Sabtu, 1 Ogos 2015

Pecat Muhyiddin: Kedah dan Terengganu dalam bahaya untuk UMNO!

Kedudukan politik Umno Kedah dan Terengganu kelihatan mula terancam selepas rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
Selasa lalu.
 
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu kerana beberapa pemimpin yang dilihat tidak menyokong kepimpinan
Najib secara terbuka mungkin akan ditukar ganti.
 
“Kesan daripada tindakan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai menteri bukan sahaja
membawa tanda tanya akar umbi Umno, malahan menjadi Johor dan Sabah yang merupakan antara kubu terkuat Umno telah tercalar.
 
“Bahkan situasi politik Umno serta kerajaan di Kedah pula mula menjadi topik perbualan awam mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir sama ada akan kekal atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Menurutnya, perkara itu juga masih menjadi persoalan sama ada Najib hanya merombak Kabinet atau turut melakukan perkara sama terhadap kedudukan beberapa
menteri besar yang dikuasai BN.
 
“Kedah mula terancam apabila Mukhriz dilihat sebagai pro kepada Muhyiddin berhubung isu 1MDB yang mahukan siasatan telus dijalankan.
 
“Pada masa sama, beliau juga tersepit untuk memberi sokongan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan kerajaan
Najib,” katanya.
 
Md Shukri berkata, politik Kedah lebih sensasi apabila Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin juga dengan lantang mendesak Mukhriz meletakkan jawatannya
sebagai Menteri Besar Kedah jika tidak menyokong Najib.
 
“Desas-desus politik tempatan masih berlegar mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah sama ada akan kekal atau turut dirombak oleh Perdana Menteri, apatah
lagi dengan pelantikan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan baharu.
 
“Maka kelihatan usaha Najib untuk mengukuhkan kedudukan beliau di Kedah semakin ketara dengan menggantikan beberapa pemimpin yang tidak menyokongnya,”
katanya
 
Sementara di Terengganu, beliau menyifatkan bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said masih menjadi kunci kepada pengekalan BN sebagai kerajaan negeri.
 
“Beliau kelihatan sudah tidak lagi pro kepada Najib dan jika Ahmad Said dan beberapa Adun BN bertindak menggugat kepimpinan Najib atas simpati kepada Muhyiddin
dengan menjadi Adun Bebas, maka Kerajaan Terengganu akan terbubar,” katanya.
 
Tambahnya, kedudukan Umno di Kedah, Terengganu, Johor dan Sabah kini perlu diteliti semula oleh Perdana Menteri supaya perpecahan tidak berlaku.
 
“Jika Umno Kedah bergolak, maka ia akan memberikan kesan besar terhadap kemenangan Umno bukan sahaja di Kedah, tetapi juga peringkat nasional
 
“Hal ini kerana Kedah merupakan negeri ‘tambah nilai’ (top up) kepada pengekalan kuasa BN dalam PRU13 lalu,” katanya.
 
Menurutnya, Najib juga perlu berwaspada bahawa kedudukan politik Umno di Kedah dan Terengganu juga kelihatan berada pada tahap berjaga-jaga.
 
“Apa sahaja isu dan percaturan politik boleh mengakibatkan kuasa Umno di negeri itu tergugat, tambahan pula apabila dua pemimpin utama dari Sabah dan Johor
telah disingkirkan dari Kabinet,” katanya.
 
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa UUM itu turut berpandangan landskap politik tanah air akan berubah jika
pola persepsi rakyat tidak berjaya dipikat oleh Najib dan anggota Kabinet yang baharu.
 
“Hari ini sudah tiada menteri ikon masyarakat. Rakyat mahukan menteri dan pemimpin parti yang boleh menjadi ikon mereka.
 
“Tapi hakikatnya lantikan menteri baharu kelihatan tidak menggembirakan rakyat, bahkan ada yang dicemuh seolah-olah ‘Kabinet skandal 1MDB’ kerana tindakan
penyingkiran Muhyiddin menjadi lebih sensasi dari soal kredibiliti Kabinet yang dibentuk,” katanya.
 
Tambahnya, mungkin suatu posisi atau jawatan tertentu perlu diberikan kepada Muhyiddin bagi meredakan keadaan.
 
“Analisis politik saya mendapati Najib bijak mencipta sensasi politik dan namanya sering menjadi sebutan ramai, tapi ruginya sensasi itu kerana ia tidak
memberi impak positif kepada kerajaan malah menghasilkan kesan kontra berganda dari perspektif rakyat.
 
“Saya juga bimbang kemungkinan mesyuarat Umno bahagian dan sayap Pemuda, Puteri serta Wanita akan menjadi medan melepaskan geram perwakilan Umno terhadap
rombakan Kabinet tersebut,” katanya.
 
Md Shukri berkata, tidak mustahil sekiranya mesyuarat Umno itu diboikot perwakilan berkenaan apabila ia tidak menarik minat akar umbi terhadap isu-isu
yang berbangkit.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: