KOTA BARU: Kelab Isteri Taat cuba mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dan mencari populariti bagi menarik lebih ramai ahli menyertai kelab itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menter Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, kewujudan kelab itu juga menimbulkan tanda tanya kerana ia dibimbangi menjadi kelab yang digunakan oleh golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej 'taat' kepada golongan isteri dengan cara yang salah.
"Kalau saya tidak salah, mereka adalah cabang dari kumpulan Al-Arqam kerana berasal dari kelompok Ikhwan Global.
"Justeru saya menduga bahawa kumpulan ini dikendalikan oleh suami mereka dan boleh menghantar mesej yang salah kepada golongan isteri mengenai ketaatan kepada suami mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kota Baru di sini, Jumaat.
Katanya kewujudan kelab itu perlu dilihat semula bagi mengetahui siapa yang berada di sebaliknya yang mengambil inisiatif untuk menggerakkan kelab berkenaan. "Saya bimbang, mana-mana saya pergi pun istilah taat. Contoh pinang isteri kedua, istilah taat itu digunakan oleh golongan suami untuk meminta isterinya meminang isteri kedua dengan alasan jika isteri mengingkarinya maka ia akan dilabelkan sebagai tidak taat, ia akan menjadi senjata sebenarnya untuk putarbelitkan sebahagian daripadanya.
"Ini semacam dari isyarat yang salah yang akan membingungkan masyarakat," katanya.
Baru-baru ini, Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama'.
Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak sehingga Mashitah meminta Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab berkenaan.
Mashitah berkata, hubungan seksual suami dan isteri adalah rahsia serta tidak perlu dikongsi dengan pihak luar kerana ia adalah fitrah manusia.
"Kenyataan mereka menyebut tentang kepuasan hubungan seksual, mereka hendak ajar bagaimana mendatangi suami tetapi pada saya hubungan suami adalah rahsia tidak boleh dipecahkan kepada orang luar," katanya.-MS
0 respon:
Catat Ulasan