Selasa, 27 September 2011

Menarik: Lagu 'Negaraku' Berkumandang Di Dasar Laut

KUALA TERENGGANU: Siapa sangka lagu kebangsaan 'Negaraku' boleh berkumandang di dasar laut?

Mustahil? Tetapi itulah yang dilakukan oleh 22 penyelam pada 29 Julai yang lalu di Galeri Dasar Laut Pulau Bidong, Terengganu, untuk meraikan hari kemerdekaan ke-54.







Para penyelam ini adalah peserta program Selaman Merdeka anjuran Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (CoRal Malaysia) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan ia adalah program pertama seumpamanya di negara ini.

Pengarah Program, Muhammad Naufal Zulkefli, 22, berkata, segalanya bermula semasa perbualan dengan Pengerusi CoRal Malaysia, Jamhariah Jaafar di Ekspo Selaman Antarabangsa Malaysia pada awal Julai.

"Memandangkan CoRal Malaysia bercadang mengadakan program 'Anak Laut' pada akhir Julai, saya mencadangkan agar sambutan kemerdekaan turut diadakan sekali memandangkan bulan kemerdekaan juga jatuh pada bulan Ramadan dan ini menghadkan aktiviti selaman," katanya.

Program 'Anak Laut' adalah satu daripada program jangka panjang anjuran CoRal Malaysia untuk memberi peluang kepada para peserta mendapatkan lesen menyelam selain usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memulihara kehidupan dasar laut yang kian terancam.

"Tujuan utama program ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat usaha pemuliharaan keindahan dasar laut," tambah Muhammad Naufal.

Bermula dengan 'perarakan' Jalur Gemilang mengelilingi kawasan galeri, para peserta kemudian melakukan beberapa formasi untuk menghidupkan perarakan kemerdekaan ini. Tidak ketinggalan, formasi hebat berbentuk ala Tugu Negara.

Kemuncak acara ialah 'nyanyian' lagu 'Negaraku' lengkap dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang. Mungkin ramai menyangka ia tidak boleh dilakukan, tetapi para peserta membuktikan sebaliknya.

"Benar, memang kami tidak dapat menyanyikan lagu kebangsaan dengan sebutan yang jelas seperti di darat, tetapi bila kami amati video rakaman, melodi 'Negaraku' jelas kedengaran," katanya dengan rasa puas.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah memacakkan logo 1Malaysia di dasar laut di samping melawat tukun-tukun tiruan dan melakukan pemerhatian ke atas kehidupan marin di sekitar galeri.

"Kami amat beruntung kerana keadaan cuaca serta laut yang baik membolehkan program dilaksana dengan lancar. Jarak penglihatan antara 10-11 meter, sesuai untuk rakaman perjalanan program," tambah Muhammad Naufal.

Kejayaan Selaman Kemerdekaan ini sudah pasti tidak akan tercapai tanpa semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta.

Sebelum selaman sebenar dilakukan, Muhammad Naufal dan para peserta melakukan raptai terlebih dahulu dengan setiap aturcara selaman dihalusi untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

"Semua peserta amat bersemangat untuk memainkan peranan masing-masing. Mereka juga banyak bekerjasama dan sama-sama menyumbangkan idea," jelas Muhammad Naufal.

Beliau turut menyatakan, antara cabaran besar kepada para penyelam adalah memastikan setiap gerakan yang dilakukan tidak mengeruhkan air kerana ini akan mengganggu penggambaran yang turut dilakukan.

"Saya amat beruntung kerana kebanyakan peserta terdiri daripada penyelam yang mahir. Kehadiran mereka menjadikan pelbagai rancangan untuk Selaman Kemerdekaan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya," kata Muhammad Naufal lagi.

Seorang peserta program, Aizat Mohd Razali, 26, berkata, di sebalik keseronokan melaksanakan aktiviti itu, terdapat mesej penting untuk dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Saya merasa terpanggil untuk menyertai program ini sebagai salah satu cara untuk menunjukkan semangat patriotik di samping sebagai satu cara meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemuliharaan alam sekitar," kata beliau.

Aizat adalah penuntut sarjana dalam bidang Biokimia di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau banyak melibatkan diri dalam program-program konservasi dasar laut.

Beliau mengakui, kadang-kadang terdapat pihak yang memandang sinis usaha-usaha memulihara hidupan dasar laut tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha mendidik masyarakat.

"Penjagaan alam sekitar secara keseluruhannya adalah penting termasuk di dasar laut. Ia perlu untuk memastikan kesimbangan ekosistem. Kemusnahan pada salah satu elemen dalam ekosistem pastinya akan memberi impak buruk kepada elemen-elemen yang lain," katanya lagi.

Selepas sepi 'ditinggalkan' pelarian Vietnam lebih 15 tahun lepas, keindahan Pulau Bidong dan kawasan sekitarnya tidak terusik oleh aktiviti manusia yang menjadikannya sesuai untuk aktiviti konservasi hidupan marin.

Kini, kawasan ini bagaikan 'hidup' semula dengan adanya pelbagai jenis batu karang lembut serta migrasi ikan-ikan ke kawasan ini.

Galeri Dasar Laut di situ menempatkan replika-replika konkrit warisan Melayu seperti Gerbang Negeri Terengganu, Perahu Payang, Batu Bersurat, Tepak Sirih dan Keris yang juga berfungsi sebagai tukun tiruan.

Selain daripada replika yang dinyatakan di atas, terdapat rangka sebuah bas yang menjadi tempat ikan-ikan bertumpu, termasuklah daripada spesies 'Barracuda'.

"Tidak kira siapa, kita semua mampu untuk menyumbang kepada negara dalam cara tersendiri," kata Naufal.

Rata-rata peserta Selaman Kemerdekaan ini terdiri daripada golongan belia membuktikan bahawa golongan ini mahu menyumbang kepada negara dengan cara mereka yang tersendiri.

"Mungkin di mata sesetengah pihak, apa yang kami lakukan hanyalah perkara yang kecil, tetapi yang penting, kami tahu bahawa kami telah menyumbang sesuatu yang penting kepada negara," tambah Naufal lagi.

Rakaman Selaman Merdeka juga telah disiarkan di Bernama TV pada 31 Ogos lepas sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54. - MS





RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: