Jalaluddin berkata, suspek berusia 17 tahun dan tidak bersekolah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit dan kertas siasatan bawah seksyen 354 dan seksyen 324 Kanun Keseksaan dibuka.
Nenek mangsa yang ingin dikenali Mak Da berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggu bapanya berdekatan sekolah selepas tamat kelas Fardhu Ain dan diajak remaja itu menaiki motosikal yang ditunggangnya.
“Remaja berkenaan bertanya kepada cucu di mana tempat tinggal dan dia ingin menghantarnya. Setelah diajak berkali-kali, cucu saya bersetuju menaiki motosikal mangsa sebelum dibawa ke rumah kosong.
“Namun, remaja berkenaan mula bertindak ganas apabila cucu saya cuba melepaskan diri daripada dirabanya dengan memukul menggunakan bata dan kayu hingga menyebabkan beberapa luka di bahagian badan dan kepala,’’ katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mak Da berkata, setelah dipukul di kepala, mangsa berpura-pura mati dan tidak bergerak apabila diperiksa remaja itu.
Katanya, selepas mendengar bunyi motosikal remaja itu berlalu pergi dari tempat kejadian dan mangsa merangkak keluar dari rumah kosong itu kemudiannya diselamatkan orang ramai yang lalu di kawasan itu sebelum dihantar ke balai polis.
“Mujur cucu saya dapat mengingati nombor pendaftaran motosikal berkenaan dan dapat memberitahu warna baju dan seluar yang dipakainya sehingga tangkapan segera dapat dilakukan pihak polis.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan cucu saya. Ini adalah pengajaran buat kita semua supaya berhati-hati terutamanya melibatkan anak-anak perempuan,’’ katanya.
Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum dibenarkan pulang tengah hari semalam.
Sementara itu, Pesuruh Jaya Negeri, Skuad Sayang, Pergerakan Wanita Umno, Datin Rahimah Mohamad berkata, kejadian itu sewajarnya dijadikan pengajaran dan ingatan kepada semua dalam menjaga keselamatan anak-anak.
“Kami berharap keluarga mangsa dapat bersabar dalam menghadapi dugaan ini,’’ katanya ketika melawat mangsa di rumah keluarganya bersama Skuad Sayang Parlimen Machang, di sini, semalam.
0 respon:
Catat Ulasan