Kerajaan DIDESAK lebih pantas bertindak dalam menangani kenaikan mendadak harga ayam mentah di pasaran khususnya menjelang musim perayaan termasuklah membenarkan pembekal membawa masuk bekalan ayam dari luar lebih awal.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kejadian ini yang kerap kali berlaku pada musim perayaan menuntut penyelesaian konkrit daripada pihak yang bertanggungjawab.
"Kita sudah tahu bila musim perayaan di sini, kenapa tidak kerajaan mengambil langkah awal, jika khuatir bekalan tak cukup... jangan baru sekarang nak beri permit import bawa bekalan dari luar, sudah tentu pembekal akan mengambil kesempatan menaikkan harga.
BACA LAGI ..
"Setiap tahun lebih tiga kali kenaikan harga ayam ini berlaku, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
"Saban tahun jawatan menteri bertukar tangan, namun masalah ini gagal ditangani dengan tuntas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
PPIM kelmarin mengajak pengguna boikot beli ayam buat sementara waktu, susulan kenaikan mendadak harga barang keperluan itu sejak dua minggu lalu.
Katanya tindakan itu mampu mengatasi masalah kenaikan harga kerana pembekal terpaksa menurunkan semula harga jika tiada permintaan.
Dalam pada itu, beliau mendesak kerajaan supaya lebih serius dalam menangani permasalahan yang berkaitan dengan harga barangan keperluan tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari punca sebenar perkara itu berlaku.
"PPIM mendesak supaya kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan atau membuka satu kertas putih tentang apa yang berlaku kepada harga pasaran ayam yang melebihi harga siling yang ditetapkan.
"Saya tak yakin peruncit memanipulasikan harga ayam ini, di sini peranan pembekal sebagai orang tengah yang mengaut keuntungan luar biasa apabila tiba musim perayaan,” dakwanya.
Tegasnya pengguna tidak mampu lagi bersabar dengan kelewatan kerajaan dalam menangani kenaikan harga tersebut kerana impaknya dirasai oleh rakyat setiap hari.
"Di peringkat ladang juga, bagaimana kerajaan nak pantau harga siling jika ada penternak yang sanggup membakar anak ayam semata-mata mahu memastikan harga pasaran tidak jatuh.
"Sebab itu saya ajak pengguna boikot harga buat sementara waktu, bila tiada pengguna yang beli ayam dalam tempoh tertentu, sudah pasti harga ayam akan jatuh mendadak,” katanya.
"Kita tidak boleh tunggu tindakan kerajaan sebab tiada langkah yang efisien yang diambil, kes yang sama berulang saban tahun,” katanya.
0 respon:
Catat Ulasan