Sabtu, 27 Februari 2016

Sah digantung

Muhyiddin Yassin hari ini sah bukan lagi timbalan presiden Umno selepas Majlis Tertinggi (MT) hari ini memutuskan menggantung keahlian beliau yang menyaksikan hilang secara automatik jawatan yang disandang sejak 2009.

Keputusan tersebut diumumkan setiausaha agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media sejurus selesai mesyuarat yang berlangsung bermula jam 4 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

"Keputusan menggantung ini diambil berasaskan fasal 10.15 Perlembagaan Umno dengan ahli MT sebulat suara bersetuju untuk gantung Muhyiddin serta-merta.

"Keputusan ini kekal hingga pemilihan parti akan datang," katanya.

Tengku Adnan berkata, keputusan dibuat sebulat suara semua ahli MT, namun Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak hadir pada mesyuarat hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama 2 jam setengah itu dipengerusikan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sementara Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkecuali dengan keluar daripada bilik mesyuarat.

Tengku Adnan berkata, tindakan dan kecaman yang dibuat Muhyiddin tidak mencerminkan imejnya sebagai seorang timbalan presiden dalam membantu presiden menjalankan tugas.

"Kelakuan beliau tidak mencerminkannya sebagai seorang timbalan presiden, tidak bantu presiden untuk mengukuhkan parti.

"Beliau juga membelakangkan kepentingan parti," katanya.

Menurutnya, tugas timbalan presiden akan digalas Zahid yang juga timbalan perdana menteri yang diberikan tanggungjawab memperkukuhkan semula parti.

Ditanya mengapa Muhyiddin tidak diberikan peluang mempertahankan diri, Tengku Adnan berkata, ahli Parlimen Pagoh itu sudah dimaklumkan mengenai mesyuarat hari ini tetapi MT menerima surat balasan menyatakan ketidakhadirannya bersama dengan Shafie.

Spekulasi penggantungan keahlian Muhyiddin tercetus awal minggu lalu selepas seorang ahli MT, Datuk Seri Nazri Aziz secara terbuka berkata akan membawa usul untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin nombor 2 Umno itu.

Sejurus kenyataan ahli Parlimen Rengas itu, beberapa ahli MT lain juga senada dan menyokong dengan cadangan yang dikemukakan tersebut.

Muhyiddin berterusan membangkitkan isu dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Terbaharu, Muhyiddin mendakwa dihalang daripada melaksanakan tugasnya sebagai timbalan presiden parti utama kaum Melayu tersebut.

Salah seorang ahli MT, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang ditemui wartawan berkata, keputusan hari ini suatu yang baik untuk Umno dan selepas ini mereka perlu menumpukan ke arah usaha mengukuhkan parti.

"Hari ini hari yang baik untuk Umno. Kita tumpukan kepada pengukuhan parti selepas ini," katanya. – 26 Februari, 2016.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: