Meneliti apa yang dibongkar – setiap tahun – dalam laporan tebal itu, nampak sangat sesetengah pegawai awam tidak tahu mentadbir dengan baik. Nampak sangat
tidak amanah, tidak bertanggungjawab, lebih malang lagi tidak berapa pandai.
Setiap kali laporan keluar, ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja yang terseleweng dan diseleweng, bukan seringgit atau dua ringgit, tetapi berjuta-juta-juta
RM. Malah, sesetengah yang terseleweng itu macam tidak masuk akal.
Sementara mengucap terima kasih kepada Ambrin atas kesungguhan mengaudit dan membuat pendedahan, kita juga tertanya-tanya adakah tindakan dikenakan ke
atas pegawai atau ketua jabatan yang terlibat dalam penyelewengan dan ketirisan? Tidak guna mengesan, sekiranya tidak ada hukuman kepada yang melakukan
kesalahan.
SEPERTI yang disebut dalam laporan tersebut, seorang pegawai kanan di Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan, telah terlebih belanja @ keborosan yang melampau
ketika menyertai lawatan kerja selama empat hari ke Geneva, Switzerland.
Pegawai berkenaan telah membuat tuntutan perjalanan sebanyak RM303,813. Menurut Ketua Audit jumlah tuntutan ini keterlaluan. Walaupun sekiranya pegawai
tersebut menaiki penerbangan pergi-balik kelas pertama, menginap di hotel terbaik, makan di restoran terkemuka dan diberi elaun membeli pakaian musim sejuk,
belanja keseluruhan lawatan tersebut tidak akan melebihi RM50,000.
Bagaimana lawatan yang kosnya tidak melebihi RM50,000 tetapi tuntutan yang dibuat enam kali ganda dari yang sepatutnya? Kementerian terlibat telah diketahui,
maka tentu tidak susah untuk mengenal pasti siapakah pegawai yang membuat tuntutan berlebihan itu?
Dan, yang lebih penting, sekiranya betul beliau telah terlebih tuntut, apakah tindakan tidak boleh diambil ke atasnya? Atau, adakah pegawai kanan tersebut
boleh cuci tangan dan dilepaskan begitu sahaja? Mudahnya dia makan duit rakyat!
TURUT dinyatakan dalam laporan tersebut ialah perihal Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak berapa pandai menjaga dan mengendalikan aset mereka, sehingga
menyebabkan kehilangan aset bernilai RM1.3 juta.
Ada pun harta yang ghaib itu bukanlah periuk belanga atau sudu dan garpu, tetapi 29 buah kenderaan dan 44 senjata api. Tentu 29 kenderaan yang hilang itu,
tidaklah membimbangkan orang ramai.
Tetapi perihal begitu banyak senjata api hilang dari simpanan PDRM, ini memang menakutkan. Sebelum ini kita diberitahu wujudnya sindiket menjual senjata
api yang akibatnya terjadi tembakan maut di sana-sini, sehingga menyebabkan kehidupan harian kita macam tidak selamat.
Harap-harap usaha dilakukan untuk mendapatkan semula benda yang hilang itu. Bayangkan seandainya 44 senjata api yang hilang dari simpanan PDRM itu berada
di tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Ngeri!
sumber
0 respon:
Catat Ulasan