Sivarasa Rasiah menjelaskan bahawa "memberi maklumat palsu dengan pengetahuan bahawa maklumat itu palsu" adalah elemen yang penting dalam seksyen tersebut, dan perlu dibuktikan seandainya pertuduhan dibuat. Wartawan membangkitkan apakah andaian di sebalik penyiasatan polis ini adalah "Anwar ialah pelaku video seks tersebut", Sivarasa berkata, sememangnya ia memberi gambaran sebegitu, tetapi beliau enggan membuat pengesahan kerana perlu menunggu hingga Rabu untuk maklumat yang lebih terperinci dari pihak polis.
Ahli parlimen Subang ini menambah, pegawai penyiasat kes ini, iaitu ASP Teh Boon Ang memberitahu bahawa polis memulakan siasatan ini berikutan satu aduan polis yang dibuat oleh DSP Shanmuga Moorthy. Menurut Sivarasa, DSP Shanmuga Moorthy bertanggungjawab untuk kes ini ketika Anwar membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. Bagaimanapun, punca mengapa kes ini dialihkan dari IPD Dang Wangi ke Balai Polis Kepong kekal menjadi misteri, kata Sivarasa.
Turut hadir dalam sidang media pagi ini termasuklah Naib Presiden Tian Chua, N.Surendran, ahli Majlis Pimpinan Pusat Syed Husin Ali, Khalid Jaafar, Tan Yee Kiew, Pengarah Strategi Rafizi Ramli, dan Naib Ketua AMK Azmizam Huri. Malah, sebelum mengakhiri sidang media, Sivarasa Rasiah menggunakan kata yang keras, "politik dubur" untuk menyifatkan politik kotor yang berlaku pada masa ini.
Surendran: Serangan terhadap demokrasi
Naib Presiden PKR Surendran mengecam bahawa ianya satu penganiayaan politik terhadap Anwar, dan menuntut agar segala penyiasatan kes ini dihentikan serta-merta. "Apa yang kita lihat sekarang adalah permulaan satu perbicaraan politik, a new political trial against federal opposition leader Anwar Ibrahim," katanya.
Surendran (gambar kiri) menambah, "Kami tidak meragu-ragu dalam menyatakan bahawa UMNO-Barisan Nasional adalah bertanggungjawab untuk tindakan jahat yang terbaru ini." Beliau menjelaskan, Ketua Pembangkang Parlimen diiktiraf kedudukannya, dan ditugaskan rakyat untuk meneliti dan menyoal kerajaan. Justeru itu, ianya bukan sahaja serangan terhadap Anwar secara peribadi, malah juga serangan terhadap demokrasi.
Beliau menuntut kepada tiga pihak, iaitu kerajaan UMNO-BN, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara agar penyiasatan terhadap kes ini dihentikan serta-merta, memandangkan institusi polis dan peguam negara telah terbukti berat sebelah ketika mengendalikan kes terhadap pembangkang. Lebih-lebih lagi, Peguam Negara yang terlibat dalam kes ini, iaitu Gani Patail masih belum membersihkan nama dirinya daripada tuduhan pemalsuan bukti oleh Mat Zain Ibrahim, dalam kes Anwar pada tahun 1998.
Alihkan pandangan dari "lembu duduk dalam Kondo"
Sementara itu, Pengarah Strategi Rafizi Ramli berkata tindakan politik ini jelas bertujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari penyelewengan dan rasuah yang didedahkan beberapa pimpinan pembangkang baru-baru ini, misalnya "lembu duduk dalam Kondo". Daripada maklumat yang diperolehi Sivarasa, aduan polis ini dibuat pada 8 September, tetapi Anwar hanya dipanggil dua hari yang lalu, untuk dirakam keterangan.
Rafizi (gambar kanan) menambah, pimpinan PKR sudah biasa dengan permainan politik ini, yang berlaku sejak 13 tahun yang lalu. Mereka akan memastikan cubaan ini tidak akan berjaya, dan akan terus mendedahkan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan.
Latar belakang kes
Pada pagi 21 Mac 2011, satu video seks telah ditayangkan kepada editor dan wartawan media di Hotel Carcosa Seri Negara oleh ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah. Malah, dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, tuduhan dilemparkan bahawa Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video seks tersebut.
Anwar Ibrahim, bagaimanapun memanggil sidang media pada petang itu, menafikan tuduhan tersebut. Beliau membuat laporan polis berhubung penayangan video tersebut di Balai Polis Dang Wangi pada 22 Mac 2011. Pada 23 Mac, tiga orang yang menggelar diri mereka sebagai "Datuk-T", iaitu Shazryl, Abdul Rahim Thamby Chik (bekas ketua menteri Melaka) dan Shuib Lazim (bekas bendahari PERKASA) mengaku bertanggungjawab kepada penayangan video tersebut.
Isu ini terus hangat dipermainkan menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak pada April 2011, sungguhpun isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah Ismail menafikan bahawa pelaku dalam video itu suaminya. Terdapat cadangan untuk menayangkan video tersebut dalam parlimen, malah ada yang mendesak agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat video tersebut. Lebih-lebih lagi, "Datuk T" mencabar Anwar untuk bersumpah agar membuktikan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun, Datuk T akhirnya dihadap ke mahkamah atas tuduhan menayangkan video lucah secara terbuka, dan ketiga-tiga orang didenda RM3,000, RM1,000 dan RM1,500 masing-masing setelah mengaku bersalah pada 24 Jun 2011. Namun, peguam bela Rahim, iaitu Shafie Abdullah cuba merayu dengan alasan bahawa Datuk T telah melakukan sesuatu kebaikan untuk orang awam. Malah, Shafie membacakan laporan analisis pengecaman muka oleh pakar Dartmouth College, Handover, New Hampshire, bahawa pelaku dalam video adalah 99.9% sama dengan gambar Anwar. (MR)
1 respon:
orang kuat MCA kan ada skandal juga. dia mengaku dia terlibat. kenapa tak ada siasatn polis, tak jadi kes? ya sebab dia orang penting dalam UBN, kalau tak dah lama. cuba dia berada di kandang pembangkang, dah lama kena heret. memang ia dah dijadikan senjata. lagipun para pemimpin umno memang suka video begini. itulah gambaran yang boleh disimpulkan.
Catat Ulasan