Jumaat, 22 Mei 2015

Tidak salah Tabung Haji beli tanah, tapi ...

Seperti kata-kata seorang kawan, “Saya fikir beliau maksudkan jerangkap periuk api, bukannya lubuk emas”.

Pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji barangkali secara teknikal tidak salah ataupun meragukan pada permukaannya, walaupun transaksi itu mungkin mencetuskan persoalan dari sudut bisnes.

Bukankah satu amalan biasa bagi syarikat untuk melabur dalam hartanah. Dalam Islam juga, salah satu syarat perniagaan adalah ia melibatkan perkhidmatan dan barangan yang nyata.

Pembangunan hartanah memang mendatangkan pulangan tinggi kepada syarikat yang melabur, terutama bagi projek berhasil tinggi seperti TRX – walaupun pemerhati pernah memberi amaran tentang kebanjiran hartanah dalam pasaran Malaysia.

Dan seperti yang diumumkan Tabung Haji, pengarah-pengarah yang berperanan membuat keputusan yang mempunyai kaitan dengan pemilik TRX, 1MDB tidak terlibat dalam proses pertimbangan pembelian tanah tersebut.

Maka kebimbangan mungkin bukan pada soal teknikal dan konflik kepentingan melibatkan pegawai dan pengarah syarikat, tetap sebab tersembunyi mengapa badan berkaitan kerajaan melabur dalam projek itu.

Ini kerana berikutan penglibatan Tabung Haji dalam projek berkaitan 1MDB, timbul laporan bahawa langkah yang sama turut sedang dipertimbangkan oleh badan dana pencen kerajaan Kumpulan Amanah Wang Pekerja (KWAP).

Sebuah lagi badan dana milik kerajaan menimbang untuk ‘melabur’ dalam projek syarikat milik kerajaan penuh masalah itu.

KWAP setakat ini menafikan penglibatannya, walaupun menambah mereka sedang meneroka peluang pelaburan dalam pasaran hartanah tempatan.

Sesetengah pihak mungkin mempersoalkan sama ada pendedahan Tabung Haji-TRX adalah punca urusniaga KWAP-TRX dibatalkan, kalaulah memang aa perancangan urusniaga.

Persoalan pokok isu ini mungkin ada dalam dakwaan Najib bahawa pinjaman RM42 bilion oleh 1MDB yang dilaporkan dijamin kerajaan, tidaklah hangus begitu sahaja kerana sebahagiannya ada dalam TRX dan bank tanah Bandar Malaysia.

“RM42 bilion tidak hilang. Ada dalam 70 ekar tanah TRX dan 500 ekar tanah Bandar Malaysia,” katanya seperti dipetik the Malaysian Insider, ketika berucap di hadapan ratusan ahli Umno Selangor di Klang pada 16 Mei lalu.

Serpihan projek yang seperti sudah diambil oleh badan dana milik kerajaan yang lain.

Soalan yang boleh ditanya adalah, apakah wang rakyat digunakan untuk menyuntik dana kepada 1MDB yang berhadapan masalah kewangan, ketika pemberi hutang sudah beratur untuk memungut faedah hutang yang diambil?

Timbul laporan berhubung konsortium bank yang diketuai Deutsche Bank mendesak pembayaran semula hutang dijamin kerajaan berjumlah US$975 juta.

Ini selepas 1MDB hampir gagal menjelaskan servis hutang pada tarikh ditetapkan, sebelum menerima suntikan berbilion yang dipersoal dan dituduh sebagai ‘bailout’ dari kerajaan atau dipinjam dari seorang hartawan tempatan.

Mungkin inilah yang salah – penggunaan dana awam dalam badan milik kerajaan untuk membantu 1MDB melalui pembelian tanah di TRX. Ditambah lagi dengan hakikat 1MDB membeli tanah itu daripada kerajaan dengan harga yang cukup murah.

Apa-apa pun seperti yang disebut MP DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua, pelaburan yang dicurahkan dalam TRX dan Bandar Malaysia jauh kurang berbanding hutang RM42 bilion yang digalas badan dana tersebut.

Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan yang tanah itu hanya bernilai lebih sedikit berbanding RM5 bilion, yang langsung tidak dapat menampung nilai RM42 bilion, walaupun beliau menyifatkan TRX dan Bandar Malaysia sebagai ‘lubuk emas’.

Ketika berucap di Klang, Najib juga dilaporkan menyentuh soal itu, bahawa akan membeli tanah TRX jika beliau seorang kaya kerana ia akan mempunyai nilai jauh lebih tinggi pada 20 tahun akan datang.

Namun masalahnya, walaupun jika benar ia akan bernilai tinggi pada 20 tahun akan datang, anda tidak boleh samakan nilai pada masa hadapan dengan dana yang hilang pada masa ini.

Seperti yang telah dinyatakan pakar dan pengulas sebelum ini, hakikatnya jika 1MDB telah menggunakan RM42 bilion untuk mendapatkan aset atau dijadikan pelaburan, mesti ada sesuatu yang boleh ditunjukkan, yang sama nilainya dengan seluruh jumlah tersebut.

Dan memang tidak ada yang boleh dijadikan bukti setakat ini. Syarikat itu tiada wang tunai mahu pun aset yang boleh ditunjukkan sebagai hasil daripada berbilion hutang yang dijamin kerajaan.

Justeru, kita perlu bimbang dengan tindakan kerajaan yang menggunakan ‘lubuk emas’ TRX-Bandar Malaysia sebagai ibarat, kerajaan mungkin akan menggunakan dana rakyat dalam badan milik kerajaan lain, kononnya untuk berkongsi lubuk itu.

Walhal itu sebenarnya hanyalah ‘bailout’ jangka pendek untuk 1MDB.

Seperti kata-kata seorang kawan, “Saya fikir beliau maksudkan jerangkap periuk api, bukannya lubuk emas”.

Jerangkap yang kita sebagai rakyat telah pijak, apabila kerajaan menggunakan wang rakyat untuk lebih banyak pelaburan dalam TRX bagi nilai masa hadapan, dan mungkin juga hadiah wang tunai kepada 1MDB pada ketika ini.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: