Dewan Pemuda PAS Perak hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Perak bagi merealisasikan hasrat untuk bertemu dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Ia bertujuan untuk mendengar penjelasan berhubung 'fatwa' yang mendakwa peserta Himpunan Turun sebagai 'bughah' (penderhaka) dan halal darah mereka.
Rombongan tersebut diketuai oleh Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss bersama Timbalannya, Ustaz Akmal Kamaruddin, Penolong Setiausaha, Ustaz Hafez Sabri dan barisan Exconya iaitu Ustaz Anuar Morad dan Ustaz Syakirin Hussain.
Hadir sama dalam rombongan Pemuda PAS itu ialah Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki.
Walau bagaimanapun Harussani menyatakan bahawa beliau tidak bersedia untuk bertemu walaupun pada awalnya menyatakan persetujuaan dengan hasrat murni Pemuda PAS Perak bagi merungkai permasalahan itu.
Namun begitu, Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim telah mewakili Harussani bagi meraikan kehadiran rombongan Pemuda PAS tersebut. (Gambar atas)
Sementara itu Jingga 13 Malaysia hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung kenyataan yang dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan mereka yang hadir pada himpunan 31 Disember lalu sebagai 'bughah' iaitu penderhaka kepada kerajaan dan halal darah mereka.
Berkata kepada media, Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, laporan tersebut dibuat di bawah seksyen 503 dan 505 (C) Kanun Keseksaan.
Jelasnya, Harussani wajar bertanggungjawab dan bersifat matang dalam mengeluarkan sebarang fatwa dan kenyataan iaitu menghasut dan mendorong untuk melakukan keganasan.
"Kita menyelar kenyataan Mufti Perak yang melabelkan para demonstran yang berhimpun pada 31 Disember sebagai penderhaka kepada kerajaan dan dihalalkan darah.
"Ia merupakan satu kenyataan yang penuh dangkal dan tidak masuk akal sebagai seorang yang bergelar mufti dan sangat memalukan.
"Malah kenyataannya itu turut dilihat menghasut dan mendorong untuk melakukan keganasan, kecederaan termasuk melakukan pembunuhan terhadap mereka yang hadir pada perhimpunan aman itu," jelasnya.
sumber
0 respon:
Catat Ulasan