereka beberapa kali menguatkuasakan gencatan senjata.
“Israel kehabisan peluru dan aset ketenteraan. Jika mereka melancarkan perang selepas 72 jam ini, kami juga akan melakukan serangan balas. Al-Qassam mempunyai kepakaran dalam membuat senjata yang luar biasa. Kami masih lagi mempunyai strategi perang yang dirahsiakan,” katanya.
Penduduk Gaza perlukan Hamas
Al Arabiya melaporkan, rakyat Palestin kini menuntut hak mereka ke atas negara yang diperjuangkan sejak lebih 40 tahun lalu.
Mereka mahu status sah atau kerakyatan penuh serta tiada halangan untuk menyeberangi Rafah.
Penduduk Mohammed Mashoud berkata, mereka mahukan kebebasan di dalam negara sendiri termasuk hak pemilikan masjid al Aqsa.
“Kami mahukan hak Baitulmaqdis diberikan kepada penduduk Palestin begitu juga dengan hak ke atas masjid Ibrahim dan Al-Aqsa. Kami tidak mahu catuan seperti yang Zionis lakukan kepada kami ketika ini iaitu mengenakan had umur untuk mengunjungi masjid berkenaan,” katanya.
Beliau juga menuntut semua tahanan dibebaskan tanpa perlu membuat sebarang pertukaran kerana ia adalah punca segala peperangan ini berlaku.
Pendapat ini berbeza dengan Netanyahu apabila beliau berharap, masyarakat antarabangsa termasuk negara Liga Arab dapat membantu penduduk Palestin membebaskan mereka dari cengkaman Hamas.
“Sokongan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah amat diperlukan untuk mencapai misi ini. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan perhubungan antarabangsa dan membangunkan semula Gaza,” katanya.
Beliau juga mendakwa, ‘rangkaian unik’ dengan negara-negara Arab sejak perang bermula adalah aset yang sangat penting bagi Israel kerana sokongan secara rahsia ini membuka peluang baharu untuk Israel bagi merealisasikan misi itu.
Penyelidik politik dari Fakulti Kajian Strategik Pusat Bar-Ilan, Universiti Begin-Sadat, Joshua Teitelbaum berpendapat, tindakan berdiam diri Mesir, Pihak Berkuasa Palestin dan beberapa negara Liga Arab ketika awal pertempuran menyaksikan terdapat pakatan luar biasa antara mereka dan Israel.
“Sikap ini adalah ancaman utama buat Palestin. Ia amat jelas terdapat susunan sulit bertujuan untuk memberi tekanan kepada Hamas tetapi Hamas dapat bangkit secara bersendirian tanpa bantuan ketenteraan berbanding Israel yang mula mendesak AS membantu mereka,” katanya.
Menurutnya lagi, Hamas mempunyai misi tersendiri iaitu mahu melihat rakyat Palestin bebas dari kepungan Zionis dan membina negara mereka sendiri.
“Hamas tidak akan tunduk dengan tuntutan Israel untuk kekal meletakkan tentera mereka di dalam Gaza. Perkara ini sama seperti memeluk agama Yahudi,” katanya berseloroh.
Kemusnahan capai RM26 bilion
Serangan udara Israel ke atas Gaza menyebabkan kerosakan bernilai AS$5 bilion (RM16 bilion) kepada rumah dan infrastruktur di Gaza.
Menteri Kerja Raya Palestin Mufeed al-Hasayneh berkata, kira-kira 10,000 rumah musnah sepenuhnya manakala 30,000 yang lain ranap.
“Tiga daerah mengalami kerosakan teruk adalah Shujaiyya, Beit Hanoun dan Abasan. Enam puluh peratus bandar Shujaiyya yang mempunyai 110,000 musnah sepenuhnya.
Menurutnya, Gaza kini memerlukan hampir AS$5 bilion (RM16 bilion) untuk membina semula struktur kediaman dan premis perniagaan.
“Bangunan penyimpan minyak diesel milik loji jana kuasa Gaza bernilai AS$25 juta (RM79.87 juta) turut musnah,” katanya.
Kesimpulannya, apa yang akan berlaku selepas tamat tempoh 72 jam gencatan senjata? Masyarakat dan pemimpin dunia mengharapkan gencatan senjata ini akan terus kekal dan Israel memenuhi segala syarat Hamas.
Ataupun gencatan senjata ini adalah helah Israel untuk mereka giat menambah aset ketenteraan selepas mendapat bantuan daripada Presiden AS Barack Obama berjumlah RM720 juta.
sumber
- SILA BACA SYARAT & PENAFIAN KOMEN SEBELUM MEMBUAT ULASAN
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan