Ahad, 15 Mac 2015

Mahathir 'berkerat rotan berpatah arang' dengan Najib


JIKA dibandingkan dengan semua serangan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad terhadap Najib Razak selama ini, intipati yang terkandung dalam tulisan di blognya semalam bertajuk "1MDB" adalah yang paling tepat kepada sasarannya.

Beliau tidak saja membangkitkan pelbagai perkara yang menjadi kecurigaan ramai mengenai syarikat milik kerajaan yang penuh kontroversi dan dibebani hutang itu, malah juga membangkitkan mengenai kekayaan anak tiri Najib, Riza Aziz yang diperkatakan ramai berkawan rapat dengan Jho Low, individu paling dicurigai dalam segala masalah berkaitan 1MDB.

Bagi mereka yang mengikuti siri serangan dan kecaman Mahathir, terutama sejak beliau menarik balik sokongannya daripada Najib, inilah pertama kali sasaran kritikannya ditujukan kepada ahli keluarga Najib.

Sebelum ini, Mahathir hanya menumpukan serangannya kepada pelbagai aspek kelemahan kepimpinan Najib semata-mata dan beliau tidak pernah menyentuh sesiapa selainnya walaupun perkara mengenai isteri dan anak tiri Perdana Menteri itu sudah menjadi percakapan umum yang kian merata di mana-mana.

Dengan membangkitkan mengenai 1MDB tetapi dalam masa yang sama mengaitkannya dengan kekayaan anak tiri Najib serta harta peninggalan Tun Razak, serangan Mahathir ini jika difahami tidak lain ialah ditujukan kepada Rosmah Mansor yang sudah sekian lama dianggap beban paling berat kepada Najib, Umno dan kerajaan.

Ini juga menunjukkan bahawa Mahathir "sudah berkerat rotan berpatah arang" dengan Najib dan akan terus menekannya sehingga terasak ke dinding.

Perkiraan Mahathir ialah Najib yang dibebani isu 1MDB dan pelbagai perkara yang berkait dengan Rosmah adalah halangan utama untuk Umno meraih sokongan rakyat dan seterusnya menipiskan peluang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Kritikan Mahathir yang terbaru ini seharusnya mendapat reaksi segera daripada Najib. Beliau tidak boleh lagi seperti selalu dengan mengambil sikap berdiam diri, senyap dan membisu saja.

Sudah sampai masa sebenarnya Najib mengambil tanggungjawab penuh terhadap kritikan Mahathir kali ini kerana ia ditujukan secara tepat kepada diri dan keluarganya. Menyerahkan 1MDB kepada pengauditan semata-mata barangkali tidak memadai kerana aspek kekayaan anak tiri Najib yang diragui itu tentunya tidak akan ditemui dalam siasatan terhadap syarikat itu.

Lebih penting, sekurang-kurangnya untuk melegakan kesangsian rakyat, ialah Najib semestinya berani berdiri menyatakan kebenaran atas semua keraguan mengenai kekayaan keluarga dan anak tirinya yang ditimbulkan oleh Mahathir itu.

Berdiam diri, senyap dan bisu tetapi dalam masa yang sama mengalihkan kepada topik "jemuan" dan penghasut dalam parti yang didakwa bakal melemahkan sokongan rakyat tidak akan membantu memperbaiki keadaan.

Sebaliknya berdiam diri, senyap dan bisu seorang Jeneral itulah sifat selemah-lemah pemimpin yang lebih mudah menyebabkan terhakisnya sokongan rakyat.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: