Khamis, 24 Mac 2016

Kalau pembangkang menang, Rafizi layak jadi Menteri Kewangan

Kewangan beberapa negeri dikhuatiri hampiri muflis

Pertambahan perbelanjaan sebanyak RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pendahuluan Negeri memberi gambaran kedudukan kewangan sesetengah kerajaan negeri yang lemah dan bergantung sepenuhnya kepada suntikan dana dari Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Malah beliau melahirkan kekhuatiran bahawa sesetengah kerajaan negeri mungkin menghampiri taraf muflis sekiranya tidak mendapat suntikan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden PKR itu mengulas dua 'perkara besar' yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan 2015 yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong di Dewan Rakyat 21 Mac lalu.

Dua 'perkara besar' itu adalah peruntukan tambahan untuk tanggungan pencen Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.3 bilion dan peruntukan tambahan kepada Kumpulan Wang Pendahuluan Negeri berjumlah RM240 juta.

Rafizi juga berjanji akan mengkaji dan meneliti kedudukan kewangan kerajaan-kerajaan negeri dan membentangkannya kepada umum sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat penggal ini.

Langkah ini penting bagi menilai risiko kemuflisan sesetengah kerajaan negeri sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak lagi mampu menyuntik dana secara berterusan.

Dalam kenyataan media yang sama, beliau turut menyentuh peruntukan tambahan RM2.3 bilion bagi tanggungan pencen Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, Akta 672 (Retirement Fund Act) memperuntukkan tanggungan dan pengurusan pencen Kerajaan Persekutuan dan badan-badan kerajaan diuruskan oleh Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Kerajaan Persekutuan jelas beliau diwajibkan menyumbang 5% dari jumlah keseluruhan emolumen (belanja penggajian, gratuiti dan kos kakitangan awam yang lain) sementara badan berkanun, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diwajibkan menyumbang 17.5% dari gaji pokok bulanan setiap kakitangan di bawah skim pencen kepada KWAP.

Beliau menambah, Menteri Kewangan sepatutnya tidak mempunyai masalah dalam membuat anggaran tepat jumlah tanggungan yang perlu diperuntukkan bagi tujuan pencen untuk dicarum di dalam KWAP setiap tahun.

"Asasnya adalah mudah, jika jumlah keseluruhan emolumen tidak berubah sepatutnya tidak ada peruntukan tambahan bagi tujuan tanggungan pencen," ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan hanya perlu menyuntik dana baru sekiranya kedudukan kewangan tabung KWAP (caruman oleh Kerajaan Persekutuan dan keuntungan dari pelaburan dana oleh KWAP) dirasakan tidak mencukupi untuk membayar pencen kakitangan kerajaan di masa hadapan.

Menurut Rafizi, penelitian beliau terhadap prestasi pelaburan KWAP bagi tahun kewangan 2014 mendapati ianya lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Iklim pelaburan bagi tahun 2015 adalah lebih buruk dan saya menjangkakan prestasi pelaburan KWAP bagi 2015 adalah lebih buruk selari dengan prestasi dana awam yang lain.

"Pada masa yang sama, KWAP terpalit dengan kontroversi 1MDB termasuklah risiko kewangan yang besar melalui hutang RM4 bilion kepada SRC, urusniaga kewangan yang lain dan pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau bimbang jika jumlah RM2.3 bilion dalam bentuk peruntukan tambahan itu berkait dengan sebarang perbezaan (shortfall) di antara jumlah dana yang diperlukan untuk menanggung liabiliti pencen di masa hadapan dan kedudukan kewangan KWAP sekarang.

Malah beliau tidak dapat mengesan sebarang Laporan Nilaian Aktuari untuk menilai kedudukan kewangan KWAP dalam menanggung liabiliti pencen di masa hadapan.

Akta 672 juga, jelas Rafizi tidak menyebut keperluan mengadakan Laporan Nilaian Aktuari seperti yang diwajibkan kepada tabungan pencen di negara-negara lain.

"Oleh itu, saya akan membawa isu ini ke dalam perbahasan Rang Undang-Undang Tambahan 2015 dan menulis secara rasmi kepada KWAP untuk mendapatkan Laporan Nilaian Aktuari terkini supaya saya dapat meneliti kedudukan KWAP dengan lebih terperinci," katanya.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: