Kitab Sulalat-ap-Salatin (Sejarah Melayu) menceritakan kisah Hang Kasturi mengamuk ( bukan Hang Jebat sebagaimana yang ceritakan oleh setengah hikayat) menuntut bela atas kematian Hang Tuah yang diarah bunuh oleh Sultan Melaka kerana difitnah melakukan perkara sumbang diistana.
Selanjutnya kitab ‘Sulalat al-Salatin’ menceritakan, “ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?” Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun besar dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja”
Saya terpanggil untuk ‘mempelawa’ para pembaca mengenang kemabli kisah zaman Kesultanan Melayu Melaka ini ekoran kenyataan Tun Dr. Mahathir dalam blognya yang menyatakan, “Saya berada dalam keadaan serba salah. Sebagai ahli UMNO saya hendak BN menang. Tetapi kemenangan akan mengekalkan kepimpinan Najib dalam PRU 14. Dan saya yakin BN pimpinan Najib akan kalah PRU 14” Maknanya Tun Mahathir sudah ‘berkerat rotan dan berpatah arang dengan DS Mohd Najib. Maknanya ‘perbalahan’ antara mereka berdua seolah-olah sudah tidak dapat dipulihkan semula.
Jadi Tun Mahathir mahu DS Najib diganti dengan segera. Tidak mudah menggugurkan DS Najib. Tambahan pula apabila beliau mengatakan bahawa beliau mendapat sokongan padu daripada ‘suku-sakat’ UMNO di seluruh negara. Itu kata dia. Dan tidak pula tugas aku untuk mengenalpasti betul tidaknya kenyataan DS Najib itu. Cuma yang aku difahamkan dengan kenyataan Tun Mahathir ialah bahawa DS Najib perlu diganti dengan orang lain.
Apabila dinyatakan bahawa DS Najib perlu diganti, maka perlulah dikenal pasti siapa yang akan menggantikan beliau. Sebagaimana biasa tentulah Timbalannya ia itu TS Muhyiddin Yassin. Dalam hal ini juga Tun Mahathir menyatakan kesangsiannya. “"Anda tahu, saya telah hilang kepercayaan pada orang. Sebelum mereka dilantik, mereka adalah orang yang paling bersih di dunia," katanya sambil menambah bahawa apabila mendapatkan kuasa, mereka berkelakuan tidak baik."Jadi, saya tak tahu," keluh Dr Mahathir ketika ditanya pendapat beliau mengenai Muhyiddin menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak” (petikan dari Malaysiakini 4 April 2015)
Oleh itu suasana politik di Malaysia kini kelihatan akan menjadi bertambah kusut. Rakyat mula tertanya-tanya siapakah yang paling layak menggantikan DS Najib. Rakyat Malaysia tentunya merasakan bahwa benarlah dalam UMNO kini amat berkurangan dengan pemimpin yang berkebolehan, sehingga tidak nampak ‘biji mata’ yang boleh menggantikan tempat DS Najib.
Tentulah suasana sebegini dianggap sebagai peristiwa amat malang menimpa negara. Negara kita, khususnya dari parti UMNO-BN betul-betul ketandusan pemimpin yang berkebolehan. ‘Kemarau dan ketandusan’….
Mungkin dipihak pembangkang khususnya dari Pakatan Rakyat keadaannya tidak begitu. PR dapat menyediakan calon-calon yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan. Tentulah mustahil akan berlaku penggantian PM sekarang diganti dengan pemimpin dari PR ditinjau dari sudut mengikut proses biasa. Lagipun jikalau ditinjau ‘selera’ Tun Dr. Mahathir beliau awal-awal lagi sudah menolak kehadiran Pakatan Rakyat.
“Saya tidak dapat terima negara diperintah oleh Pakatan. Dasar-dasar dalam parti-parti dalam pakatan bertentangan antara satu dengan yang lain. DAP lebih utamakan kepentingan orang Cina. PAS mendakwa ia bukan Melayu, hanya Islam. Keislaman PAS hanyalah untuk politik bukan sebenarnya untuk Islam. Sebab itu PAS mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi kemudian PAS memeluk orang kafir. Parti Keadilan hanya untuk Anwar jadi Perdana Menteri.Jika Pakatan menjadi Kerajaan, huru-hara akan berlaku. Kemajuan negara akan terjejas dan rakyat semua kaum akan menderita” (Blog Chedet 11 Mei 2015)
Itu pendapat dan pandangan Tun Dr. Mahathir. Tetapi mungkin majority rakyat Malaysia tidak sependapat dengan Tun Mahathir. Dalam suasana sebegini tentulah ramai rakyat Malaysia yang terfikir untuk menyoal soalan yang agak serupa sepertimana yang disoal oleh Sultan Mansur Syah kepada Bendahara Seri Nara Diraja. Hanya terdapat sedikit perbezaan. Masyarakat Malaysia kini pastinya menyoal,’ kalaulah ada Anwar Ibrahim….’ ataupun kalaulah Anwar Ibrahim berada di luar…”
Aku merasakan bahawa mungkin itu merupakan satu jalan penyelesaian kepada kemelut yang ada kini. Mungkin kalangan suku-sakat UMNO begitu ‘allergic’ mendengar nama Saudara Anwar Ibrahim. Namun sekiranya kita memerlukan seorang pemimpin yang disegani ramai di dalam negara atau di luar negara maka itulah pilihan yang terbaik buat kita. Mungkin itulah yang telah ditentukan oleh Tuhan. Manusia hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.
Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa tidak mungkin boleh mengubah keputusan hakim yang telah menetapkan penjara lima tahun kepada beliau. Namun sekiranya diperhalusi, tentulah berbagai cara boleh dilakukan demi untuk ‘melepaskan’ Anwar demi untuk menyelamatkan bangsa dan negara tercinta ini. Peribahasa Melayu mengatakan,’ Jikalau hendak seribu daya….”e
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
2 respon:
cantiiik.beb!
Takut juga sebab ada hubungan yahudi ....ada fahaman liberal semua agama sama...mendokong cita2 dap malaysian malaysia....tak berapa boleh harap..
Catat Ulasan