SHAH ALAM – PKR bakal memulaukan sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 24 Jun depan, kata Naib Presidennya, Tian Chua.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan susulan beberapa tuntutan mereka yang tidak ditunaikan.
“Kami hanya menuntut seluruh ahli dalam SPR meletak jawatan, tetapi perkara itu tidak ditunaikan.
“Sebaliknya kerajaan beri input lain dengan mahu membuat jawatankuasa khas (PSC) dan sebagainya,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Batu itu lagi, selagi seluruh ahli dalam SPR tidak letak jawatan pihaknya tidak berminat untuk memberi kerjasama kepada kerajaan.
“Kalau mahukan kerjasama daripada PR dalam perkara yang mahukan muafakat syarat itu perlu ditunaikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu akan hadir pada hari perasmian kerana menghormati kehadiran Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai menghormati Yang di-Pertuan Agong, kita akan hadir untuk mendengar titah baginda tiada isu mengenai hal ini.
“Tetapi mengenai lain-lain perkara sama ada untuk angkat sumpah, atau menyertai PSC dan pilih wakil pembangkang dalam Parlimen itu kita masih pertimbangkan sama ada mahu bekerjasama atau tidak,” katanya.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah Parlimen sebagai tunjuk rasa kesal terhadap keputusan PRU13 yang didakwa wujud unsur penipuan.
DAP, PAS Tolak Cadangan Boikot Sidang Parlimen
klik papar untuk berita penuh:
PETALING JAYA: DAP dan PAS menolak cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya pakatan pembangkang memboikot majlis perasmian persidangan Parlimen penggal ke-13.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata parti itu tidak mempunyai rancangan untuk memboikot sidang Parlimen, manakala Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata langkah itu hanya dilihat sebagai penghinaan kepada rakyat yang memilih mereka sebagai Ahli Parlimen.
Kedua-dua pemimpin pembangkang itu berkata demikian sebagai mengulas cadangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memboikot persidangan Parlimen sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Anwar membuat cadangan itu selepas gesaan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memboikot persidangan yang akan bermula pada 24 Jun ini.
"Pendirian kami (DAP) sama dengan pandnagan (penasihat parti) Lim Kit Siang," kata Loke.
Sebelum ini Lim dipetik dalam portal berita sebagai berkata bahawa DAP tidak mempunyai rancangan untuk memboikot Parlimen.
Sementara Dr Mahfodz berkata bahawa menjadi satu kewajipan bagi mereka yang memenangi pilihan raya untuk menghadiri sesi Parlimen.
"Kita tidak perlu menghina Parlimen, kerana ia adalah serupa dengan membelakangkan rakyat," kata Dr Mahfodz yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Johor pada PRU yang lalu.
Dr Mahfodz, yang juga Pesuruhjaya PAS Johor berkata bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya hendaklah memfailkan petisyen di mahkamah.
2 respon:
Catat Ulasan