SHAH ALAM, 31 Mac – Bekas pengikut Al-Arqam Zabidi Mohamed percaya pergerakan kumpulan masih lagi bergerak secara aktif di negara ini, namun berselindung dengan pelbagai aktiviti termasuk perniagaan.
Kata Zabidi, setelah kematian pengasasnya Ashaari Muhammad atau Abuya, Al-Arqam kini dipimpin balu Ashaari yang dikenali sebagai Ummuh Jah.
(teruskan membaca)
“Kalau dulu Al-Arqam gunakan nama Rufaqa dan sekarang gunakan nama Global Ikhwan, malah mereka juga turut berselindung di sebalik kewujudan rumah anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui selepas program Benarkah Sesat: Debat atau Tangkap anjuran Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di sini.
Kata bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu, Ummuh Jah kini berada di Mekah untuk mengembangkan pengaruh Al-Arqam di sana.
“Di Malaysian saya difahamkan Al-Arqam bergerak secara aktif di kampung Ummu Jah Sungai Petani (Kedah) dan Al-Arqam di Malaysia masih mempunyai pengikut kuat yang saya anggarkan kira-kira 3,000 orang,” katanya.
Mengenai strategi terbaru Al-Arqam menggunakan rumah anak-anak yatim, Zabidi berkata, ia berada di seluruh negara.
“Di mana-mana ada (rumah anak-anak yatim), kalau kita lihat banyak sekarang di seluruh negara.
“Al-Arqam gunakan ini untuk kembangkan pengaruh dan boleh dikatakan mereka yang berada dalam rumah anak-anak yatim itu adalah ahli Al-Arqam juga,” katanya.
Awal tahun ini negara dikejutkan dengan perkembangan terbaru Al-Arqam apabila gerakan itu didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai “Sidang Parlimen Roh” selepas kematiaan Ashaari pada 13 Mei tahun lepas.
Gerakan itu didakwa cuba menghidupkan kembali ajaran Al-Arqam oleh Ummu Jah yang didakwa telah berhimpun sebanyak 18 kali sama ada di dalam negara termasuk di Bandar Country Homes, Rawang atau di Kampung Sungai Penchala mahupun di luar negara seperti Thailand, Jordan dan Mekah.
Pada setiap persidangan, Ummu Jah akan menyampaikan amanat atau dasar-dasar kepada pengikut ajaran Al-Arqam sambil mendakwa pengasas Tarikat Aurat Muhammadiah iaitu Sheikh Muhamad As-Suhaimi dan Ashaari sendiri telah muncul secara fizikal di Mekah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Majlis Agama Islam negeri sedang memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam.
Mengulas lanjut mengenai pergerakan Al-Arqam, Zabidi berkata, gerakan itu dilihat mula menyeleweng daripada ajaran Islam selepas tahun 1986 yang mana ketika itu Ashaari berubah dari aktiviti dakwah kepada aktiviti ghaib selain turut mengumumkan beliau bakal menjadi perdana menteri.
Pergerakan Al-Arqam diasaskan Ashaari pada 1968 telah diharamkan kerajaan pada 1994 atas alasan ajarannya didapati menyeleweng.
Al-Arqam juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah telah mengembangkan pengaruhnya di setiap lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia. (M-I)
0 respon:
Catat Ulasan