Sabtu, 23 Julai 2016

Mana mau lari

1. Hari semalam kita dikejutkan dengan pengumuman Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta E. Lynch bahawa pihak Jabatan Keadilan Amerikia Syarikat telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk menyita dan mendapatkan kembali aset-aset berjumlah lebih AS$1 bilion yang dipercayai diperolehi secara haram melalui penyelewengan wang sebanyak AS$3.5 bilion (RM14 bilion) yang dimiliki oleh 1MDB. Inilah buat pertama kali dalam sejarah negara kita sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia dan individu-individu yang mempunyai hubungan rapat dengan keduanya menjadi sasaran penyiasatan kes skandal kewangan oleh negara kuasa besar dunia ini.

2. Kita perlu memahami bahawa fakta-fakta yang dikemukakan oleh Peguam Negara Amerika syarikat di dalam dokumen setebal 136 muka surat tersebut yang difailkan di District Court for Central District of California adalah berdasarkan kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan agensi-agensi penyiasatan rasmi di Amerika Syarikat seperti FBI dan IRS sejak sekian lama. Saya hanya mampu  tertawa sendirian melihat usaha dan kerja keras macai-macai politik tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah fakta-fakta yang terkandung di dalam dokumen rasmi tersebut adalah sekadar bersumberkan maklumat yang diberikan oleh Tun Mahathir dan parti-parti pembangkang kepada pihak berkuasa Amerika Sysrikat.

3. Saya tidaklah begitu teruja dengan senarai aset-aset yang hendak disita oleh kerajaan Amerika Syarikat di dalam permohonan yang mereka failkan di mahkamah.Ianya adalah hak pihak berkuasa di sana memandangkan mereka mengesyaki terdapatnya aktiviti pengubahan wang haram (money laundering) yang dilakukan di Amerika Syarikat ke atas wang yang dipercayai diselewengkan dari 1MDB. Oleh kerana kegiatan money laundering tersebut dilakukan di Amerika Syarikat, maka pihak berkuasa negara tersebutlah yang mempunya bidangkuasa untuk melakukan apa jua tindakan berdasarkan undang-undang mereka. Saya mendoakan aset aset tersebut jika dibuktikan terhasil dari wang yang dicuri dari 1MDB akan dicairkan dalam bentuk wang dan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

4. Namun, apa yang paling menarik perhatian ialah di dalam dokumen yang difailkan tersebut, pihak berkuasa Amerika Syarikat mendedahkan bahawa daripada AS$3.5 bilion yang diselewengkan dari 1MDB, sebanyak AS$681 juta wang yang berasal dari 1MDB telah telah berakhir  ke dalam akaun milik individu yang dinamakan sebagai ‘Malaysian Official 1’ di dalam dokumen tersebut melalui pelbagai transaksi di antara tahun 2011 sehingga 2013. Siapakah dia sebenarnya Malaysian Official 1 ini? Hakikatnya, amat senang untuk kita mengetahui siapa dia manusia yang telah memperolehi AS$681 juta wang 1MDB tersebut memandangkan dokumen mahkamah yang difailkan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat telah memberikan gambaran (deskripsi) yang cukup jelas kepada kita.

5. Peguam Negara Amerika Syarikat telah menggambarkan (mendeskripsikan) Malaysian Official 1 tersebut dimuka surat 11 perkara 28 dan 29 dokumen mahkamah sebagai high ranking official in the Malaysian government. Riza Shahriz bin Abdul Aziz yang diketahui umum adalah anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor pula telah diperkenalkan oleh Peguam Negara US sebagai a relative of MALAYSIAN OFFICIAL 1. Manakala mukasurat 75 dan 76 perkara 263 dokumen mahkamah tersebut telah memetik kembali kenyataan rasmi Peguam Negara Malaysia pada 26 Januari 2016 berkaitan dengan pengesahan Peguam Negara Malaysia bahawa wang sebanyak AS$681 juta yang diterima oleh Malaysian Official 1 adalah derma dari keluarga Diraja Arab Saudi. Kalau kita merujuk kembali kenyataan rasmi Peguam Negara Malaysia bertarikh 26 Januari 2016, ianya adalah merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Mohd Najib Razak.

6. Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa individu yang dinamakan sebagai Malaysian Official 1oleh Peguam Negara US tidak lain tidak bukan ialah Najib Perdana Menteri Malaysia yang amat dikasihi!

7. Bagi saya, adalah suatu perkara yang sangat besar apabila penyiasatan rasmi kerajaan Amerika Syarikat sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen rasmi yang difailkan di mahkamah di sana mendedahkan wang sebanyak AS$681 juta  yang diselewengkan dari 1MDB rupa-rupanya ‘berakhir’ di dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Dalam perkataan lain, para penyiasat Amerika Syarikat telah menuduh Perdana Menteri kita ‘mencuri’ wang sebanyak AS$681 juta milik 1MDB Syarikat milik rakyat Malaysia.

8. Amat malang selepas lebih 24 jam Peguam Negara Amerika Syarikat mengumumkan tindakan mereka dan menyebarkan kepada umum dokumen yang mereka failkan di mahkamah yang memalitkan Perdana Menteri Malaysia dengan dakwaan yang cukup serius, tidak ada keberanian di pihak Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia untuk menafikan secara tuntas perkara yang dinyatakan di dalam dokumen tersebut khususnya berkaitan dengan isu wang AS$681 juta yang dikatakan telah berakhir ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Saya cabar Perdana Menteri menafi dan mengambil tindakan undang undang terhadap Peguam negara Amerika Syarikat.

SIDANG KHAS PARLIMEN,LANTIK PEGUAM NEGARA BARU DAN TANGKAP PENCURI.

9. Bagi saya, fakta yang didedahkan ini yang dikatakan hasil dari siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat adalah lebih dari cukup untuk memaksa agensi penguatkuasa undang-undang di Malaysia seperti SPRM, Bank Negara Malaysia dan PDRM untuk membuka kembali fail siasatan mereka terhadap Perdana Menteri berkaitan dengan kemasukan wang milik 1MDB ke dalam akaun peribadi beliau. Sila mohon kerajaan Amerika supaya membekalkan hasil siasatan mereka kepada kita. Peguam Negara Malaysia bertanggungjawab untuk membantu urusan ini.Namun terhalang kerana Peguam Negara tidak melaksanakan tugas Peguam kepada negara sebaliknya menjadi Peguam kepada Najib.

10. Untuk membolehkan siasatan dibuka semula Saya sekali lagi mengesa dan  mendesak supaya suatu sidang khas Parlimen dipanggil bukan untuk memberi ruang kepada Perdana Menteri memberi penjelasan tetapi untuk membolehkan satu usul atas nama kerajaan atau persendirian bagi tujuan perlantikan Peguam Negara yang baru dan menyerahkan kepada KeBawah Duli Tuanku Yang DiPertuan Agong

#SayaBukanMalaysianOfficial1
#SelamatkanMalaysia
#TangkapPencuriWangRakyatMalaysia

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: