Rabu, 17 September 2014

Bekas pensyarah UIA dilantik PM Turki

AHMET Davutoglu bukan nama asing di Malaysia. Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Turki pada 28 Ogos 2014 lalu sedikit sebanyak membanggakan Malaysia kerana beliau pernah bergelar pensyarah Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa. Bergelar Perdana Menteri Turki ke-26 beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar pada 2009 berupaya memulihkan pengaruh serantau Turki dengan membina semula hubungan dengan Israel selepas serangan MV Mavi Marmara pada 2009.

Jasa

Perdana Menteri yang terkenal dengan sifat sederhana ini juga secara aktif terlibat dalam proses damai ketika perang saudara di Syria dan Libya. Beliau juga menyelesaikan beberapa isu pertikaian Cyprus dan terlibat secara langsung dalam konflik serangan Israel-Gaza baru-baru ini.

Selain itu, beliau merupakan antara pemimpin dunia dengan lantang mengutuk kegiatan Negara Islam (IS) di Iraq.

Sebelum menjadi Menteri Luar, Davutoglu berkhidmat sebagai ketua penasihat kepada Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan dan menjadi Ahli Parlimen Konya pada 2011.

Pelantikan

Pada Pilihan Raya Presiden Turki Ogos lalu, selepas Parti Pembangunan Keadilan (AKP) pemimpin Erdogan meraih kemenangan, Davutoglu diumumkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat AKP sebagai ketua parti yang baharu sekali gus bergelar Perdana Menteri. Pelantikan beliau sebulat suara dipersetujui Kongres. Keputusan itu merupakan satu sejarah luar biasa yang pernah berlaku dalam parti tersebut.

Pada 29 Ogos 2014 beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Presiden Erdogan. Bagaimanapun, kumpulan berhaluan kiri yakin pelantikan Davutoglo hanya sekadar boneka kerana Erdogan akan menggunakan kuasa vetonya untuk memimpin negara itu.

Bukan picisan

Beliau bukanlah sekadar pemimpin yang mengikut telunjuk. Sejak tahun lalu, beliau dengan lantang mengkritik penularan rasuah serta terlibat protes anti-kerajaan. Kritikan itu akhirnya memakan diri apabila nama beliau disebut antara pemimpin terlibat dalam skandal rasuah.

Tuduhan dilemparkan oleh penyokong Fethullah Gulen itu tidak mematahkan semangatnya hingga terbukti ia hanyalah mainan kotor yang direka oleh gerakan itu.

Sejurus terbukti bebas dari tuduhan terbabit, beliau sekali lagi dengan lantang bersumpah akan membersihkan kegiatan rasuah sekiranya dilantik menjadi perdana menteri.

Terkenal sebagai penyokong dasar luar Neo-Ottoman atau Pan-Islam, Davutoglu membuat kenaikan bidaan Turki ke Kesatuan Eropah (EU) bagi mencapai sasaran strategik untuk kemajuan negaranya.

Ketika berucap di persidangan EU, beliau berjanji melakukan reformasi Perlembagaan, menangani rasuah dan meningkatkan rekod hak pekerja di Turki.

Kini, usaha itu sedang dilaksanakan dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk tentera.

Pendidikan

Beliau menamatkan pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Istanbul. Pada 1983, beliau lulus dari Universiti Bosphorus dengan dua pengkhususan utama iaitu Sains Politik dan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Sains.

Selepas itu, beliau menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Jabatan Pentadbiran Awam dan memperoleh Kelulusan Doktor Falsafah dari Jabatan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Bosporus.

Pada 1990 beliau menjadi Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sehingga 1993 dan pada tahun sama beliau mendapat gelaran Profesor Madya.

Dua tahun selepas itu, beliau bekerja di Marmara University hingga 1999 sebagai pensyarah di Institut Kajian Timur Tengah, Institut Insurans dan Perbankan dan mengikuti Program Doktor Falsafah Pentadbiran Tempatan dan Jabatan Sains Politik.

Beliau juga pernah bergelar pensyarah di Akademi Tentera dan Perang antara 1998 dan 2002. Berbekal perluasan dalam bidang akademik, beliau meneruskan perkhidmatan sebagai pensyarah di Universiti Istanbul pada 1995-2004.

Ketika itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa, Ahli Senat Universiti dan Ahli Lembaga Pengurusan kampus serta ditawarkan sebagai pensyarah pelawat di Universiti Marmara.

Penghasilan buku dan jurnal

Davutoglu menerbitkan beberapa buku dan artikel mengenai dasar luar di Turki dan Barat.

Buku dan artikel beliau diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk Jepun, Portugis, Rusia, Arab, Parsi dan Albania.

Antara buku paling popular adalah Alternative Paradigms, Civilizational Transformation and the Muslim World.

Kehidupan peribadi

Beliau berkahwin dengan Sare Davutoglu pada 1984. Isterinya merupakan seorang pakar sakit puan yang bekerja di İstanbul dan merupakan aktivis kempen anti-pengguguran.

Sepanjang perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata. Mereka sekeluarga juga dikhabarkan fasih berbahasa Inggeris, Jerman dan Arab.

more updates ..



# sila like "kami undi pakatan rakyat"





RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: