PAS - PEMIMPIN BERFIKIRAN ‘USANG’ HARUS UNDUR
Tindakan TG Haji Hadi Awang ‘mengaibkan’ DS Wan Azizah amat bertentangan dengan prinsip keislaman. Ramai yang berkata begitu. TG Haji Hadi tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian rupa, apatah lagi apa yang diperkatakannya itu tidak dapat diterima oleh ramai rakyat Malaysia. Malah ‘musuh’ politik Pakatan pun merasakan bahawa apa yang diperkatakan oleh TG Haji Hadi amat tidak kena dengan kedudukan beliau sebagai Presiden parti yang sentiasa berlandaskan Islam sebagai wadah perjuangannya.
Antara ‘hujah’nya mengenai Dr Wan Azizah, "Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan jawab soalan di parlimen, untuk soal di parlimen, soalan dalam DUN, nak berdialog dengan lawan dalan Dewan Negara pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin…Tak boleh, tak mampu mengendali pemerintahan kerajaan negeri Selangor. Ini memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor”
MALAYSIAIKINI 6 SEPTEMBER 2014
TG Haji Hadi sepatutnya ‘mencermin diri’ terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apakah beliau lupa yang beliau terbukti gagal mentadbir negeri Terengganu sehinggakan dapat ditawan semula oleh Barisan Nasional. Dan apakah beliau juga sudah tidak ingat tentang tokoh PAS yang dipilih oleh beliau untuk menerajui Kedah juga gagal meneruskan pentadbiran sehingga dapat ditawan juga oleh BN. Dan mengenai peranan beliau sebagai ahli Parlimen juga haru disentuh. Seingat aku tidak ada satu isu besar yang pernah diketengahkan oleh TG Hajid Hadi sepanjang beliau ‘memanaskan kerusi’ di parlimen. Dan kebanyakan isu yang disentuh hanya berlegar di sekitar soal-soal agama dan hampir tidak ada langsung kebolehan beliau untuk berbicara mengenai soal ekonomi dan hal-hal antarabangsa.
Dengan mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu penghinaan kepada Presiden sebuah parti PKR yang merupakan rakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat sudah menampakkkan yang TG Haji Hadi sudah amat jauh ‘terpesong’ dari tindak tanduk sebagai seorang pemimpin sebagai sebuah parti berasaskan Islam. Kesanggupan beliau untuk mengeluarkan kata-kata sedemikian dengan sendirinya membayangkan bahawa PAS sememangnya berhasrat untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Membayangkan juga bahawa TG Haji Hadi sememangnya bersedia untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Hanya menunggu masa dan ketika.
Jika ditinjau tentang penglibatan TG Haji Hadi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ‘persahabatan’nya dengan pakatan sedemikian, menampakkan seolah-olah beliau hanya ‘berlakon‘ dalam memperjuangkan sesuatu isu yang berkait rapat dengan soal keadilan bagi rakyat Malaysia. Seolah-olah TG Haji Hadi ‘hanya tidur sebantal tetapi berlainan mimpi’. Kini sudah terserlah hasrat dan impian TG Haji Hadi yang sebenar. Jikalau dulu kita hanya melihat ‘sekilas ikan di air’ dan belum begitu jelas tentang ‘ jantan dan betina’nya. Kini hal sedemikian sudah amat jelas dan tidak ada jalan lain bagi TG Haji Hadi melainkan mengundurkan diri dari perjuangan yang belum selesai ini. Rakyat Malaysia masih mahu meneruskan perjuangan yang telah tersedia diasaskan oleh tokoh-tokoh pakatan Rakyat yang sedar tentang erti perjuangan abad baru.
TG Haji Hadi dan beberapa orang pemimpin usang lain dalam PAS harus sedar bahawa mereka tidak sesuai lagi berada dalam PAS sekiranya mereka tidak bersedia untuk mengadakan anjakan paradigma dari segi tindakan mereka. Yang dimaksudkan dengan pemimpin usang adalah mereka yang berfikiran yang tidak selari dengan perjuangan nasional yang sedang ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin progresif dalam Pakatan Rakyat, PAS,PKR dan DAP. Ramai pemimpin yang sudah agak lanjut usia namun masih befikiran yang sesuai dengan Kurun ini. Sebaliknya ramai juga pemimpin muda yang masih ‘ditakuk’ lama dimana fikiran mereka sudah agak ‘usang’ dan ‘jumud’ dan amat tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Lantas harus mengundurkan diri.
Pemimpin usang sedemikian harus sedar bahawa mereka sudah tidak sesuai berada untuk memimpin generasi kini yang sedang gigih untuk memperjuangkan nasib rakyat sesuai dengan tututan masa. Hendaknya janganlah pemimpin sedemikian masih mahu ‘berpaut’ kepada perjuangan yang sudah ketinggalan zaman terutama bagi masyarakat majmuk seperti negara kita.
Harus disedari bahawa ‘ sekali air bah sekali pantai berubah’. Dan sekiranya ada pemimpin yang masih berdegil dan tidak mahu berubah mengikut zaman, janganlah hendaknya mengharapkan rakyat untuk ‘menolak’ mereka kerana adab dan budaya masyarakat Malaysia tidak menghendakkan keadaan sedemikian. Namun sekiranya keadaan amat mendesak dan memerlukan, tentulah rakyat tidak mempunyai pilihan lain.
Masyarakat Kurun ke 21 mungkin bertindak sedemikian rupa.
~abuhassanadam
more updates ...
- SILA BACA SYARAT & PENAFIAN KOMEN SEBELUM MEMBUAT ULASAN
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan