Dengan terdedahnya rakaman ucapan beliau di sebuah majlis tertutup di Melaka yang mengundang kecaman pelbagai pihak, Zahid hakikatnya berdiri makin kukuh dan semakin meninggalkan rakan-rakan penyandangnya untuk memenangi jawatan Naib Presiden Umno ini.
Malah, dengan adanya laporan polis yang dibuat oleh DAP terhadapnya seolah-olah parti pembangkang itu turut sama berkempen membantu kemenangan Zahid.
Terbaru, sokongan terbuka yang disuarakan oleh Mahathir terhadap kenyataannya berkaitan isu menembak penjenayah oleh pihak polis, secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukannya yang sudah sedia terjamin itu untuk mengekalkan jawatan Naib Presidennya.
Di mata perwakilan Umno, sikap dan keberanian yang ditunjukkan Zahid adalah menepati kehendak dan selera mereka. Lebih-lebih lagi selepas keputusan pilihanraya yang menyaksikan pengundi Cina tidak memihak kepada BN, sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh Zahid adalah penawar kepada kekecewaan Umno terhadap pendirian pengundi Cina itu.
Walaupun ada percubaan untuk menggugat kedudukan Zahid, termasuk menyebarkan rakaman yang bertajuk Jenayah Zahid Hamidi di youtube (kini telah disekat daripada ditonton) iaitu berkaitan insiden pukul dan laporan polis yang melibatkan seorang ahli perniagaan, Ahmad Bazli yang difahamkan sudah diselesaikan di luar mahkamah dan tindakan Karpal Singh mahu membuka semula kes itu, namun ia dipercayai tidak menggoncang keimanan politik majoriti perwakilan yang bakal mengundi pada 19 Oktober ini terhadapnya.
Bersama-sama dengan Mukhriz Mahathir yang dianggap tokoh muda yang dikehendaki sebagai pelapis masa depan, Zahid Hamidi dipercayai sudah meletakkan sebelah kakinya beriringan dengan anak bekas Perdana Menteri itu untuk menempah dua slot kerusi Naib Presiden Umno. Cuma siapa yang bakal mendapat undi tertinggi saja yang akan membezakan mereka nanti.
Dengan itu, perebutan satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang masih tinggal nampaknya bakal menjadi rebutan antara Hishammuddin, Shafie Apdal, Ali Rustam dan Isa Samad.
Dari segi kedudukan sebagai penyandang, berusia masih muda dan berjawatan menteri dalam kerajaan, Hishammuddin dan Shafie dirasakan mempunyai peluang paling cerah untuk mengisi slot ketiga itu. Namun perkembangan di hari-hari terakhir ini menunjukkan Ali Rustam bakal menggugat peluang mereka itu.
Ali Rustam yang kalah di Bukit Katil dalam pilihanraya lalu kerana pengundi Cina tidak memihak kepadanya, kini sedang meningkatkan gerafnya di mata perwakilan dengan taktik yang sama dengan Zahid iaitu bersikap perkauman, memusuhi orang Cina dan bergaduh dengan DAP.
Bersama sakit hati yang masih berbekas terhadap pengundi Cina, Ali Rustam yang kini berjawatan Senator dan Pengerusi PUNB menyerang kejayaan kaum Cina dalam perniagaan dengan mengatakan mereka berjaya kerana boleh berniaga apa saja, termasuk yang haram di sisi agama Islam.
Kemudiannya beliau juga mencadangkan supaya sekolah vernakular ditutup dan digantikan dengan sekolah satu aliran untuk semua kaum untuk menangani sikap mereka yang dianggapnya tidak tahu mengenang budi kerajaan itu. Meski digelar Nazi oleh Lim Guan Eng dan Ali tidak berganjak daripada pendiriannya itu, keadaan ini menjadikan popularitinya makin melonjak lagi.
Meski dikategori sebagai orang pencen dan sudah berusia 64 tahun, kepintaran Ali merebut peluang dengan turut menunjukkan dirinya bersifat rasis, menyerang orang Cina dan bergaduh dengan DAP, telah memberi nafas semula kepadanya sedangkan sebelum ini penyertaannya bersama dengan Isa Samad dianggap sebagai "kacau daun" semata-mata.
Jika Ali terus meningkatkan mementumnya dalam hal ini, peluangnya untuk mengiringi Zahid dan Mukhriz ternyata lebih cerah lagi. Malah jika beliau berjaya memerangkap DAP atau pihak-pihak lain agar turut membuat laporan polis terhadapnya, tidak diragui lagi slot ketiga kerusi Naib Presiden itu pasti akan menjadi miliknya.
Kelebihan dalam menggunakan isu perkauman dan bergaduh dengan DAP itu pula nampaknya tidak dimiliki oleh Hishammuddin, Shafie dan Isa Samad dalam jawatan masing-masing. Ini menjadikan ketiga-tiga mereka itu semakin ketinggalan walaupun sedang giat menjelajah ke seluruh negara meraih undi dan sokongan.
Selain mengekalkan hubungan baik dan keramahannya dengan pemimpin UMNO di seluruh negara yang memang sudah dipupuknya sejak sekian lama, Ali Rustam dipercayai akan terus menunjukkan sikap rasis dan permusuhannya dengan kaum Cina sehingga 19 Oktober ini kerana beliau tahu itulah yang secara umumnya disukai oleh perwakilan Umno.
Dengan beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini, beberapa pemimpin lain yang bertanding pelbagai jawatan juga telah mula mengambil sikap yang sama iaitu menunjukkan jiwa Melayu masing-masing dan menyerang DAP yang dikuasai kaum Cina dengan ekstrem sekali. Ini dianggap cara paling mudah menarik perhatian perwakilan memandangkan kaedah kempen tradisional dalam waktu yang terbatas ini tidak lagi memadai.
Namun kemaraan Ali Rustam ini tentunya membuatkan Hishammuddin yang sedia dalam keadaan cemas, bertambah kencang lagi degupan jantungnya menjelang 19 Oktober nanti. Dan Najib yang diketahui tidak mahu sepupunya itu kecundang turut tidak gembira dengan imej bekas Ketua Menteri Melaka yang tiba-tiba meningkat itu. - shahbudindotcom, 10 Oktober, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
nengok sini
0 respon:
Catat Ulasan