SERI KEMBANGAN – Tanda tanya penduduk Taman Lestari Permai berhubung bil air meter pukal yang didapati tinggi setiap bulan berkemungkinan terjawab selepas mereka menemui penyambungan paip dipercayai dilakukan secara haram berdekatan perumahan itu.
Penghuni rumah teres setingkat berkenaan terpaksa menggunakan meter pukal dalam tempoh sementara kerana pemaju perumahan belum menyerahkan tangki air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Penggunaan air di setiap rumah dibayar mengikut meter individu manakala lebihan penggunaan bil air meter pukal perlu ditanggung pemaju.
{baca lagi klik butang papar ... }
Namun pemaju didawa tidak lagi menjelaskan bayaran bil selepas gulung tikar Julai lalu menyebabkan jumlahnya tertunggak dan meningkat dari bulan ke bulan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lestari Permai, Kamarudin Salim berkata, pihaknya mengesyaki sesuatu apabila melihat jumlah bil luar biasa jika dibandingkan dengan penggunaan semasa.
Dakwanya, terdapat dua sebab yang boleh menjadi faktor bil tinggi setiap bulan sama ada berlaku kebocoran atau wujud penyambungan paip secara haram.
Selepas melakukan pemeriksaan, Kamarudin akui terkejut apabila menemui satu sambungan paip yang dipercayai disambungkan ke kawasan stor barang binaan berdekatan perumahan itu.
“Sekarang ini pemaju gagal melunaskan bil tunggakan hampir RM80,000 kepada Syabas, mereka lepas tangan dan mahu penduduk tanggung bayaran itu.
“Jika penggunaan air secara haram berleluasa dan hutang tunggakan meningkat dari bulan ke bulan penduduk terpaksa tanggung beban apabila bekalan dipotong,” katanya.
Justeru, penduduk mendesak Syabas mengadakan siasatan berhubung kewujudan sambungan paip berkenaan.
0 respon:
Catat Ulasan