KUALA LUMPUR: Waspada amah mengandung. Kini terdapat ejen pembantu rumah dikesan bertindak licik membekalkan amah warga Myanmar yang sedang mengandung dan selepas pelanggan mengetahuinya mereka berjanji menggantikan baru, namun ia alasan semata-mata.
Pelanggan yang terpaksa membayar kos pengambilan pembantu rumah warga asing berjumlah RM3,000 hingga RM5,000 seorang, pada awalnya gembira kerana selepas membuat pembayaran kepada ejen berkenaan, mereka terus menerima pembantu rumah yang dijanjikan.
Seorang daripada mangsa yang ingin dikenali sebagai Kamal berkata, selepas beberapa hari, baru dia mengetahui amah dibekalkan itu mengandung dua bulan
dan dia memulangkannya semula kepada ejen berkenaan serta meminta wangnya dikembalikan.
“Ejen itu enggan memulangkan semua duit saya, tetapi berjanji menggantikan amah baru dalam masa terdekat dan meminta saya bersabar serta tidak memperbesarkan perkara itu.
“Mereka mendakwa tidak mengetahui amah berkenaan sedang mengandung dan saya bersetuju menerima cadangan penggantian itu kerana memerlukan pembantu rumah,” katanya.
Menurutnya, ejen pembantu rumah terbabit dikenali melalui kenalannya pertengahan tahun lalu dan mempercayai ejen wanita berusia 38 tahun itu kerana syarikatnya mempunyai daftar perniagaan.
Katanya, dia dibekalkan dengan amah mengandung itu pada Ogos tahun lalu dan sehingga kini masih tidak menerima pembantu rumah gantian atau wangnya dikembalikan.
“Ejen itu pada awalnya dapat dihubungi, namun memberi pelbagai alasan serta mengelak daripada ditemui dan kini langsung tidak dapat dikesan,” katanya.
Selepas beberapa bulan masih tidak menerima pembantu rumah, Kamal membuat laporan polis di Wangsa Maju berhubung penipuan itu. Difahamkan juga, ejen terbabit turut menipu beberapa individu lain berhubung perkhidmatan amah dan pembekalan pekerja asing membabitkan kerugian hampir RM30,000 kerana semua pekerja yang disediakan menggunakan permit palsu.
Taktik dan alasan sama digunakan dengan mengatakan tidak sedar mengenai permit berkenaan. Sementara itu, Presiden Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavuty berkata, terdapat kemungkinan ejen yang terbabit dengan penipuan itu tidak berdaftar dengan pihaknya dan Jabatan Imigresen kerana menjadi amalan sejak dulu lagi, mana-mana agensi perlu memastikan pembantu rumah menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
“Kami beri tempoh sebulan bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan. Jika gagal dalam ujian agensi akan menghantar mereka pulang.
“Justeru kami menasihatkan majikan supaya memeriksa terlebih dulu status pembantu rumah yang ingin diambil bagi mengelakkan ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. (HM)
0 respon:
Catat Ulasan