Meskipun bekalan air dan eletrik sudah diminta oleh penduduk untuk 10 tahun lamanya, namun kemudahan asas ini belum disediakan sehingga hari ini. Kali ini, Mohd Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia datang menjenguk rumah panjang James Medan di Sekuau ketika PRN Sarawak berlangsung, mengumumkan projek bekalan elektrik bernilai RM2.4 juta.
Tiada had tempoh janji tersebut ditunaikan. Tiada janji untuk menyelesaikan masalah bekalan air, kecuali 20 tangki air yang akan diagihkan kepada 57 pintu Rumah James Medan dalam masa terdekat. Seorang penduduk memberitahu MR, bekalan air dan elektrik telah diminta 10 tahun yang lalu, namun tetap belum dipenuhi kerajaan.
Namun demikian, penduduk tempatan secara jujur berkata, mereka sanggup mempercayai janji Barisan Nasional, sekurang-kurangnya janji tersebut adalah satu harapan untuk mereka. Malah, ada yang berkata, "Itulah politik..."
Biarpun sudi ditemuramah media, namun mereka enggan diambil gambar dan dipetik atas nama mereka - kerana takut diambil tindakan.
Rumah panjang James Medan mempunyai 57 pintu, didiami 307 orang Iban. Mereka berpindah ke sini setelah kebakaran berlaku di rumah panjang asal mereka pada 21 tahun yang lalu.
Air jernih sebelum pembangunan
Tidak lama selepas berpindah ke sini, kawasan hulu Sungai Oya telah diterokai untuk penanaman kelapa sawit, dan pencemaran mula berlaku. William, 29, berkata kepada MR, dalam ingatannya, air sungai adalah jernih ketika dirinya masih kanak-kanak pada 20 tahun yang lalu. Namun, air sungai kini menjadi keroh dan kotor.
Keadaan sedemikian memaksa penduduk untuk menakung air hujan dengan tong - untuk minuman dan kegunaan domestik sekeluarga. Namun demikian, keadaan menjadi rumit ketika musim kemarau. Penduduk tempatan terpaksa menaiki bot untuk mencari air di pekan, perjalanan yang mengambil masa beberapa jam.
Sehingga empat atau lima tahun kebelakangan, pembinaan kilang batu telah membuka jalan untuk mereka ke kawasan pekan. Maka, kereta atau motorsikal digunakan sebagai pengangkutan mereka. Bagaimanapun, keadaan jalan menjadi lumpur pada hari hujan.
Rumah panjang tersebut terletak di kawasan DUN Tamin, menyaksikan pertembungan antara Joseph Mauh anak Ikeh dari PBB-BN dengan Mengga anak Mikui dari PKR. Pada tahun 2006, Joseph Mauh menewaskan calon SNAP Augustine Anak Liom dengan majoriti 2,377 undi.
Menurut pengamatan wartawan, poster yang digantung dalam rumah panjang kesemuanya calon BN, dan tiada poster dari calon PKR. Malah, Mengga anak Mikui bukan penduduk tempatan, dan dikatakan belum melawat ke kawasan ini sehingga hari ini.- MR
0 respon:
Catat Ulasan