Kemuncak keadaan huru-hara ini timbul seusai Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh yang menyaksikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kemunculan khabar bahawa Tabung Haji ada membeli tanah daripada syarikat bermasalah milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya mengalihkan perhatian umum daripada kemenangan Dr Wan Azizah dan segala kucar-kacir pilihanraya. Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mulanya begitu pantas menafikan wujud sebarang transaksi dalam rangka untuk mengelak daripada isu tersebut diputar belit oleh pihak pembangkang. “Kena cepat... lambat nanti kena spin lagi bro,” katanya kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter.
Ternyata satu hari kemudian Timbalan Pengarah Urusan Tabung Haji Datuk Johan Abdullah tampil mengesahkan bahawa Tabung Haji ada membeli tanah seluas 1.56 ekar pada harga RM188.5 juta daripada 1MDB.
Ini menimbulkan banyak tanda tanya terutamanya di saat syarikat pelaburan milik negara itu sarat menanggung bebanan hutang sejumlah RM42 bilion, dan beberapa kali menunda pembayaran semula hutangnya dengan bermacam-macam alasan.
1MDB ini juga sedang disiasat akaunnya oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan juga Jabatan Audit Negara.
Terkesima umat Melayu Islam Malaysia apabila dikhabarkan bahawa Tabung Haji, badan pemegang amanah yang mengatur pelaksanaan ibadah haji, menggunakan dananya untuk membantu sebuah syarikat yang menanggung hutang menggunung, sehinggakan ada yang bertindak mengeluarkan tabungan mereka sebagai tanda bantahan.
Itu belum diambil kira pembelian sukuk RM1.6 bilion sepertimana yang didakwa oleh beberapa blog pro-Umno, serta khabar berita pengambil-alihan operasi pusat jana kuasa 1MDB oleh Tenaga Nasional Berhad dan yang terbaru pembelian satu lagi plot tanah milik 1MDB oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.
Kesemua aksi akrobatik jual beli tanah untuk mencairkan aset dan pengambilalihan projek oleh syarikat terkait kerajaan memandu perhatian kita kepada individu
yang menjadi punca kesemua permasalahan ini. Tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Perdana menteri hingga saat ini masih diasak dari segenap sudut tentang sikap diam dirinya mengenai skandal kewangan 1MDB dan segala macam skandal yang terkait dengan diri dan anggota keluarganya. Malah, persoalan dan perlawanan turut timbul dari kalangan yang hampir dengan Najib sendiri termasuk timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri yang mencadangkan Najib menjadi penerus mata rantai perjuangan, Tun Dr Mahathir.
Malah, wujud cakap-cakap bahawa Majlis Tertinggi Umno sendiri sedang atau akan memujuk beliau untuk melepaskan jawatannya demi kebaikan alif ba ta, agama bangsa dan tanah air.
Di saat Umno sedang berguling-guling menuju kebinasaan ini, di mana pula letak duduk kepimpinan Pakatan Rakyat (PR), terutamanya rakan dalam PAS yang baru sahaja beberapa minggu lalu begitu galak mahu bersekedudukan dengan Umno demi memajukan agenda daulahnya.
Betapa berat dendam ditanggung sehingga sanggup mendoakan kecelakaan buat PKR dan DAP ketika PRK Permatang Pauh berlangsung. Kini menikus terdiam membisu, menanti arahan barangkali tentang apa yang harus dikerjakan seterusnya, daripada mereka yang memberi makan.
Najib tidak akan meletakkan jawatan, malah tidak boleh meletakkan jawatan. Cacat-cela kepimpinan Najib adalah sumber modal utama kempen serang-menyerang pakatan pembangkang. Ghaibnya Najib daripada babak politik negara bererti ghaib jugalah sasaran serangan PR.
Namun, tidak mungkin itu sahaja yang Pakatan Rakyat boleh tawarkan kepada rakyat? Takkanlah hanya dengan menyerang Najib maka Pakatan akan beroleh keyakinan pengundi? Takkanlah dengan hanya membuat pendedahan tentang berapa belanja kenduri anak perdana menteri berserta gambar bunga berlori-lori maka sokongan rakyat akan beralih kepada PR?
Apa jadi sekiranya Najib berkeras melayangkan jari tengah kepada mereka yang menyerangnya di dalam parti, termasuk Dr Mahathir sendiri, dan melangkah terus sebagai perdana menteri sambil menyatakan sokongannya kepada agenda hudud PAS dan mengajak parti itu bergabung dengannya.
Apa pula akan jadi sekiranya itu dilihat sebagai kualiti kepimpinan yang berani oleh mereka yang gusar dengan kepimpinan perdana menteri, lalu kembali berpeluk cium dengan Najib sambil melupakan segala bobrok yang beliau akibatkan.
Apa jadi kalau 1MDB berjaya dilupakan dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akhirnya terpaksa ditelan dan menjadi kebiasaan? Apa jadi kalau PR meneruskan sikap membangkang tanpa mencadang?
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan