Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya.
Begini kisah Zabidi.
"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran.
"Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.
"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri.
"Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.
"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat.
"Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri.
"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan.
"Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.
"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama.
"Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan.
"Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U.
"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga.
"Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya.
"Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah ‘masak’ dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.
"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya.
"Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.
"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.
"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang.
"Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu.
"Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.
"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi.
"Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.
"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami.
"Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan.
"Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.
"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya.
"Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.
"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin,’’ Zabidi menamatkan ceritanya.
Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya.
Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.
Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat.
Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.
Salam
Keluarga@Utusan
sumber
0 respon:
Catat Ulasan