# sila like "kami undi pakatan rakyat"
Diatas semua itu, transformasi politik yang ingin dibawa Najib menjadi caca-marba dan bercelaru. Orang utara kata, transformasi rojak jadinya.
Sementara Najib berkata calon-calon baru kali ini meliputi 33 peratus di peringkat Parlimen dan 54 peratus di peringkat DUN, hakikat yang paling menonjol
ialah di kalangan menteri kabinet hanya tiga orang saja yang digugurkan iaitu Rais Yatim, Nor Yakcop dan Ng Yen Yen. Ini tentunya memberi gambaran jika
BN terus berkuasa, menteri-menteri yang ada akan terus kekal sedangkan mereka inilah yang menjadi fokus perubahan yang diinginkan oleh rakyat.
Kegagalan ini akan memberi impak tidak baik dan melebarkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Najib dan BN. Rakyat akan melihat tiada perubahan yang
nyata kerana perubahan calon Ahli Parlimen seharusnya seiring dengan pengguguran lebih ramai menteri kabinet daripada terus bertanding.
Yang lebih menyedihkan juga, walaupun keputusan menggugurkan tiga menteri itu harus dipuji terutamanya Rais Yatim yang sudah lama menjadi dinosaur dalam
era politik hujah dan fakta ketika ini, di masa yang sama Najib juga mengekalkan beberapa pemimpin usang dan memberi nyawa semula kepada mereka yang
sudah dianggap mati untuk dikitar semula sebagai calon pilihanraya.
Pemilihan semula calon tua seperti Yap Pian Hon di Serdang, Othman Abdul di Pendang, Mansor Salleh di Tumpat dan menaikkan taraf Shahidan Kassim daripada
bertanding di DUN ke Parlimen mengecewakan banyak pihak dan membuatkan mereka tertanya-tanya, transformasi apa sebenarnya yang cuba diterapkan Najib
sekarang ini. Ini juga merencatkan proses peremajaan dalam parti yang seharusnya senantiasa berlaku bagi mengekalkan parti terus segar dan diterima rakyat.
Apakah pemilihan semula Yap, Othman dan Mansor itu termasuk dalam kategori 33 peratus calon baru yang Najib maksudkan?
Begitu juga dengan masih memberi peluang kepada bekas menteri yang kalah atau digugurkan Najib sendiri sebaik mengambil alih pentadbiran pada 2009 lalu
seperti Azalina Othman di Pengerang dan Annuar Musa di Ketereh seperti menggambarkan UMNO sudah ketandusan pemimpin muda yang berwibawa yang lain untuk
diketengahkan. Di peringkat DUN juga masih ramai calon-calon lama yang masih dikekalkan sedangkan sudah sepatutnya digugurkan.
Lebih-lebih lagi, kesemua orang lama dan tua itu bukan pula calon yang boleh dianggap "winnable". Jika Tengku Razaleigh dan Shahrir Samad terus dikekalkan,
mungkin ia boleh difahami kerana kedua mereka adalah pemimpin yang sentiasa "winnable" dan menukar kepada calon lain dalam keadaan genting seperti sekarang
boleh menyebabkan kehilangan mudah kerusi Gua Musang dan Johor Bahru kepada pihak lawan.
Apakah istimewa dan masih "winnablekah" Yap Pian Hon untuk berhadapan dengan Teo Nii Ching dari DAP, Othman Abdul berhadapan dengan Mat Sabu dan Mansor
Salleh untuk berdepan dengan Kamaruddin Jaafar, yang kedua-duanya merupakan tokoh penting Pas?
Transformasi calon yang cuba diketengahkan Najib juga menjadi celaru apabila beliau meletakkan Zulkifli Nordin bertanding di Shah Alam untuk berhadapan
dengan Khalid Samad. Selain imejnya sebagai pelompat, penyebaran video mengenai komennya yang menghina agama lain sekaligus memburukkan imej BN dalam
masa yang sama. UMNO dan pengundi Shah Alam sendiri rata-rata menolak pencalonan Zulkifli, bukan saja kerana imej dan keceluparannya tetapi juga kerana
tahap kematangan politiknya yang dianggap terlalu rendah dan tidak sepadan dengan taraf penduduk ibu negeri Selangor itu sendiri.
Transformasi Najib juga menjadi kacai-bilau apabila beliau memilih semua Dr Rozaidah Talib dan Dr Rahman Ismail sebagai calon di Ampang dan Gombak sedangkan
mereka sudah digugurkan sebagai calon pada pilihanraya 2008 lalu. Sama seperti Othman Abdul, Mansor Salleh dan Yap Pian Hon, kedua mereka ini juga dikategorikan
sebagai calon kitar semula.
Memburukkan lagi keadaan, Rozaidah dan Rahman juga pernah terlibat dengan isu isu moral dan skandal dalam beberapa tahun lalu. Jika Najib mengatakan
pemilihan calon kali ini setelah melalui beberapa tapisan, bagaimana Rozaidah dan Rahman boleh terlepas daripada tapisan itu?
Dengan pemilihan mereka itu, kini bertebaran semula cerita dan gambar-gambar berkaitan isu moral dan skandal yang pernah dikaitkan dengan mereka. Selain
itu, berlaku juga protes dalam UMNO sendiri terhadap pemilhan mereka sebagai calon. Semua ini akhirnya akan menyebabkan BN tewas dengan mudah di kedua-dua
kerusi itu.
Bantahan mengenai calon tidak saja berlaku di Ampang, Gombak dan Shah Alam tetapi juga turut dilaporkan berlaku di Sekijang dan Tasek Gelugor. Bahkan
bekas timbalan menteri, Sharif Omar sudah pun mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Tasek Gelugur.
Walaupun bantahan dan protes ini boleh dianggap sebagai proses biasa dalam mana-mana pilihanraya tetapi ia tidak seharusnya begitu ketara berlakunya
kerana Najib sering menjanjikan transformasinya akan dilaksanakan dengan saksama dan penuh teliti.
Belum pun penamaan calon dan hari pengundian yang mungkin bakal menyaksikan banyak lagi kejadian-kejadian merugikan BN, hakikatnya semua ini berlaku
kerana transformasi yang dilakukan Najib tidak seiring dengan janji yang pernah dilafazkannya. Calon "win cable" pula lebih diutamakan berbanding "winnable"
dalam ertikata sebenarnya.
Baru kecelaruan calon, belum lagi berlaku pelbagai kecelaruan lain, harapan Najib untuk membawa BN terus kekal berkuasa nampaknya sudah menampakkan
tanda-tanda kesukarannya.
1 respon:
Najib bukannya transformer. Byk aspek perubahan kononnya, hanya ckp mulut yang tiada tindakan. Nak berdebat pun takut...http://tunhisyamudin.blogspot.com/2013/04/najib-perlu-malu-dengan-kenya.html
Mohon link, sahabat
Catat Ulasan