KUALA KETIL - KBB Resources Berhad menafikan produk buatan syarikatnya itu diproses dalam kandang babi seperti didakwa oleh kebanyakan pengendali laman
sosial dan blog sejak sebulan lalu.
Pegawai Khas Pengerusi KBB Berhad, Ahmad Zaffry Sulaiman berkata, semua kilang pemprosesan berada di kawasan industri dan tidak berada dalam mahupun berdekatan
kandang babi seperti yang didakwa.
Menurutnya, KBB mempunyai tujuh kilang iaitu tiga di Kedah, satu di Johor dan tiga di Sarawak.
{baca lagi klik butang papar ... }
“Jadi, dakwaan mengatakan KBB mempunyai kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor Seberang Perai adalah tidak benar. Tambahan pula, pemprosesan bihun di
Kampung Selamat itu bukan berada bawah KBB. Ia sebuah syarikat yang lain,” katanya pada sidang media di Kilang Bihun Bersatu, Kuala Ketil, semalam.
Hadir sama, Pengerusi KBB Berhad, Datuk Sohaimi Shahadan dan pembantu peribadi Kumpulan Pengarah Urusan, Richmond Leow dan Peguam, Raja Nazrin Raja Ghazila.
Katanya, penyebaran maklumat palsu itu telah memberikan kesan kepada pengeluaran produk syarikat terbabit antaranya bihun, laksa dan mi segera.
“Setakat ini, syarikat merekodkan penurunan sebanyak 30 peratus disebabkan penyebaran maklumat palsu itu,” katanya.
Katanya, kebanyakan pembaca keliru kerana maklumat yang diberikan itu turut memuatkan gambar produk syarikat KBB.
“Ingin dijelaskan, KBB tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kilang di Kampung Selamat itu.
Kami adalah syarikat berbeza dan semua produk kami terbukti selamat dengan pensijilan halal yang diiktiraf.
“Malah KBB telah disenaraikan dalam Bursa Malaysia, jadi, kami komited dalam segala aspek terutama melibatkan kebersihan dan kualiti produk,” katanya.
Ditanya jika wujud unsur sabotaj terhadap penyebaran maklumat palsu itu, Ahmad Zaffry berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengenai perkara itu.
Mereka juga mengenal pasti laman sosial yang memuatkan gambar dan maklumat palsu mengenai KBB dan akan membuat laporan polis termasuk desakan memohon maaf.
“Kita akan menghantar surat kepada pemilik laman sosial itu untuk dia membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari.
“Sekiranya tidak, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik laman sosial itu,” katanya.
Pihak media turut dibawa melawat sekitar tempat pemprosesan bihun dan ternyata ia dilakukan dalam keadaan bersih, kemas dan berada dalam kawasan industri.
Terdapat lebih 30 jenama produk bawah KBB antaranya Bihun Eka, Mee Segera Fatima, Laksa Eka, Jenama Rasa Sayang, Naga Dua, Layang- Layang, AAA dan Rasatu.
0 respon:
Catat Ulasan