PETALING JAYA: Kematian seorang pemandu lori ditikam di rumahnya di flat Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52, di sini, Khamis lalu, dipercayai didalangi isterinya yang mengupah empat remaja lelaki untuk melakukan pembunuhan itu.
Suspek disyaki merancang komplot membunuh suaminya apabila hubungan sulitnya dengan seorang lelaki muda diketahui mangsa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata isteri pemandu lori berusia 34 tahun itu disyaki berpakat dengan kekasihnya berusia 22 tahun untuk membunuh mangsa berikutan dia menghalang hubungan mereka yang sudah terjalin lebih setahun.
Menurutnya, siasatan mendapati pasangan kekasih itu yang kini menjadi suspek utama kes berkenaan mengupah empat remaja lelaki, termasuk dua pelajar berusia 16 tahun untuk membunuh mangsa dengan menyediakan upah sebanyak RM5,000 seorang.
“Pada hari kejadian empat remaja terbabit dan suspek utama lelaki memasuki rumah mangsa dengan bantuan wanita berkenaan yang membukakan pintu sebelum mereka menyerang mangsa sedang tidur.
“Mangsa ditikam dengan parang di belakang badan dan tangan sebelum berlari keluar dalam keadaan berlumuran darah untuk mendapatkan bantuan. Dia bagaimanapun maut akibat kecederaan parah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.
0 respon:
Catat Ulasan