Laporan itu turut menyebut rumah sewa yang murah masih ada namun perlu bersedia untuk tinggal di sebuah rumah flat yang kecil dan sesak serta kurang selesa.
Namun, bagi golongan muda yang baru sahaja memulakan alam pekerjaan sudah pasti mereka tidak mempunyai pilihan lain. Itu yang diluahkan beberapa penyewa rumah di kawasan pulau negeri ini.
Rumah flat cecah RM700
Bagi Norehan Zainuddin, 24, dia sendiri mengalami kesukaran mencari rumah sewa ketika baru mula bekerja di Pulau Pinang.
Menurutnya, dia pada mulanya merancang tinggal sendirian dan tidak mahu menyewa bersama orang lain.
“Jika itu yang saya lakukan mungkin duit gaji saya lebih banyak dihabiskan untuk membayar sewa bukannya digunakan untuk tujuan lain. Sudah tentu membazir walaupun dapat keselesaan yang diidamkan,” katanya.
Bekerja di Tanjung Tokong, Norehan berkata, rata-rata kadar sewa sebuah rumah mencecah di antara RM700 bagi flat biasa sehingga RM1,200 bagi sebuah apartmen.
Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,000 sebulan menyebabkan Norehan terpaksa menyewa bersama orang lain yang langsung tidak dikenalinya.
“Apa boleh buat, terpaksa, duit pinjaman kereta RM550, kalau hendak makan dan sebagainya memang tidak cukup, jadi saya terpaksa menyewa bilik dengan kadar RM200 sebulan, walaupun bilik itu saja dunia saya. Jika tidak saya sendiri akan merana,” katanya.
Kadar sewa naik cepat
Dilema harga sewa yang agak tinggi turut dirasai Mohd Noor Farid Mohd Alwi, 29. Menurutnya, mahu menjalani kehidupan yang lebih selesa, dia terpaksa menyewa sebuah apartmen.
“Pada mulanya sewa rumah saya sebanyak RM550 sahaja, kemudiannya pada tahun lalu tuan rumah mahu naikkan kepada 600 kerana katanya rumah orang lain sudah dinaikkan sehingga RM750.
“Saya tiada pilihan, jadi tuan rumah naikkan harga sewa rumah kami, lebih mengejutkan bila sekali lagi pada awal tahun ini dia mahu naikkan lagi kepada RM650, dalam masa singkat saja sewa naik dengan cepat,” katanya.
Dapat rumah murah, namun ada sebabnya, itu yang diceritakan Mohd Hilmi Mahmud, 29. Dia kini menyewa sebuah apartmen bersama tiga rakannya dengan harga RM600 sahaja, sedangkan rumah lain sudah mencecah kadar sewa sebanyak RM800 sebulan.
“Rumah yang saya duduk sekarang mempunyai kisah sendiri, disebabkan itu harganya agak rendah. Difahamkan sebelum ini ada kejadian bunuh diri, jadi mungkin rumah tersebut agak menakutkan.
“Tidak mengapalah, ia hanya dugaan kecil, biarlah bayar rumah sewa dengan harga murah asalkan kami semua selesa,” katanya.
Sewa rumah naik mendadak
Kadar sewa rumah di kawasan pulau negeri ini naik mendadak memandangkan permintaan semakin tinggi dan kebanyakan pemilik rumah melihat harga semasa. Tinjauan Sinar Harian melalui laman web pencarian rumah sewa Mudah.my juga mendapati kadar harga sewa rumah dilihat agak tinggi.
Harga sewa rumah di Sungai Ara, yang terletak jauh dari Bandaraya Georgetown antara RM800 hingga RM900 bagi sebuah apartmen.
Sementara di Batu Uban yang boleh dianggap salah sebuah lokasi strategik kerana berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang pula RM900 hingga RM1,000 sebulan.
Jika dilihat kadar sewa di kawasan yang lebih ‘panas’ iaitu Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah ia adalah lebih tinggi.
Mungkin dek kerana lokasinya yang terletak berhampiran pantai serta kawasan pelancongan, maka kadar sewa diletakkan antara RM900 hingga RM2,000 sebulan.
Kesemua harga berkenaan adalah bagi rumah flat, apartmen dan juga kondo, bukannya rumah teres yang mencecah harga ratusan ribu.
Mengikut laporan Michelle lagi, selain Pulau Pinang, Selangor menduduki tempat pertama dengan kadar sewa rumah yang tinggi sementara Johor di tempat ketiga selepas Pulau Pinang.
Kerajaan tak boleh kawal harga sewa
Pengerusi Majlis Belia India Pulau Pinang, A. Kumaresan berkata, isu perumahan di negeri ini memang menjadi perbualan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memandangkan harganya agak tinggi.
Kadar harga sewa tidak boleh dikawal kerajaan mahupun majlis perbandaran dan ia tidak dinafikan adalah isu yang agak rumit.
“Kadangkala sewa sudah terlalu tinggi, menyebabkan ada yang ingin membeli rumah, tapi apakan daya kerana saya sendiri mendapat tahu harga rumah apartmen sahaja sekarang bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000.
“Jadi kebanyakan bank susah hendak luluskan jika gaji golongan belia ini rendah,” katanya.
sumber
0 respon:
Catat Ulasan