Hakim Datuk Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan yang masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M Athimulan selesai mengemukakan hujah masing-masing pada akhir kes pendakwaan hari ini.
Abdul Wahab, dalam hujahnya memberitahu mahkamah saksi utama dalam kes itu, Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai. Beliau menyangkal kenyataan peguam bela yang mewakili Dr Mohamad Khir, Athimulan, bahawa keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak boleh dipercayai sebab beliau (Shamsuddin) sendiri pernah memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau ada memberikan kenyataan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu.
"Pihak pendakwaan berpendapat mahkamah hanya boleh menilai keterangan yang dikemukakan Shamsuddin di mahkamah dan tiada asas untuk mengambil kira percakapan bertulisnya kepada SPRM kerana ia bukanlah sebahagian dari keterangan pendakwaan ataupun pembelaan," katanya.
Semasa perbicaraan kes pada 16 Jun lalu, Shamsuddin selaku saksi pendakwaan kedua memberitahu mahkamah bahawa beliau memberi tiga kenyataan bercanggah dalam dua rakaman percakapannya kepada SPRM berhubung kes itu pada 2009 dan 7 Jun lalu atas desakan Dr Mohamad Khir.
Shamsuddin berkata, desakan itu berlaku selepas beliau dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan dan "saya menerima banyak desakan daripada Mohamad Khir untuk tidak melibatkan diri beliau."
Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Dr Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata isu kebolehpercayaan keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak timbul kerana beliau sendiri mengesahkan apa yang disebut dalam mahkamah adalah perkara sebenarnya.
"Mungkin terdapat percanggahan antara keterangan yang dimaksudkan (oleh pembelaan), namun kredibiliti Shamsuddin tidaklah secara automatik terjejas dan harus ditolak begitu sahaja oleh mahkamah.
"Dalam konteks ini, 'best evidence rule' terpakai iaitu keterangan lisan saksi pendakwaan kedua (Shamsuddin) di mahkamah dan bukannya percakapan kepada SPRM yang tidak pun dirujuk kepada Shamsuddin ketika bicara," katanya.
Sebelum itu, Athimulan dalam hujahannya berkata kredibiliti Shamsuddin terjejas kerana memberi keterangan yang berbeza di mahkamah dan SPRM sebelum pertuduhan bersubahat terhadap beliau (Shamsuddin) dalam kes itu ditarik balik.
"Sejauh manakah kita boleh bergantung kepada keterangan Shamsuddin? Adakah beliau saksi yang boleh dipercayai? Adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan Shamsuddin (dalam kes itu)," katanya.
Beliau berhujah sebagai seorang yang mengaku membuat kenyataan palsu di hadapan pihak berkuasa, Shamsuddin sudah melakukan sumpah bohong berdasarkan Seksyen 191 dan 193 Kanun Keseksaan dan beliau bukanlah saksi yang boleh dipercayai.
Sementara itu, Abdul Wahab berhujah intipati kesalahan dalam kes Dr Mohamad Khir berjaya dibuktikan melalui keterangan Shamsuddin yang disokong dengan keterangan lisan dan dokumen.
Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa pembayaran RM3.5 juta oleh Dr Mohamad Khir untuk memperolehi tanah dan rumah tersebut adalah terlalu tidak mencukupi berbanding dengan harga yang dibayar oleh Shamsuddin iaitu RM6.5 juta untuk membeli hartanah tersebut daripada pemilik asalnya, Saiful Aznir Shahabudin.
"Keterangan juga menunjukkan OKT (Orang Kena Tuduh) mempunyai pengetahuan bahawa harga yang dibayarnya jauh lebih rendah atau tidak munasabah dari yang sepatutnya," katanya.
Abdul Wahab juga berkata, berdasarkan keterangan Shamsuddin, tidak wujud langsung persefahaman atas dasar 'willing buyer' antara Shamsuddin dan Dr Mohamad Khir ketika transaksi penjualan rumah itu dibuat.
"Shamsuddin menyatakan yang beliau pada awalnya ingin menjual pada harga RM5 hingga 5.5 juta namun OKT meminta kepada harga RM3.5 juta.
"Beliau tiada pilihan setelah berunding dengan isterinya bersetuju dengan harga ini memandangkan beliau mempunyai urusan niaga khususnya dengan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) yang dipengerusikan Dr Khir masa itu," katanya. - BERNAMA
sumber klik sini
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 8 hingga 26 Ogos depan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atas tuduhan liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Penetapan berkenaan dibuat Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas kes berkenaan dibawa untuk sebutan pada prosiding hari ini.
Peguam yang mewakili Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan mengemukakan permohonan bagi pihak pendakwa agar mengemukakan 20 saksi untuk ditemuramah oleh pihak pembelaan.
Anwar yang hadir di temani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada prosiding akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula.
Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, S.N.Nair, memberitahu pemberita bahawa mengikut Kanun Acara Jenayah, tertuduh adalah saksi pertama yang akan memberi keterangan dalam kes pembelaan.
Katanya pasukan pembelaan berharap untuk menyoal 25 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum perbicaraan bermula.
Setakat ini mereka telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar; bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid; adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.
Nair berkata beliau akan mengemukakan permohonan minggu ini bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan membawa saksi-saksi ke mahkamah untuk ditemubual.
Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar supaya membela diri selepas mendapati bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.
Pihak pendakwaan telah menawarkan 71 saksi tetapi pasukan pembelaan hanya mahu menyoal 25 daripada mereka.
Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.
sumber klik sini
- SILA BACA SYARAT & PENAFIAN KOMEN SEBELUM MEMBUAT ULASAN
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan