Jumaat, 8 Mei 2015

Ada sesuatu yang menarik antara Najib dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO pada Isnin depan ..?

Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kira-kira 160 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara Isnin depan dijangka membincangkan
isu utama kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan beliau.

Menurut sumber dalaman UMNO, pertemuan itu sekali gus mencari penyelesaian terbaik untuk membetulkan persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan Najib
yang juga presiden parti akhir-akhir ini.

"Semua maklum Najib kini mendapat tekanan selepas dikritik hebat di dalam blog dan di beberapa perjumpaan Dr Mahathir bersama rakyat.

"Ia melibatkan isu kepimpinan, banyak khabar angin terdapat perubahan pada peringkat kepimpinan tertinggi negara dalam masa terdekat. Najib akan menjelaskan
segalanya pada Isnin depan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sumber berkata demikian ketika mengulas isu yang akan dibincangkan dalam pertemuan ketiga Ketua Bahagian UMNO tahun ini bersama Najib pada Isnin depan.

Pertemuan sebelum ini dilaporkan tertumpu kepada isu jaminan Najib di dalam siasatan salah laku yang mungkin terjadi di dalam pengendalian 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).

BACA: 
Nasib Najib bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO - Rahim

Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik sebelum ini dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada hujung tahun bakal menjadi penentu tempoh
Najib kekal menjadi presiden parti, sekali gus perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14 atau sebaliknya.

Katanya, cadangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak menangguhkan pemilihan parti pada 2016 menguatkan hujahnya terhadap tempoh
dan penilaian tahap kemampuan Najib mentadbir negara.

“Najib akan menjelaskan segalanya pada Isnin depan

- Sumber

Sementara itu, sumber menjelaskan, Najib juga dijangka membincangkan isu dakwaan pembelian tanah milik 1MDB oleh Tabung Haji seperti yang tersebar di media
sosial sejak Rabu.

"Isu pembelian dua plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan
bukannya wang kerajaan akan dibincang dan ia akan dimasukkan di dalam bab perbincangan 1MDB," kata sumber itu.

Jelas sumber itu lagi, pertemuan itu dijangka turut membincangkan penurunan majoriti pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin pada Selasa lepas terutama di
kalangan pengundi Felda.

"Jelas kejatuhan majoriti terutama daripada pengundi Felda satu isu yang akan dibincangkan, walaupun menang, penurunan itu memberi sedikit sebanyak kesan
kepada parti dan membuktikan ada perkara yang perlu dibaiki," jelasnya.

Dalam pada itu, satu sumber daripada Ketua Bahagian UMNO memberitahu, Najib diharap menjawab semua persoalan mengenai isu 1MDB pada Isnin depan.

"Selama ini Najib memberitahu ia masih di dalam siasatan, sampai bila siasatan itu akan selesai dan kami berterusan menerima tempias kritikan masyarakat
dalam isu ini?

"Pertemuan Isnin depan diatur beberapa ketua bahagian 'otai' dan mereka meminta Najib memberi penyelesaian terhadap isu 1MDB yang dikatakan menjadi beban
kepada parti hari ini.

"Ia juga menjadi platform Najib menjawab kritikan Dr Mahathir terutama mengenai 1MDB dan desas-desus pertukaran pimpinan tertinggi negara dalam masa terdekat,"
jelasnya.

Bagaimanapun, seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menafikan pertemuan itu diadakan bagi membincangkan isu kepimpinan tertinggi negara, sebaliknya menyifatkannya
sebagai perjumpaan biasa presiden dengan ketua bahagian.

"Cuma makan-makan sempena hari ulang tahun UMNO," ujarnya.

Isnin depan juga merupakan ulang tahun ke-69 UMNO.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: