Rabu, 30 Mac 2011

Nenek 7 cucu dihukum gantung sampai mati

KUALA TERENGGANU: Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 92.68 gram pada Ogos tahun 2009.







Tertuduh Mariah Hamadi, 59 dari Rantau Panjang, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 Ogos 2009 pada jam kira-kira 3.45 petang di perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot dekat sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan penghujahan pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang @ Mamat yang berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah hasil keterangan saksi-saksi pendakwa.

Katanya, walaupun peguam bela cuba menimbulkan keraguan dengan mengatakan tertuduh hanya membawa barangan itu yang dikirim oleh seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isinya, namun mahkamah mendapati ia tidak benar.

Beliau berkata, tertuduh dalam keterangannya sebelum ini mengatakan dia bersama suami hendak pergi ke Kuala Berang untuk menziarah seorang saudara suami yang belum pernah dikenali, dan singgah di masjid berkenaan untuk memberikan barang yang dikirim oleh Ida itu.

"Tetapi adalah tidak munasabah tertuduh sanggup melalui jalan pantai dari Rantau Panjang ke Kuala Berang dan singgah ke masjid itu kerana hendak menyampaikan barang yang dikirim itu kerana jaraknya agak jauh," katanya.

Malah, katanya tertuduh kelihatan pucat dan menggigil ketika ditahan oleh polis di kawasan masjid itu menunjukkan tertuduh tahu tentang isi barangan yang dibawanya itu.

Sehubungan itu, mahkamah mendapati tertuduh yang diwakili oleh peguam Tara Singh Delip tidak berkata benar dalam keterangannya dan sehubungan itu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Tertuduh yang memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung berwarna gelap, tunduk ketika hakim menjatuhkan hukuman itu dan dilihat sempat menoleh ke arah keluarganya yang berada di galeri awam. - HM


RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: